Monday, May 17, 2010

Johor: Sasaran perompak

Oleh Mahani Ishak
bhnews@bharian.com.my
2010/05/18
Banglo Taman Permata Saujana tiada kawalan keselamatan

KOTA TINGGI: Penduduk perumahan banglo Permata Saujana, di sini diselubungi kebimbangan apabila kediaman mereka sering menjadi sasaran penjenayah berikutan kawasan berkenaan tidak mempunyai perkhidmatan kawalan keselamatan tetap sejak dibuka empat tahun lalu. Penduduk mendakwa syarikat pemaju hanya menyediakan pengawal keselamatan di pondok pengawalnya yang terletak di laluan masuk utama taman beberapa bulan pada tahun pertama. Bagaimanapun, pemaju menghentikannya dengan alasan perkhidmatan itu sudah berakhir walaupun penduduk mendakwa perjanjian dimeterai untuk tempoh dua tahun.

Pengerusi Taman Permata Saujana, Hassan Karno, 48, berkata, lebih 10 rompakan berlaku di kediaman berkenaan berikutan tiada kawalan keselamatan sewajarnya bagi memantau pergerakan kenderaan keluar masuk ke taman berkenaan sejak ia mula didiami.

“Rompakan berlaku kerana pondok pengawal yang disediakan hanya dibiarkan kosong tanpa dilengkapi pengawal untuk memantau pergerakan kenderaan dari luar.

“Pemaju juga tidak mendirikan pagar bagi memisahkan kawasan yang belum dimajukan, sekali gus menyebabkan kawasan itu ditumbuhi lalang membolehkan perompak bersembunyi sebelum bertindak memecah masuk rumah yang penghuni tidak berada di rumah, ” katanya.
Hassan berkata, penduduk bersedia berkongsi tanggungjawab membiayai sebahagian kos penempatan pengawal keselamatan dengan pemaju, tetapi pemaju menolak dengan alasan tidak semua penghuni bersetuju dikenakan bayaran bagi tujuan berkenaan.

Dalam kejadian 24 April lalu, kediaman P Villasamy Nadarajan, 41, dirompak ketika beliau tiada di rumah tetapi bernasib baik keluarganya selamat.

“Sejurus saya keluar dari rumah pada jam 9 malam, rumah saya dirompak membabitkan kerugian lebih RM 100,000 antaranya wang tunai, barang kemas dan sebuah kenderaan, walaupun ahli keluarga saya masih berada dalam rumah.

“Bagaimanapun, rompakan yang berlaku tidak kurang 20 minit menyebabkan jiran lain tidak menyedarinya selain penggera keselamatan yang hanya diaktifkan menjelang tengah malam, " katanya.

Villasamy berkata, penduduk turut meminta pihak berkuasa meletakkan pondok kawalan polis kerana balai polis berhampiran agak jauh menyebabkan beberapa kawasan perumahan di kawasan Sri Saujana kerap dirompak.

Selain itu, katanya, Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dan pemaju perlu bekerjasama bagi membersihkan kawasan semak sekitar taman perumahan bagi menangani masalah jenayah di perumahan berkenaan.

“Kebanyakan penghuni terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk memotong rumput dan lalang yang dikhuatiri menjadi tempat persembunyian penjenayah kerana MDKT hanya membersihkan sempadan kawasannya saja sehingga menyebabkan penduduk terdedah kepada bahaya, " katanya.

Mereka juga meminta pihak MDKT menambahkan lampu jalan bagi menerangi keseluruhan kawasan selain meningkatkan tahap keselamatan di persimpangan trafik di laluan utama Jalan Kota Tinggi-Jalan Ulu Tiram kerana mengelirukan pengguna untuk membelok ke kawasan Sri Saujana

No comments:

Post a Comment