KUALA LUMPUR 6 Mei 2010 - Sekumpulan penjenayah yang dianggotai oleh warga Filipina dan dikenali sebagai 'Geng Sondol' dikesan menggunakan taktik menggesel dan melanggar belakang tubuh mangsa bagi membolehkan mereka menyeluk saku.
Penjenayah profesional terbabit turut membawa bersama alat semburan cili sebagai 'senjata' untuk disembur ke mata mangsa atau orang ramai sekiranya gagal untuk melarikan diri ketika dikejar.
Terbaru, seorang ahli perniagaan warga Iran berusia 42 tahun menjadi mangsa apabila wang tunai berjumlah RM3,000 dilarikan dua anggota sindiket terbabit ketika berada di kawasan Bukit Bintang, di sini Sabtu lalu.
Sumber polis ketika dihubungi berkata, dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa yang juga pelancong dikatakan sedang bersiar-siar bersama anak dan isterinya di sebuah pusat beli belah di kawasan tersebut.
"Mangsa yang sedang menaiki tangga bergerak untuk ke tingkat empat bangunan itu, bagaimanapun hairan apabila seorang lelaki tidak dikenali sengaja melanggar belakangnya beberapa kali.
"Perlakuan aneh suspek menyondol punggung mangsa berulang kali rupa-rupanya disengajakan kerana selepas itu mangsa mendapati wang RM3,000 disimpan dalam poket seluarnya hilang," katanya.
Menurutnya, mangsa sempat melihat dua lelaki lain dipercayai rakan suspek berlari menuruni tangga.
"Mangsa kemudian mengejar mereka dan berjaya memberkas seorang suspek dengan bantuan orang ramai.
"Namun, usaha menangkap rakan penjenayah itu gagal kerana mereka menyemburkan cecair lada kepada orang ramai yang cuba menahannya," katanya.
Sementara itu, polis mengenal pasti sebuah lagi kumpulan penjenayah warga asing yang menggunakan taktik menjatuhkan wang atas lantai untuk menarik perhatian orang ramai sebelum melarikan barang-barang berharga milik mangsa.
Sumber berkata, antara yang menjadi mangsa adalah pasangan suami isteri warga Syria di sebuah hotel, baru-baru ini.
Beliau berkata, mangsa yang melancong ke negara ini sejak awal April lalu, hilang wang tunai dolar Amerika Syarikat (AS$) dan Riyal serta telefon bimbit dianggarkan bernilai lebih RM10,000.
"Mangsa kehilangan barang-barang berharga itu selepas beg yang dibawa dan diletak atas kerusi semasa makan di sebuah restoran makanan segera di Jalan Putra di sini dilarikan oleh seorang lelaki.
"Sebelum menyedari begnya hilang, mangsa mendakwa ada melihat seorang lelaki sedang berjalan ke arah kaunter pembayaran sebelum duit dari saku seluarnya terjatuh ke atas lantai tanpa disedari.
"Lelaki berkenaan kemudian tunduk untuk mengutip wang tersebut dan pada masa sama mengambil kesempatan melarikan beg mangsa tanpa disedari," katanya.
Thursday, May 6, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment