Wednesday, March 3, 2010

Dalang rompak kilang mayonis masih diburu

Mohd. Adnan Abdullah menunjukkan wajah suspek yang diburu, Mohd. Firdaus Zakaria pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Banda Hilir, Melaka, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



MELAKA 2 Mac 2010 - Polis kini masih memburu suspek utama kes kecurian pelbagai peralatan dan mesin bernilai lebih RM500,000 dari sebuah kilang membuat mayonis di Kawasan Perindustrian Serkam Fasa 11 Halal Hub Serkam, Jasin, di sini pada 18 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, suspek terbabit adalah Mohd. Firdaus Zakaria berusia 24 tahun dan berasal dari Segamat, Johor.

Menurut beliau, siasatan polis mendapati, suspek baru sebulan bekerja dengan syarikat keselamatan di kawasan perindustrian tersebut.

"Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Jasin di talian 03-5292222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

"Kita percaya lebih daripada seorang terlibat dalam rompakan itu dan yakin suspek akan dapat ditangkap dalam tempoh terdekat," katanya pada sidang akhbar di IPD Melaka Tengah di sini hari ini.

Sebelum ini, polis telah menahan tiga suspek lelaki berusia 24, 38 dan 52 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.

Pada 18 Februari lalu, sebanyak 22 jenis peralatan dan mesin termasuk tujuh unit pendingin hawa disedari hilang oleh seorang penolong pengurus syarikat dari Jepun yang melawat kilang itu kira-kira pukul 8.30 pagi.

Kesemua mesin dan peralatan tersebut belum dipasang dan kilang mayonis dari Jepun itu dijangka memulakan operasi mulai Ogos ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment