Thursday, May 27, 2010

Utara: 'Pencuri alim'

Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
2010/05/28
•Datang sebagai jemaah niat mahu mencuri

•Enam tabung besi, 10 kepala paip dicuri
JITRA: Mereka datang sebagai jemaah, namun bukan pahala yang dicari sebaliknya dosa kerana kehadiran mereka ke situ adalah untuk mencuri dan juga mengintai peluang apa yang boleh dikebas. Inilah yang berlaku di masjid Kampung Bukit Tinggi, Kepala Batas, dekat sini apabila ada yang berpura-pura sebagai jemaah sebenarnya adalah penyangak. Terbaru, enam tabung masjid itu menjadi sasaran dan dipecahkan.
Masjid yang menjadi tempat 2,000 jemaah dari lima kampung berhampiran untuk menunaikan solat itu menjadi sasaran pencuri bukan pada waktu malam sebaliknya pada waktu siang disebabkan lokasinya yang agak sunyi dan terpencil.

Imam masjid itu, Abdullah Mohd Said, 71, berkata sebelum ini 10 kepala paip tembaga di tempat mengambil wuduk di masjid itu dicuri menyebabkan pihak masjid terpaksa menggantikan dengan kepala paip plastik untuk mengelak kejadian berulang.

Beliau berkata, kejadian curi di masjid itu dipercayai sudah hampir 10 kali berlaku sehingga mengundang kebimbangan di kalangan jemaah yang kebanyakan dari Kampung Bukit Tinggi, Kampung Kepala Bendang, Kampung Hilir, Kampung Alor Rambai, Kampung Pelubang dan Taman Tabung Haji, dekat sini.
Katanya, pencuri turut menyamar sebagai jemaah masjid seolah-olah hendak menunaikan solat di situ tetapi sebaliknya melakukan kegiatan jenayah.

"Ada jemaah ternampak kelibat seorang lelaki yang berpakaian sopan dan masuk ke masjid untuk mencuri.

"Enam tabung masjid di sini biasanya hanya akan dipungut selepas tiga hari dan wang yang diperoleh diguna untuk sedekah kepada fakir miskin atau golongan kurang berkemampuan.

"Selebihnya, wang itu akan digunakan untuk membeli peralatan masjid untuk menambah atau menggantikan barang yang rosak," katanya.

Abdullah berkata, beliau sudah membuat dua laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kubang Pasu berhubung kejadian curi di masjid itu yang mana laporan pertama dibuat awal tahun ini dan kedua pada 16 Mei lalu.

Bendahari masjid itu, Ahmad Din, 61, berkata beliau hanya menyedari kejadian itu pada 16 Mei lalu selepas selesai solat Subuh kira-kira jam 6.30 pagi dan ternampak beberapa tabung masjid diumpil manakala pemain cakera padat video (VCD) yang dianggarkan bernilai RM300 pula didapati hilang.

Beliau berkata, ini adalah kerugian paling banyak dan wang tunai yang hilang dianggarkan lebih RM500.

"Disebabkan itu, kami terpaksa menggunakan rantai untuk mengunci rak besi yang menyimpan pemain VCD dan alat pembesar suara untuk mengelak dicuri lagi.

"Kami ahli jawatankuasa masjid terpaksa bergilir-gilir menjaga kawasan masjid pada waktu malam dan siang bagi mengelakkan kejadian kecurian," katanya.

Ahmad berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan bagi menyelesaikan kes itu.

Katanya, pihaknya dimaklumkan polis sudah menahan seorang suspek berusia 30-an untuk membantu siasatan.

Suami isteri ditahan edar dadah

BESUT 27 Mei 2010 - Polis menahan sembilan orang termasuk sepasang suami isteri yang dipercayai terlibat dengan satu sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah Besut dalam satu operasi yang bermula dari pukul 4.30 petang semalam sehingga tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, ia bermula dengan serbuan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Besut dan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu ke atas sebuah rumah di Kampung Lak Lok, dekat sini kira-kira 4.30 petang.

"Dalam serbuan itu polis menahan sepasang suami isteri berumur 44 dan 41 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah," katanya.

"Ia berdasarkan penemuan 14 ketulan ganja mampat dan tiga paket ganja kesemuanya seberat 9.67 gram yang dianggar bernilai RM4,000 di rumah itu yang turut dihuni oleh enam orang anak pasangan itu, yang berumur antara 13 dan 18 tahun," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah lori kecil, sebuah motosikal serta barang kemas bernilai RM10,000 dan wang tunai RM3,650 daripada pasangan itu yang dipercayai hasil jualan dadah.

Ekoran penahanan pasangan suami isteri itu, polis melancarkan operasi bagi mencari anggota kumpulan itu dan berjaya menahan tujuh lelaki berumur antara 37 dan 45 tahun di sekitar Besut.

Selain menjadi penagih, mereka dipercayai turut terlibat menjadi pengedar secara kecil-kecilan dengan memperoleh bekalan dadah daripada pasangan itu.

Menurutnya, kedua suami isteri itu ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Tujuh suspek lagi ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Akta Penagihan Dadah dan Akta Pemulihan 1983. - BERNAMA

Warga tua dibunuh tegur penyewa pulang mabuk

2010/05/28
PENAMPANG: Tindakan seorang wanita tua menegur penyewa bilik di rumahnya yang sering pulang dalam keadaan mabuk, berakhir tragedi apabila wanita terbabit dibunuh selepas kepalanya dihentak dengan objek tumpul di Kampung Babah Bandoun, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mayat mangsa, Angeline Kouju, 81, ditemui di ruang tamu rumah berkenaan, dipercayai dibunuh lelaki terbabit berusia 39 tahun selepas berlaku pertengkaran antara mereka berdua. Kejadian berpunca apabila wanita itu menegur suspek yang sering pulang dalam keadaan mabuk, selain kegagalan lelaki itu membayar sewa bilik di rumah mangsa yang tertunggak sejak enam bulan lalu. Berikutan itu, suspek yang naik berang bertengkar dengan mangsa sebelum dipercayai menghentak kepala mangsa dengan objek tumpul.

Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintenden Che Rafizi Che Remli, berkata suspek kemudian menghubungi polis memaklumkan penemuan mayat itu di rumah berkenaan.

"Sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian menjumpai mayat mangsa terlentang di ruang tamu berkenaan, lalu menyoal siasat suspek.

“Keterangannya menimbulkan tanda tanya apabila suspek mendakwa, dia mendapati tingkap dapur rumah berkenaan dikopek dari luar dan menjumpai mayat mangsa dipercayai dibunuh pihak didakwanya memecah masuk rumah itu, tetapi siasatan mendapati tiada barang berharga di rumah itu hilang,” katanya di sini, semalam.

5 pemandu lori curi beras dicekup

JOHOR BAHRU 27 Mei 2010 - Lima pemandu lori sebuah kilang beras di Masai yang mencuri 708 guni beras bernilai RM9,138 untuk dijual di pasaran gelap ditahan oleh polis pada Isnin lalu.

Kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditangkap selepas polis mendapat maklumat daripada pemilik kilang beras berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, sebaik sahaja menerima maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Permas Jaya menahan kelima-lima pemandu lori itu di sekitar Masai.

Beliau berkata, pihaknya kemudian merampas dua buah lori yang digunakan untuk mengangkut beras yang dicuri itu untuk dijual di pasaran gelap.

"Hasil serbuan itu, kita berjaya merampas semula 708 guni beras termasuk 85 guni yang telah dimasukkan ke sebuah lori berasingan untuk dijual.

"Polis tidak menolak kemungkinan kesemua bekalan makanan itu dijual pada harga yang lebih murah kepada pihak ketiga," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, kelima-lima suspek kini ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah amanah.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, dua lelaki termasuk seorang daripadanya pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) ditahan secara berasingan di sini atas kesalahan mengedar dadah.

Dalam kejadian pertama pukul 2.30 petang Isnin lalu, katanya, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Johor Jaya dan menahan seorang lelaki berusia 31 tahun dan merampas dadah bernilai RM26,452.

Turut dirampas, satu peket plastik lutsinar mengandungi heroin seberat 6.3 gram, satu tiub straw mengandungi heroin seberat satu gram dan dua kotak berisi dua peket plastik lutsinar mengandungi ketulan heroin seberat 336 gram.

"Lelaki tersebut didapati positif dadah jenis candu dan memiliki satu rekod jenayah samun kini ditahan sehingga 31 Mei depan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Sementara itu, bagi kes kedua pukul 12.40 malam semalam, seorang lelaki pemegang kad UNHCR warga Myanmar ditahan di sebuah rumah di Taman Desa Jaya di sini setelah memiliki pelbagai jenis dadah jenis heroin.

Polis turut merampas 11 peket plastik lutsinar, dua tiub straw panjang dan tiga tiub straw tiub pendek, kesemuanya dadah jenis heroin.

Katanya, suspek yang didapati positif mengambil dadah jenis candu kini ditahan sehingga Selasa ini mengikut akta yang sama.

Wednesday, May 26, 2010

Penjenayah larikan barang kemas bernilai RM50,000

JASIN 26 Mei 2010 - Dua penjenayah bersenjatakan parang mengambil masa hanya kira-kira lima minit sebelum melarikan tiga dulang barangan kemas bernilai RM50,000 dalam rompakan di sebuah kedai emas berhampiran Stesen Bas Merlimau, dekat sini hari ini.

Penjenayah yang dalam lingkungan berusia 20-an dan memakai topeng mulut dan hidung H1N1 bertindak meluru masuk ke dalam kedai itu pada pukul 12.45 tengah hari.

Kejadian berlaku ketika pemiliknya baru membuka pintu besi premis tersebut untuk memulakan perniagaan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam berkata, salah seorang suspek mengacukan parang di leher mangsa manakala rakannya memasukkan barang kemas ke dalam beg sandang.

"Kedua-dua suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal Yamaha 125Z yang diletakkan di hadapan kedai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedai itu tidak memasang kamera litar tertutup (CCTV) kerana baru memulakan operasinya kira-kira dua bulan lalu.

Che Suza berkata, kedua-dua suspek memiliki ketinggian kira-kira 170 sentimeter dan berkulit gelap.

"Parang yang digunakan oleh dua perompak terbabit juga dipercayai baru dibeli. Oleh itu, kita minta mana-mana premis yang baru menjual parang baru-baru ini, agar tampil membantu polis," katanya.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian itu atau mempunyai maklumat agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Wanita leka rebus ketum ditahan

TELUK INTAN 26 Mei 2010 - Seorang ibu tunggal berusia 51 tahun yang sedang leka memasak air rebusan daun ketum di dapur rumahnya antara tujuh yang ditahan polis dalam serbuan di Kampung Parit 4, Chenderong Balai dekat sini semalam.

Turut ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang itu ialah enam lelaki yang disyaki penagih air ketum.

Kesemua lelaki terbabit berusia antara 30 hingga lingkungan 40-an.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejayaan tersebut hasil intipan yang dilakukan Cawangan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Teluk Intan selama dua minggu dan setelah menerima maklumat awam.

"Dalam serbuan itu, polis menemui satu guni berisi daun-daun ketum dianggarkan seberat 11 kilogram selain selonggok daun ketum di atas lantai di bilik mandi yang beratnya kira-kira 4 kilogram.

"Turut ditemui, 40 plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum yang telah diproses seberat 18 liter yang diletakkan dalam bilik mandi di rumah tersebut," katanya di sini hari ini.

Keluarga pelarian ditahan edar dadah

AMPANG JAYA 26 Mei 2010 - Kemewahan hidup lima sekeluarga dari etnik Rohingya yang mendiami sebuah rumah teres di Pandan Mewah di sini, menimbulkan tanda tanya penduduk setempat.

Namun, rahsia keluarga itu terbongkar apabila kesemua mereka ditahan kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis heroin di sekitar kawasan itu.

Kejayaan diperoleh hasil serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang Jaya di rumah mereka pada pukul 8.30 pagi, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, lima beranak berusia 15 hingga 54 tahun tersebut dikesan bergiat aktif mengedar dadah sejak enam bulan lalu.

Katanya, turut ditemui sejumlah dadah jenis heroin yang dibungkus di dalam peket-peket kecil dan straw bernilai RM4,000.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada sepasang suami isteri dan tiga anak perempuan, memegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR).

"Ketika ditahan, mereka sedangmembungkus dadah di rumah sewa itu untuk diedarkan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pelanggan mereka terdiri daripada rakan-rakan senegara dan orang tempatan.

Katanya, sumber bekalan dadah yang diperoleh mereka pula dipercayai dari Flat San Peng di sini.

Tambah Abdul Jalil, ujian saringan air kencing mengesahkan kesemua suspek negatif dadah.

"Suspek-suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Dalam kes berasingan, katanya, polis menahan empat lelaki dipercayai ah long berusia antara 24 dan 29 tahun di sebuah restoran Pandan Perdana, Ampang, Isnin lalu.

"Turut dirampas sebuah kereta Toyota Vios, lapan buah telefon bimbit dan sejumlah wang.

"Selain itu, tujuh keping kad mesin juruwang automatik (ATM) milik peminjam, beberapa helai salinan kad pengenalan peminjam, empat kotak kad nama lutsinar dan tiga bakul iklan perniagaan tersebut," ujarnya.

Beliau berkata, polis percaya kegiatan kumpulan tersebut yang bergelar 'Ah Yong' itu beroperasi di sekitar Ampang.

Tambah Abdul Jalil, siasatan polis mendapati, dua daripada suspek itu mempunyai rekod kesalahan jenayah kekerasan dengan mencederakan orang lain.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi dan Peminjam Wang 1951 iaitu denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Saya menasihatkan orang ramai yang pernah diugut oleh kumpulan ah long berkenaan agar membuat laporan polis dengan segera," katanya.

Beliau memberitahu, satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk menangani kumpulan ah long tersebut dengan dianggotai oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, awal bulan ini.

Dua lelaki bantu suspek larikan diri dengan kereta polis ditahan

2010/05/26
KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan dua lelaki kerana dipercayai membantu seorang tahanan melepaskan diri dengan melarikan kereta polis.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim, berkata kedua-dua lelaki yang ditahan itu berumur 27 dan 34 tahun, masing-masing berasal dari Kampung Dalam Rhu, Semerak, Pasir Puteh, dan Kampung Kweng Hitam, Machang. "Kedua-duanya ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Galang, Pulai Chondong kira-kira jam 2.55 pagi semalam. "Dua lelaki itu ditahan untuk membantu siasatan kerana dipercayai membantu suspek melarikan diri dalam kejadian tiga hari lalu," katanya selepas Majlis Perasmian Bit Base di Taman Kenangan dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian 23 Mei lalu, seorang lelaki yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berjaya melarikan diri menggunakan kereta Proton Waja yang digunakan polis ketika dia ditinggalkan bersendirian dalam kenderaan.

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang ketika Mohd Zaidi Majid, 33, yang digari dibawa oleh tiga anggota polis ke Pasir Tumboh dekat sini bagi tujuan pengecaman tempat kejadian siasatan kes kecurian kenderaan.

Suspek yang berjaya melarikan diri dengan membawa kenderaan polis itu memandu hampir 40 kilometer sehingga ke Pulai Chondong, Machang sebelum meninggalkan kenderaan di situ.
Amir Hamzah berkata, pihaknya kini giat memburu suspek yang dipercayai masih bersembunyi di kawasan berhampiran.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan terhadap suspek kerana melarikan diri daripada tahanan sah.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, bit base atau khemah polis itu disumbangkan oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Kelantan dalam usaha membantu menangani jenayah jalanan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, bit base itu adalah yang kedua disumbangkan yayasan berkenaan kepada polis. - Bernama

Polis lumpuh sindiket ah long, empat ditahan

26/05/2010 4:07pm


KUALA LUMPUR 26 Mei - Polis melumpuhkan satu sindiket ah long dengan tertangkapnya kesemua empat anggota sindiket itu berhampiran sebuah restoran di Pandan Perdana, Ampang di sini pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan berkata, tangkapan kira-kira 10 pagi itu dibuat ketika mereka, yang berusia antara 24 dan 29 tahun itu, dalam perjalanan untuk menemui mangsa mereka.

"Tangkapan dibuat hasil laporan polis oleh seorang mangsa pada 20 Mei lepas yang mendakwa diugut selain dikenakan faedah pinjaman yang tinggi.

"Kesemua suspek itu ditahan di dalam sebuah kereta Toyota Vios berwarna perak di tepi jalan ketika dalam perjalanan untuk berjumpa dengan peminjam yang gagal membayar pinjaman mereka,” katanya pada sidang berita di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis juga merampas lapan telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM1,424, empat bekas lutsinar berisi kad perniagaan dan 237 gulung kain rentang iklan pelbagai warna, satu buku cek bank serta tujuh keping kad mesin teller automatik (ATM) milik mangsa-mangsa sindiket itu selain kereta Toyota Vios berkenaan.

Abdul Jalil berkata, hasil siasatan ke atas kesemua suspek mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau termasuk mencederakan orang dengan menggunakan senjata. - Bernama

Kejadian lanun di Asia berganda bulan lepas

26/05/2010 4:07pm


SINGAPURA 26 Mei - Sebanyak 16 kes kejadian lalun bersenjata terhadap kapal-kapal dilaporkan di Asia bulan lepas, jumlah kes itu berganda berbanding pada tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, tidak diketahui jika peningkatan itu disebabkan kesanggupan pemilik dan kapten kapal yang lebih bersedia untuk membuat laporan mengenai insiden itu yang membabitkan kapal mereka kepada pihak berkuasa.

Menurut Perjanjian Kerjasama Rantau mengenai Membanteras Lanun dan Rompakan Bersenjata terhadap Kapal-Kapal di Pusat Perkongsian Maklumat (ReCAAP ISC) di sini hari ini, menyatakan sebab-sebab lain kemungkinan ekoran pengembangan di kawasan berkenaan dan kejayaan rompakan, yang mendorong perompak cuba melakukan jenayah lanun.

Bilangan insiden itu meningkat pada bulan lepas di perairan Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Laut China Selatan, kata ReCAAP dalam kenyataan di sini.

ReCAAP menyatakan jumlah insiden meningkat menunjukkan lanun mempunyai sedikit perancangan yang dilihat lebih teratur dan mungkin beroperasi secara sindiket di Laut China Selatan. - Bernama

Polis klasifikasi kematian renjer Jabatan Hutan Sabah kes bunuh

2010/05/26
SANDAKAN: Polis mengklafikasi kematian seorang renjer hutan Jabatan Perhutanan Sabah di Hutan Simpan Longmanis di Beluran 13 Mei lalu sebagai kes bunuh berikutan terdapat kesan tembakan pada mayat itu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rosli Mohd Isa, berkata hasil keputusan bedah siasat mendapati ada kesan tembakan di sebelah kiri badan Alisius Piging Ampin, 51. "Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh," katanya di sini hari ini. Beliau berkata beberapa individu telah dipanggil untuk memberi kenyataan bagi membantu siasatan kes itu. Setakat ini tiada tangkapan dibuat.

Pada 12 Mei lalu, adik perempuan Alisius membuat laporan polis mengenai kehilangan abangnya ketika bertugas di hutan simpan itu sejak 7 Mei lalu.

Berikutan laporan itu, gerakan mencari dan menyelamat dilancar dan mayat Alisius ditemui pada keesokan harinya kira-kira dua kilometer dari pondok tempat dia bermalam, dalam keadaan lengkap berpakaian bersama sebuah beg pinggang mengandungi dompet serta kad pengenalan miliknya. - Bernama

Sekeluarga warga Myanmar ditahan edar dadah

26/05/2010 4:15pm


KUALA LUMPUR 26 Mei - Polis menahan lima sekeluarga warga Myanmar yang dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah heroin di sebuah rumah teres di kawasan Pandan Mewah, Ampang pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata ketika serbuan dilakukan pada kira-kira 8.30 pagi, pasangan suami isteri dan tiga anak perempuan mereka itu sedang berehat di rumah itu.

"Dalam serbuan itu, kami merampas wang tunai berjumlah RM400, 69 ketulan yang dibalut plastik hitam dan 25 tiub straw berisi bahan yang disyaki dadah jenis heroin seberat 162.7 gram yang bernilai RM4,000.

"Sepaket ketulan itu dijual pada harga RM50 hingga RM90 manakala setiub straw itu dijual RM20,” katanya pada sidang berita di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang di sini, hari ini.

Beliau berkata semua suspek itu, yang berumur antara 15 dan 54 tahun itu, menetap di negara ini sejak setahun lepas dan dipercayai menjalankan aktiviti itu sejak enam bulan lepas.

"Dadah itu dipasarkan ke kawasan sekitar Pandan Mewah dan Ampang dengan 70 peratus dijual kepada kalangan warga Myanmar dan 30 peratus kepada warga tempatan,” katanya.

Abdul Jalil berkata pemeriksaan ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah.

Mereka kini ditahan reman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Tuesday, May 25, 2010

Lagi kapal pindah minyak ditahan

JOHOR BAHRU 25 Mei 2010 - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Maritim Selatan sekali lagi berjaya menumpaskan kegiatan pemindahan minyak secara haram apabila menahan dua buah kapal di perairan Pengerang di Kota Tinggi semalam.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Abdul Hadib Abdul Wahab berkata, kapal MT Shengtek dan MT South Ocean No. 2 itu ditahan pada kedudukan 2.6 batu nautika dari selatan Tanjung Kapal pukul 10.20 pagi.

Beliau berkata, kegiatan mereka berjaya dihidu oleh KM Manjung yang melakukan rondaan di perairan tersebut.

"Sewaktu menghampiri kedua-dua kapal itu, kami dapati ia sedang melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran yang sah.

"Setelah diperiksa, kami mendapati kapal MT Shengtek telah memindahkan sebanyak 565,000 liter minyak ke kapal MT South Ocean No. 2," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kejayaan itu adalah yang kedua bagi APMM menahan kapal yang menjalankan kegiatan memindahkan minyak secara haram dalam tempoh 48 jam.

Kelmarin, APMM menahan dua buah kapal asing iaitu MT Atami Maru dan MT Petrolimex 09 yang sedang menjalankan kegiatan sama di perairan berkenaan.

Abdul Hadib berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua kapal mendapati dua hos telah digunakan secara serentak bertujuan mempercepatkan lagi aktiviti itu bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Ketika siasatan, katanya, kedua-dua kapal berkenaan gagal mempamerkan sebarang dokumen atau permit daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut untuk melaksanakan aktiviti pemindahan minyak.

Menurutnya, dokumen kedua-dua kapal dan pengenalan diri 19 anak kapal warga Indonesia, China, Taiwan, Singapura dan Filipina berusia antara 22 hingga 57 tahun itu telah diambil untuk siasatan, manakala kapten kapal ditahan untuk tindakan lanjut.

Kedua-dua pemilik kapal berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 491B(1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti kapal ke kapal serta gagal memaklumkan ketibaan kapal apabila berada di mana-mana perairan Malaysia.

Jika sabit kesalahan, pemilik kapal boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Curi bot dan enjin: Geng Din Busut dicekup

KOTA TINGGI 25 Mei 2010 - Para nelayan tempatan di sekitar perairan Pengerang di sini tidak dapat menyembunyikan rasa bimbang apabila 13 kes kehilangan bot dan enjin sangkut dilaporkan berlaku di kawasan itu.

Kecurian itu dikatakan sering berlaku pada waktu awal pagi, menyukarkan usaha mereka untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab.

Namun, kebimbangan para nelayan itu sedikit reda apabila Pasukan Gerakan Marin (PGM) berjaya menahan lima ahli 'Geng Din Busut' yang dipercayai terlibat dalam kecurian itu, awal pagi ini.

Kejayaan itu berhasil pada pukul 3.10 pagi apabila sepasukan anggota PGM Wilayah Dua menahan lima lelaki berusia antara 20 hingga 43 tahun di perairan Tanjung Pengelih berhampiran Jeti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dekat sini.

Ketika ditahan, lima ahli geng itu sedang menunda sebuah bot lain dipercayai baru dicuri di perairan berkenaan.

Komander Markas PGM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Mohd. Khamsani Abdul Rahman berkata, kumpulan itu biasanya mencuri bot atau enjin bot milik nelayan tempatan antara tengah malam sehingga awal pagi dengan memotong rantai besi yang mengikat bot atau enjin.

"Mereka beroperasi secara berulang-alik dari tempat asal mereka. Kebiasaannya mereka akan datang pada awal pagi untuk menangkap ikan seperti nelayan lain tetapi apabila tengah malam, kumpulan ini menjalankan operasi mencuri bot dan enjin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan serbuan itu, pihaknya merampas dua buah bot yang dinaiki geng tersebut selain menemui pemotong besi dan tiga bilang parang dalam bot berkenaan.

Mohd. Khamsani berkata, Geng Din Busut bukan satu-satunya kumpulan yang menjalankan kegiatan mencuri bot dan enjin di kawasan berkenaan kerana pihaknya telah mengenal pasti beberapa geng lain yang turut menjalankan kegiatan yang sama.

Sehingga kini, 13 kes kecurian bot dan enjin dilaporkan berlaku di Ulu Tiram, Adela, Tanjung Pengelih dan Teluk Sengat.

Selain dijual, bot dan enjin yang dicuri itu digunakan untuk merompak.

Mohd. Khamsani berkata, kelima-lima suspek kini ditahan di Balai Polis Pengerang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

PGM tahan anggota 'Din Busut' di Pengerang

2010/05/25
KOTA TINGGI: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua hari ini menahan lima lelaki dipercayai anggota kumpulan "Din Busut" yang aktif mencuri enjin sangkut dan bot nelayan tempatan di sekitar perairan Tanjung Pengelih, dekat Pengerang di sini.

Komandernya, ACP Mohd Khamsani Abdul Rahman, berkata lima suspek rakyat negara jiran itu ditahan jam 3.10 pagi ini berhampiran Jeti Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Sultan Ismail. "Berdasarkan maklumat orang awam, anggota PGM berjaya mengesan sebuah bot yang sedang menunda sebuah bot lain. Pemeriksaan di dalam bot itu kemudian menemui beberapa peralatan dipercayai diguna untuk kegiatan mencuri seperti alat pemotong dan tiga parang panjang," katanya kepada pemberita di sini. Mengulas lanjut, Mohd Khamsani berkata kumpulan itu dipercayai memasuki perairan negara pada sebelah pagi dengan menyamar sebagai nelayan tempatan sebelum mencuri bot dan enjin sangkut pada sebelah malam.

Bot dan enjin yang dicuri itu kemudian dijual atau digunakan untuk melakukan rompakan di laut, katanya.

"Kegiatan mencuri bot dan enjin nelayan semakin berleluasa tahun ini dengan 13 kes dilaporkan berlaku di Felda Air Tawar, Felda Adela dan Telok Sengat sejak awal tahun," katanya.

Beliau berkata, semua lelaki dianggar berumur antara 20 dan 43 tahun yang tidak mempunyai sebarang dokumen itu ditahan di Balai Polis Pengerang untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Mohd Khamsani juga tidak menolak kemungkinan ada anggota kumpulan itu yang masih bebas. -

Mekanik dihukum gantung edar 17,769 pil methampethamine

2010/05/25
KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang mekanik kerana kesalahan mengedar 17,769 biji pil dadah jenis methampethamine di sebuah rumah di Pasir Mas, dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim sewaktu membacakan penghakimannya, berkata pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap Shahrizan Sulong, 27, tanpa keraguan yang munasabah. "Hanya ada satu sahaja hukuman yang boleh dijatuhkan terhadap kamu bersabit kesalahan ini, dan dengan ini, mahkamah memerintahkan kamu dihukum gantung sampai mati," katanya. Shahrizan kelihatan tenang dan hanya menunduk muka ketika hukuman itu diumumkan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Lati, Repek, Pasir Mas di sini pada 2 petang, 20 Mei 2008.

Shahrizan dihukum mengikut Seksyen 39(B)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Azimah Wan Yaacob manakala tertuduh diwakili peguam Amir Syafiq Venkadesh Narayanan. - Bernama

2 penjawat awam cuba seludup wanita Myanmar diberkas

2010/05/25
BUKIT KAYU HITAM: Dua penjawat awam diberkas tidak jauh dari sini Ahad lalu kerana disyaki cuba menyeludup masuk dua wanita warga Myanmar ke negara ini.

Kedua-dua lelaki itu yang berumur dalam 20an dan bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Kubang Pasu, ditahan oleh anggota Unit Pencegah Penyeludupan di satu sekatan jalan di Lebuh Raya Utara Selatan dekat sini pada jam 10 pagi. Komander UPP Bukit Kayu, ASP Zunaidi Abdullah, berkata kedua-dua penjawat awam itu sedang membawa dua wanita Myanmar yang juga berumur 20an itu dengan motosikal. "Kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 kerana membawa pendatang tanpa izin dan Seksyen 55(E) akta sama kerana melindungi pendatang," katanya.

Zunaidi berkata, siasatan sedang dibuat sama ada kes itu membabitkan sindiket pemerdagangan manusia.

Dalam kes lain, tiga lagi penjawat awam diberkas oleh UPP dalam satu sekatan juga di tempat yang sama malam tadi kerana dipercayai cuba menyeludup 50 botol minuman keras.

Zunaidi berkata, ketiga-tiga lelaki itu berkhidmat di Ipoh. - Bernama

Monday, May 24, 2010

Dua warga India bawa 10.1kg ketamin ditahan

2010/05/25
SHAH ALAM: Kecurigaan anggota polis terhadap tingkah laku dua lelaki warga India yang sedang berjalan menuju ke pintu keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang di sini membawa kepada penahanan mereka bersama 10.1 kilogram dadah jenis ketamin bernilai RM260,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata kedua-dua lelaki itu, masing-masing berumur 41 dan 30 tahun ditahan anggota polis pada jam 9.05 pagi bersama empat beg yang dibawa mereka, Sabtu lalu. “Hasil pemeriksaan mendapati semua dadah dalam empat beg berasingan itu disimpan di bawah timbunan pakaian dan makanan ringan yang sudah luput tarikh selain dipaku menggunakan sekeping papan lapis nipis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Geng samun kedai emas tumpas

Oleh Nasir Abd Wahab

2010/05/25
Tujuh termasuk dua bekas anggota polis serta seorang peniaga emas ditahan

MELAKA: Polis percaya dapat menumpaskan satu sindiket samun kedai emas dan ragut dengan penahanan tujuh suspek, termasuk dua bekas anggota polis serta seorang peniaga emas di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusuf berkata, semua suspek berkenaan berusia antara 22 tahun dan 46 tahun ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur antara 10 Mei hingga 18 Mei lalu. Katanya, seorang daripada suspek diberkas di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 10 Mei lalu dan penahanannya membawa kepada tangkapan seorang peniaga emas berusia 40-an yang dipercayai membeli hasil rompakan barang kemas daripada kumpulan itu. “Daripada maklumat yang diperoleh, polis berjaya memberkas baki kumpulan itu yang juga didapati aktif dalam 30 kes ragut sekitar Kuala Lumpur sejak 2008,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Banda Hilir, di sini, semalam.

Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM339,000 serta barangan kemas dipercayai emas bernilai hampir RM100,000 daripada peniaga emas berkenaan selain merampas tiga buah kereta, masing-masing sebuah Mercedez Benz, Honda Civic dan Perodua Kancil, yang dipercayai digunakan ahli kumpulan berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati peniaga emas berkenaan sudah meleburkan sebahagian barangan kemas yang dibeli daripada kumpulan suspek itu.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. Pada masa sama, polis sedang memburu seorang lagi suspek, dipercayai ketua kumpulan berkenaan.
Mohd Rodwan berkata, kumpulan itu dijejaki susulan satu kejadian samun ke atas sebuah kedai emas di Ayer Molek, dekat sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 24 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, empat lelaki bersenjata parang dan tukul besi dengan menaiki dua motosikal merompak kedai emas di Ayer Molek ketika pemiliknya keluar membeli makanan.

Sunday, May 23, 2010

Maut ditikam rakan serumah hanya kerana syak curi telefon bimbit

KUCHING 23 Mei 2010 - Hanya kerana kehilangan telefon bimbit, seorang lelaki hilang kewarasan sehingga sanggup menikam teman serumahnya dengan senjata tajam di leher sehingga mati di rumah sewa mereka di Kampung Stampin, BDC di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa, Jackson Jugah, 23, pekerja binaan dari Betong meninggal dunia di tempat kejadian akibat kehilangan banyak darah.

Suspek berusia 23 tahun menyedari kehilangan telefon bimbit miliknya itu sejurus pulang ke rumah selepas keluar minum bersama Jugah di sebuah restoran berhampiran.

Berikutan itu, suspek yang mengesyaki ia dilakukan oleh Jugah telah menunggu mangsa pulang sebelum kedua-duanya bertengkar di hadapan rumah.

Suspek kemudian bertindak mengambil sebatang besi tajam pada bahagian rim basikal lalu menikam leher Jugah menyebabkan mangsa terus rebah.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi hari ini berkata, polis menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1 pagi.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, suspek menyerah diri kepada polis bersama-sama besi yang digunakan untuk menikam mangsa.

"Suspek ditahan reman dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Motif kejadian adalah disebabkan perselisihan faham antara suspek dan mangsa," katanya.

Beliau menambah, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Polis selamatkan lapan wanita, tahan dua lelaki

JOHOR BAHRU 23 Mei 2010 - Kecekapan polis berjaya menyelamatkan lapan wanita warga Kemboja dan Indonesia daripada menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dengan penahanan dua lelaki malam tadi.

Kejayaan itu diperoleh pada pukul 8.30 malam, hasil serbuan sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman dan kontinjen Johor di dua buah pusat urut di Jalan Pingai, Taman Pelangi di sini.

Ketua Operasi, Asisten Supritendan Nordin Ibrahim berkata, kesemua wanita berusia 20-an terdiri daripada tujuh wanita warga Kemboja dan seorang rakyat Indonesia.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya turut menahan lima wanita warga Thailand dan dua wanita China berusia 21 hingga 42 tahun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1953/1967.

"Dua lelaki yang ditahan itu berusia 28 dan 58 tahun. Siasatan mendapati, premis tersebut menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan menawarkan khidmat 'tambahan' kepada pelanggan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini malam tadi.

Nordin berkata, siasatan mendapati premis tersebut telah beroperasi sejak lima bulan lalu.

Katanya, kedua-dua lelaki tersebut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.

Beliau berkata, kedua-duanya turut disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1953/1967 kerana mengambil pekerja asing tanpa permit sah dan Seksyen 55E akta sama kerana memberikan perlindungan kepada warga asing.

Laluan rahsia premis pusat hiburan terbongkar

Sebahagian daripada 16 wanita warganegara Vietnam dan China dipercayai GRO ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Narkotik Bukit Aman di Jalan Temiang, Seremban, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



SEREMBAN 23 Mei - Tembelang seorang pengusaha pusat hiburan menyediakan laluan rahsia untuk pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga asing yang bekerja di premis itu meloloskan diri, terbongkar apabila berjaya dikesan pihak polis.

Kejayaan diperoleh dalam serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Jalan Temiang, di sini pada pukul 3.20 pagi tadi.

Ketua Operasinya, Deputi Supritendan Aida Abdul Hamid berkata, dalam operasi itu, seramai 16 GRO rakyat China dan Vietnam ditahan untuk siasatan kerana menyalah guna pas lawatan sosial serta tamat tempoh.

"Polis terpaksa memecahkan pintu premis yang dikunci oleh pengusahanya. Kesempatan itu digunakan oleh GRO-GRO untuk bersembunyi dan melarikan diri melalui lubang rahsia.

''Pengusaha premis kemudiannya ditahan kerana beroperasi lebih masa," katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Aida memberitahu, dalam operasi yang disertai 30 anggota dan berakhir kira-kira pukul 6 pagi itu, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan terhadap 66 pengunjung pusat hiburan terbabit.

''Hasil pemeriksaan, lapan daripadanya ditahan kerana positif dadah, manakala seorang daripada mereka memiliki pelbagai jenis dadah antaranya ganja dan pil khayal.

"Kesemua mereka yang ditahan telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Seremban untuk siasatan lanjut," katanya.

Aida berkata, operasi hasil maklumat orang ramai itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan tidak bermoral di negeri ini.

Suspek larikan diri, pandu kereta polis dengan tangan bergari

KOTA BHARU 23 Mei 2010 - Tindakan tiga anggota polis membawa seorang tahanan ke Pasir Tumboh di sini untuk siasatan kes kecurian kenderaan hari ini bertukar menjadi operasi memburunya.

Lelaki yang awalnya ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berjaya meloloskan diri menggunakan kereta Proton Waja yang digunakan pihak berkuasa itu ketika dia ditinggalkan bersendirian dalam kenderaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang ini, Mohd. Zaidi Majid, 33, yang digari ketika dibawa ke kawasan berkenaan memandu hampir 40 kilometer sehingga ke Pulai Chondong, Machang sebelum meninggalkan kenderaan di situ.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, suspek bagaimanapun masih belum berjaya dikesan dan dipercayai masih bersembunyi di kawasan berhampiran.

"Suspek ditahan di lokap IPD Kota Bharu dan dibawa ke Pasir Tumboh oleh pegawai penyiasat bagi tujuan pengecaman tempat kejadian.

"Bagaimanapun, dia berjaya melepaskan diri dan membawa lari kenderaan itu walaupun tangannya telah digari," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelas beliau, suspek yang berasal dari Kampung Pangkal Kalong, Kok Lanas sebelum ini ditahan mengikut seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana disyaki terlibat dengan kes kecurian kenderaan bermotor di negeri ini.

Mengulas mengenai insiden itu, beliau berkata, ketika kejadian, dua daripada anggota polis berkenaan pergi ke sebuah bangunan berhampiran untuk menjalankan siasatan manakala seorang lagi mengawal suspek.

Bagaimanapun ujarnya, anggota polis yang mengawal suspek berkenaan berada di luar kenderaan dan ketika itulah suspek mengambil kesempatan untuk memandu bagi melarikan diri.

Ekoran itu katanya, polis membuka dua lagi kertas siasatan iaitu terhadap suspek dan anggota polis berkenaan.

"Kita buka kertas siasatan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan terhadap suspek kerana melarikan diri daripada tahanan yang sah.

"Sementara itu, anggota polis terbabit juga disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana cuai menyebabkan individu yang ditahan berjaya melarikan diri daripada tahanan yang sah," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, polis tidak akan menuding kesilapan secara terburu-buru kepada anggota terbabit sehingga siasatan selesai.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut diminta melaporkan segera di balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kota Bharu di talian 09-7485522.

Sindiket wang palsu tumpas

Oleh Norakmah Mat Youb
norakmah@bharian.com.my
2010/05/24


PERALATAN mencetak ditemui dalam serbuan di sebuah rumah yang menjadi pusat sindiket mencetak wang palsu di Bukit Mertajam, semalam.4 termasuk sepasang suami isteri jual not tiruan pada harga murah ditahan

GEORGETOWN: Polis menumpaskan sindiket mencetak dan mengedar wang palsu selepas menahan empat orang, termasuk sepasang suami isteri dalam serbuan di dua premis di Bukit Mertajam, Jumaat lalu.

Dalam serbuan di antara jam 9 pagi dan 12 tengah malam di Jalan Kulim dan Taman Bidara, Machang Bubuk, polis turut merampas sebanyak 432 keping wang palsu membabitkan mata wang pelbagai negara. Wang palsu yang dirampas ialah 409 keping USD100, Rupiah (Rp) 5,000 (dua), Rp1,000 (lima), Rp10,000 (satu), Rp50,000 (10), Rp100,000 (tiga) dan masing-masing sekeping S2 dan S5. Turut dirampas pelbagai peralatan untuk mencetak wang palsu termasuk mesin pencetak, pengimbas, komputer riba, kertas putih bersaiz A4 dan telefon bimbit.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub, berkata sindiket terbabit yang beroperasi sejak setahun lalu, dipercayai menggunakan wang palsu apabila berbelanja di pasar malam dan stesen minyak.

Katanya, sindiket terbabit juga dipercayai menjual mata wang asing palsu pada harga lebih rendah daripada harga pasaran, selain menukarkannya di premis penggurup wang di negeri ini.

"Hasil pemantauan selama dua minggu, kami menyerbu premis itu dan menahan tiga lelaki serta seorang wanita warga Indonesia kerana terbabit dalam kegiatan mencetak wang palsu," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik.

Ayub berkata, siasatan mendapati suspek yang berusia antara 35 hingga 45 tahun itu tiada mempunyai rekod jenayah dan dipercayai baru berjinak-jinak dalam kegiatan itu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 489 (D) Kanun Keseksaan kerana memiliki plat pencetak palsu yang boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Ayub menasihati orang ramai supaya tidak membeli wang palsu kerana ia adalah kesalahan yang serius.

Polis tahan tiga pelajar anggota geng curi motosikal

2010/05/24
KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga pelajar lelaki berusia 14 dan 15 tahun kerana disyaki terbabit dalam sindiket curi motosikal membabitkan lebih 20 kenderaan itu sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata tangkapan pertama membabitkan pelajar Tingkatan Tiga itu dibuat di Lebuh Raya Lingkaran Tengah (MRR2) berhampiran Pandan Indah, kira-kira jam 5 petang kelmarin apabila polis menahan suspek yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan. Katanya, susulan penahanan itu, polis menjalankan pemeriksaan terhadap motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangnya sebelum mendapati nombor casis kenderaan itu dipalsukan. “Hasil soal siasat, suspek mengakui motosikal itu dicuri di Kampung Cheras Baru dua bulan lalu bersama dua rakannya.

“Bertindak atas maklumat, beberapa anggota polis bergegas ke kediaman kedua-dua suspek di Pandan Indah dan Kampung Cheras Baru sebelum mereka di bawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Jalil berkata, hasil siasatan terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka terbabit dalam sindiket curi kenderaan sejak dua tahun lalu di sekitar Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan juga mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah ditahan pada 2008 berhubung kesalahan sama.
“Polis kini sedang menjalankan siasatan terperinci dan tidak menolak kemungkinan ada pihak lain terbabit dalam kejadian ini,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek yang masih bersekolah akan dibawa ke mahkamah pagi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman

Tujuh penyamun van keselamatan tumpas

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

2010/05/24
Bom tangan, raifal AK-47 turut dirampas

GEORGETOWN: Penahanan seorang pengawal keselamatan membongkar kegiatan kumpulan penjenayah yang berbahaya apabila polis berjaya menahan tujuh lagi ahlinya serta merampas empat senjata api, peluru, dua bom tangan serta jaket kalis peluru di sebuah rumah di Sungai Nibong di sini, malam kelmarin.

Dalam serbuan itu polis menemui dua raifal versi AK-47 buatan China, dua revolver .38 dan dua bom tangan serta berpuluh-puluh peluru 7.62 milimeter (mm), disorok di bawah timbunan batu di belakang rumah itu. Selain jaket kalis peluru, wang tunai berjumlah RM44,000 iaitu sebahagian daripada RM160,000 yang dirompak dari sebuah van keselamatan, Rabu lalu turut ditemui dalam operasi kira-kira jam 7 malam itu. Kepingan besi yang dipercayai untuk digunakan sebagai perisai jika diserang turut ditemui. Semua lapan suspek berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an, termasuk seorang wanita iaitu isteri kepada suspek, manakala seorang lagi warga Indonesia.

Polis juga memburu dua lagi ahli kumpulan itu, Mirza Martias, 38, nombor kad pengenalan 721112-07-5809, beralamat di 290 Blok B MK 12, Kampung Manggis, Sungai Ara, Bayan Lepas dan Sawal Ahmad, 50, (600414-07-5299) beralamat di 704, Mukim A, Sungai Pinang, Balik Pulau.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata satu daripada revolver yang ditemui itu milik pengawal keselamatan yang dilarikan tiga perompak dalam kejadian Rabu lalu, manakala satu lagi revolver juga milik pengawal keselamatan yang dirampas dalam rompakan van keselamatan di Gelugor, November lalu membabitkan wang tunai RM200,000.

“Polis mendapat maklumat kumpulan itu sedang merancang beberapa siri rompakan bersenjata di negeri ini dan di negeri jiran dengan menggunakan modus operasi yang sama.
“Polis menganggap kumpulan ini ganas dan sanggup melakukan apa saja. Kami sedang menyiasat kemungkinan mereka terbabit dalam kes lain,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari Rabu lalu, tiga lelaki bersenjata api merompak van keselamatan yang dalam perjalanan mengutip wang di sebuah pasar raya selepas melakukan kutipan harian di Sungai Dua dan Bayan Baru.

Siasatan mendapati kereta yang digunakan perompak adalah kenderaan sewa yang menggunakan nombor plat palsu.

Ayub berkata, sehari selepas rompakan itu, polis menahan seorang daripada tiga pengawal keselamatan berusia 50-an yang bertugas mengawal van keselamatan pada hari kejadian.

Berdasarkan maklumat pengawal keselamatan itu, polis menubuhkan pasukan khas untuk memburu perompak terbabit hingga membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 38 tahun dan seorang warga Indonesia berusia 49 tahun di Paya Terubong, pada jam 1 pagi kelmarin.

“Polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 30-an di flet Taman Tun Sardon, kira-kira jam 2 pagi, diikuti serbuan di sebuah rumah di Sungai Nibong kira-kira jam 7 malam kelmarin dan menahan empat orang termasuk seorang wanita iaitu isteri kepada seorang suspek,” katanya.

Beliau berkata, berikutan penahanan isteri suspek, polis menemui wang tunai sebanyak RM10,000 di spa milik wanita itu di Bukit Jambul.

“Penahanan mereka membawa kepada penemuan senjata api, peluru dan bom tangan yang disorok di belakang rumah dan wang tunai RM44,000 dalam rumah. Sehingga kini, sebanyak RM54,000 wang tunai ditemui semula,” katanya.

Friday, May 21, 2010

4 penjenayah rompak kedai

BATU GAJAH 21 Mei 2010 - Empat penjenayah bersenjatakan sepucuk pistol dan tukul besi mengambil masa hanya tiga minit untuk melarikan beberapa dulang barangan kemas bernilai RM100,000 dari sebuah kedai emas di Pekan Lama, Jalan Tanjung Tualang, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Naib Mohamad berkata, dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi, kesemua mereka yang memakai topeng muka menyerbu masuk ke kedai itu manakala seorang lagi menunggu dalam kereta.

Katanya, ketika itu hanya terdapat pemilik kedai dan isterinya yang berusia 50-an serta seorang anak serta menantunya berusia 30-an.

"Salah seorang perompak itu terus menunjukkan sepucuk pistol dan mengarahkan mereka supaya mendiamkan diri.

"Mereka kemudian memecahkan cermin pameran dengan tukul besi sebelum melarikan barangan kemas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata Abd. Aziz, dalam rompakan itu bagaimanapun tiada sebarang kecederaan berlaku.

Menurut saksi kelima-lima perompak tersebut melarikan diri dengan sebuah kereta Honda City.

"Polis yang menjalankan siasatan menemui kereta digunakan perompak itu di Taman Gopeng Indah dekat sini.

"Mereka dipercayai lari dengan sebuah kereta lain yang menunggu di Lebuh Raya Utara Selatan dan dipercayai menuju ke Ipoh," katanya.

Abd. Aziz berkata, polis sedang menyiasat berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan identiti perompak terbabit.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

Sementara itu, seorang anak mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Tang berkata, penjenayah tersebut menyerbu masuk ke dalam kedai sejurus selepas mereka membuka perniagaan kira-kira pukul 9 pagi.

"Seorang daripada perompak itu mengacukan pistol dan mengarahkan mereka diam. Dua lagi memecahkan cermin pameran barangan kemas dan seorang bersenjata kayu menunggu di tepi pintu kedai itu.

"Saya takut, tetapi bersyukur kerana tidak diapa-apakan dalam kejadian itu," katanya.

532 pasport pekerja asing dilarikan penyamun

2010/05/22
BATU PAHAT: Sebanyak 532 pasport milik pekerja asing yang bekerja di enam kilang sekitar daerah ini lesap, apabila kilang tempat mereka bekerja dipecah masuk penyamun dalam beberapa kejadian berasingan sejak Januari hingga kini, dikhuatiri didalangi sindiket pemalsuan pasport antarabangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Adnan Azizon, berkata polis mengambil berat kehilangan pasport pekerja asing dalam jumlah besar itu dalam beberapa siri kejadian samun kebelakangan ini kerana ia mampu menjadi ancaman keselamatan kepada negara. Katanya, penjenayah terbabit menggunakan modus operandi dengan melakukan aktiviti samun pada waktu tengah malam dan memilih kilang yang mempunyai kawalan keselamatan lemah yang hanya dikawal seorang pengawal keselamatan warga tua yang keletihan dan tertidur sebelum memecah masuk menerusi bahagian belakang premis berkenaan. Adnan berkata, enam kilang masing-masing dua di Batu Pahat dan Ayer Hitam serta satu di Yong Peng dan Tongkang Pechah menghadapi masalah berikutan pasport milik pekerja asing mereka yang disimpan di peti besi pejabat di kilang, hilang apabila dipecah masuk penyamun.

“Kejadian ini serius dan kita khuatir pasport yang dicuri akan dijual semula oleh sindiket pemalsuan pasport antarabangsa ini kepada pelancong yang memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Selepas siasatan dilakukan dengan melihat kembali rakaman kamera litar tertutup (CCTV) beberapa kilang terbabit, kita mendapati wujud dua kumpulan penjenayah berbeza dengan kumpulan pertama dianggotai tiga suspek dipercayai lelaki warga Vietnam berusia antara 20 hingga 35 tahun manakala satu lagi kumpulan dianggotai dua lelaki Vietnam dan seorang lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 44 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, Deputi Superintendan, Che Mahazan Che Aik.
Adnan berkata, motif kumpulan terbabit menyasarkan untuk menyamun pasport milik pekerja asing berkenaan masih disiasat dan pihaknya sedang meneliti kembali rakaman CCTV kejadian.

Tengkorak, rangka manusia ditemui berdekatan Lebuh Raya Utara Selatan

2010/05/21
KUALA LUMPUR: Seorang pekerja pembersihan terkejut selepas menemui tengkorak dan rangka manusia dipercayai wanita, ketika membersihkan kawasan semak di Kilometer 456.1 Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan susur Sungai Buloh, menghala Utara, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 4.15 petang itu, turut ditemui berselerak berhampiran tengkorak dan rangka terbabit ialah peralatan wanita seperti pencuci rambut, bedak, berus gigi, sepit kuku dan cermin kecil. Turut ditemui di kawasan semak yang jaraknya kira-kira 20 meter dari tepi lebuh raya berkenaan ialah pakaian wanita Punjabi berwarna biru. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abd Rahim Abdullah, berkata pemeriksaan yang dijalankan sekitar tempat kejadian sebaik menerima maklumat, tiada menemui sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, rangka terbabit dipercayai berada di kawasan itu sejak sebulan lalu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identitinya selain menyiasat sama ada kejadian ada kaitan dengan unsur jenayah.

“Tengkorak dan rangka terbabit dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut. Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan anggota keluarga supaya menghubungi balai polis berdekatan,” katanya di sini, semalam

Ibu dalam pantang kena rompak

Oleh Mohamad Danial Mohamad Saad

2010/05/21
Wanita baru lima hari lahir anak kedua cemas tiga lelaki pecah masuk rumah

NIBONG TEBAL: Seorang wanita yang baru lima hari melahirkan anak keduanya, menempuh saat-saat mencemaskan apabila dirompak tiga lelaki bersenjatakan parang di rumahnya di Taman Sintar Indah, Jawi, di sini, kelmarin.

Jamie Thian, 32, yang berada dalam bilik bersama anak perempuan sulungnya berusia tujuh tahun dan bayi lelakinya, tidak mampu berbuat apa-apa apabila tiga perompak memecah masuk rumahnya kira-kira jam 4 petang. Wanita itu hanya mampu melihat perompak berkenaan menggeledah biliknya dan bilik ahli keluarganya sebelum melarikan wang tunai, barang kemas dan jam tangan jenama Rolex yang kesemuanya bernilai kira-kira RM126,000. Mangsa ketika ditemui di rumahnya, berkata seorang lelaki bertopeng memasuki biliknya melalui bilik air yang bersambung dengan bilik bersebelahan biliknya ketika beliau sedang berehat dengan anaknya.

Sebaik memasuki biliknya, lelaki berkenaan mengarahkannya supaya jangan bising dan menyerahkan barangan berharga.

"Perompak itu yang memegang parang mengarahkan saya jangan menjerit dan menyerahkan barang kemas. Dia juga mengugut mencederakan saya dan anak jika tidak menyerahkan barang kemas.

"Saya memberitahu tidak mempunyai wang kerana baru melahirkan anak," katanya sambil menambah dua lagi lelaki muncul termasuk seorang yang bertopeng.
Selepas itu, perompak berkenaan mengarahkan Jamie menunjukkan bilik lain di tingkat atas rumah dua tingkat itu. Perompak berkenaan menggeledah semua bilik dan mengisi barang kemas dan wang tunai dalam sarung bantal.

Perompak berkenaan yang tidak mencederakan tiga beranak itu, melarikan diri dengan sebuah Proton Perdana.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

Wednesday, May 19, 2010

Jenayah dadah meningkat di Samarahan
KUCHING 19 Mei - Bahagian Samarahan mencatatkan peningkatan kesalahan jenayah berhubung penyalahgunaan dadah dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini berbanding hanya tujuh kes pada 2008.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata, sejak Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 54 kes dadah dilaporkan berbanding 18 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat bukti kukuh yang menunjukkan trend penahanan berhubung kes-kes dadah di Samarahan telah meningkat.

''Rekod membuktikan dari Januari hingga Mac 2008, hanya tujuh kes dicatatkan namun meningkat kepada 18 kes pada tahun lalu dan terus bertambah sebanyak 54 kes tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud (BN-Muara Tuang) pada hari ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-16 di sini hari ini.

George yang juga Menteri Pelancongan dan Warisan berkata, peningkatan tersebut membimbangkan ramai pihak pada masa ini memandangkan ia melibatkan generasi pelapis negara.

Katanya, menyedari perkara itu serius, kerajaan negeri telah memberi penekanan yang begitu besar kepada agensi-agensi berkaitan seperti PDRM, Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) dan sebagainya untuk sama-sama mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu terbabit.

Tambahnya, antara strategi yang diambil adalah meningkatkan kesedaran awam mengenai penyalahgunaan dadah selain kerap mengadakan serbuan atau operasi bersama agensi bertanggungjawab.

''Selain itu, pihaknya turut mengadakan kempen, ceramah dan forum awam bagi mendorong para remaja supaya mengatakan "Tidak" kepada dadah.

''Bagaimanapun, usaha agensi-agensi ini tidak akan menjadi efisien tanpa komitmen semua pihak, maka seharusnya ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak supaya menjauhi aktiviti berkaitan dadah,'' katanya.

George menambah, kerajaan juga mempunyai rancangan untuk menambah bilangan polis di bahagian Samarahan sebagai menyokong kekurangan yang ada kini.

RM160,000 lesap tiga minit

Anggota forensik melakukan siasatan ke atas sebuah van membawa wang tunai yang dirompak dalam kejadian di Jalan Paya Terubong, Pulau Pinang, semalam. - Utusan/Zhafaran Nasib

--------------------------------------------------------------------------------



PULAU PINANG 19 Mei - Dalam tempoh tiga minit, tiga lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan selaras raifal melarikan wang tunai RM160,000 dari sebuah van keselamatan dalam rompakan di Jalan Paya Terubong, Air Itam, di sini hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ketika van milik syarikat Property Protection Sdn. Bhd. itu baru sahaja selesai melakukan kutipan harian di dua buah pasar raya di Bayan Baru dan Taman Lip Sin di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner II Wan Abdullah Tuanku Said, berkata, ketika kejadian, van tersebut dinaiki oleh tiga pengawal keselamatan berusia 40-an itu.

Katanya, van itu kemudian bergerak ke sebuah lagi pasar raya di Air Itam namun tiba-tiba dihalang sebuah kereta Proton Wira berwarna coklat.

"Selepas kereta itu menghalang van tersebut, dua lelaki yang memakai penutup muka turun dari kereta dan mengacukan sepucuk pistol dan raifal ke arah tiga pengawal keselamatan di dalam van lalu mengarahkan mereka menyerahkan wang kutipan.

"Siasatan awal pihak polis mendapati dua suspek dipercayai warga tempatan dan berusia 30-an itu melarikan wang berjumlah RM160,000 yang diletakkan di dalam satu kontena besi.

"Bagaimanapun baki wang tunai sebanyak RM20,000 yang diletakkan di dalam sebuah lagi kontena tidak dilarikan," katanya ketika ditemui di Balai Polis Bandar Baru, Air Itam di sini hari ini.

Menurut beliau, meskipun dua pengawal keselamatan syarikat tersebut memiliki senjata api, namun mereka tidak melepaskan sebarang tembakan.

Bagaimanapun, sepucuk pistol milik pengawal keselamatan telah dilarikan perompak tersebut.

"Suspek kemudian melarikan diri ke arah Relau dan hasil siasatan juga mendapati nombor pendaftaran kereta yang dinaiki suspek adalah nombor pendaftaran motosikal," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengambil keterangan daripada ketiga-tiga pengawal keselamatan berkenaan untuk membantu siasatan kes tersebut yang dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan.

Wan Abdullah turut meminta orang ramai yang melihat kejadian tersebut menghubungi Ibu Pejabat Polis Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181822 untuk membantu siasatan.

Reban ayam jadi tempat berjudi

JEMPOL 19 Mei 2010 - Reban ayam rupanya bukan lagi 'kediaman' selesa untuk ternakan itu, sebaliknya ia kini dijadikan markas baru buat kaki judi.

Kegiatan itu terbongkar apabila sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol menyerbu sebuah reban ayam di Felda Raja Alias 2 di sini malam tadi.

Apa yang melucukan, ketika diserbu, sekumpulan lelaki yang leka berjudi daun terup bertempiaran lari. Ada antara mereka terlanggar pintu utama reban ayam itu sehingga jaringnya rosak.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, dalam serbuan pukul 10.30 malam, tujuh lelaki berusia lingkungan 30-an hingga 40-an ditangkap. Malah beberapa ekor ayam kampung turut berada dalam reban itu ketika serbuan itu.

Lelaki pakai tuala wanita seludup dadah

KUALA LUMPUR 19 Mei 2010 - Penyeludup dadah tidak pernah kering idea untuk memperdayakan pihak berkuasa daripada menghidu perbuatan jenayah mereka.

Terbaru, seorang lelaki warga Malaysia sanggup memakai tuala wanita berisi dadah jenis syabu untuk diseludup ke Indonesia.

Namun, helah lelaki itu akhirnya terbongkar apabila dia ditangkap oleh pihak berkuasa Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Jakarta, semalam.

Sumber polis memberitahu, suspek ditahan oleh pihak berkuasa lapangan terbang terbabit selepas berada dalam keadaan mencurigakan sebaik sahaja tiba dari Kuala Lumpur menaiki sebuah pesawat.

Beliau berkata, ujian X-ray yang dijalankan ke atas suspek mendapati dia memakai sehelai tuala wanita di celah kelangkang seluarnya.

"Hasil pemeriksaan, pihak berkuasa menemui satu bungkusan plastik berisi 480 gram syabu yang dilekatkan pada tuala wanita yang dipakai suspek," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, suspek juga menyembunyikan 0.4 gram serbuk dadah jenis heroin dalam sarung telefon bimbitnya.

Beliau berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu sudah lama menjadi perhatian pihak berkuasa Indonesia kerana pernah dikesan empat kali menyeludup dadah ke negara itu tetapi berjaya melepaskan diri.

"Suspek ditahan setelah pihak berkuasa curiga melihat tubuhnya yang tidak stabil seolah-olah di bawah pengaruh dadah," katanya.

Sumber polis berkata, penahanan suspek adalah kes kedua rakyat Malaysia ditangkap kerana cuba menyeludup dadah ke Indonesia pada bulan ini.

Jumaat lalu, seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai Chuin Hwa, 27, ditahan di Jakarta bersama dadah seberat 5.6 kilogram bernilai lebih RM100,000 disembunyikan dalam bagasinya.

Syarikat tarik kereta mohon maaf

P.Jayaraman (kiri) bersalaman dengan Lee Kinm Han (kanan) sambil disaksikan Michael Chong (dua dari kanan) di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 19 Mei - Selepas tampil membuat aduan kepada Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA kelmarin, sebuah syarikat perkhidmatan tarik kereta yang diupah sebuah bank, hari ini memohon maaf kepada mangsa.

Pengurus G. Mart, P. Jayaraman, 34, berkata, pihaknya turut kesal akibat insiden yang menimpa mangsa, Lee Kinm Han, 26, pada Jumaat lalu.

Dalam insiden itu, Kinm Han dikasari oleh seorang pekerja syarikat terbabit malah hampir dilanggar dengan kereta ketika hendak mengambil kenderaannya.

Keretanya itu ditarik kerana mengalami tunggakan ansuran bulanan yang berjumlah RM3,000.

Menurut Jayaraman, pihak bank bersedia untuk membayar ganti rugi yang dialami oleh Kinm Han akibat kehilangan beberapa peralatan di dalam keretanya berjumlah RM600.

"Kami sebagai wakil syarikat ingin memohon maaf dan pihak bank akan membayar ganti rugi di atas kerugian yang dialami.

"Pekerja terlibat akan digantung tugasnya. Kami akan melakukan pemantauan terhadap pekerja lain supaya kejadian itu tidak berulang," ujarnya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong dan Kinm Han yang juga seorang tukang masak.

Kelmarin, Kinm Han membuat aduan kepada biro tersebut setelah nyaris dilanggar kereta dipandu oleh seorang penarik kereta yang berlagak samseng.

Malah, penarik kereta tersebut juga cukup berani apabila tidak mempedulikan beberapa anggota polis yang menyaksikan kejadian itu di hadapan sebuah balai polis di Jalan Stadium di sini.

Jayaraman berkata, pekerja berusia 32 tahun itu telah ditahan polis bagi membantu siasatan kes tersebut di rumahnya pada pukul 11 malam tadi.

"Dia kini ditahan di lokap polis Puncak Jalil," ujar beliau.

Sepasang kekasih pengedar dadah ditahan

19/05/2010 2:20pm


KAJANG 19 Mei 2010 - Sepasang kekasih dipercayai pengedar dadah di sekitar Lembah Klang ditahan polis di sebuah rumah di Cheras dekat sini pagi tadi dan merampas dadah seberat satu kilogram.

Pasangan berusia 43 dan 35 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 5 pagi di sebuah rumah teres dua tingkat di Damai Perdana, Cheras, dipercayai dijadikan tempat membungkus dadah sebelum dipasarkan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Shakaruddin Che Mood berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas dadah jenis ecstacy seberat 676 gram, ketamin (344 gram) dan syabu (2.7 gram) yang dianggarkan bernilai RM18,000.

"Turut dirampas, wang tunai bernilai RM940 dan beberapa keping mata wang Yen, kad kredit, pasport dan tiga buku bank,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas, sebuah kereta jenis Proton Waja dipercayai milik salah seorang suspek.

Mohd. Shakaruddin berkata, kedua-dua suspek itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan disahkan positif dadah jenis syabu.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

UPP gagalkan cubaan seludup dadah RM6 juta

2010/05/19
ALOR SETAR: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) menggagalkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM6 juta ke negara ini dan menahan seorang lelaki warga tempatan yang kini menetap di Hatyai, Thailand dalam sekatan di kilometer 15.1 lebuhraya Changloon, Bukit Kayu Hitam di sini, petang semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata dalam sekatan jam 2.40 petang itu sepasukan anggota UPP Bukit Kayu Hitam menahan kereta jenis Toyota Corona yang menggunakan nombor pendaftaran Thailand yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun. Katanya, selepas membuat pemeriksaan ke atas kereta berkenaan anggota UPP menemui sebanyak 74 ketul serbuk putih mampat yang dibungkus dengan kertas minyak di tempat menyimpan tayar ganti dalam bonet belakang kereta berkenaan. "Hasil pemeriksaan kita mendapati ketulan serbuk mampat adalah dadah jenis heroin yang setiap satunya seberat 400 gram dan dipercayai cuba dibawa ke pulau pinang untuk diproses sebelum dipasarkan di situ.

"Berdasarkan maklumat awal kita percaya dadah ini akan diproses di makmal pemprosesan di Pulau Pinang namun belum dapat memastikan lokasinya buat masa ini.

"Ia masih dalam siasatan namun kita percaya kegiatan ini didalangi oleh sindiket pengedaran dadah terancang," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Syed Ismail berkata, lelaki berkenaan dikenal pasti sebagai warga negara ini yang berasal dari Ayer Hitam, Pulau Pinang dan kini menetap di Haatyai selepas mengahwini seorang wanita pengusaha restoran di sana.

"Berdasarkan semakan kita dapati lelaki ini mempunyai lapan rekod jenayah lampau antaranya jenayah kekerasan yang berkaitan dengan kes samun.

"Lelaki itu direman selama tujuh hari hingga 25 Mei ini. Kes disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Tuesday, May 18, 2010

Lagi makmal proses dadah diserbu

Shafien Mamat (tengah) menunjukkan sebahagian daripada dadah jenis heroin yang dirampas daripada dua lelaki semasa sidang akhbar di Nibong Tebal, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



NIBONG TEBAL 18 Mei 2010 - Polis membongkar sindiket pengedaran dadah terbesar di daerah ini selepas menyerbu sebuah rumah teres yang dijadikan makmal memproses dadah jenis heroin di Taman Tambun Emas, Simpang Ampat di sini baru-baru ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12.10 tengah malam Sabtu lalu, polis turut merampas sejumlah heroin yang dianggarkan bernilai RM150,000 selain menahan dua lelaki berusia 23 dan 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai sebuah kereta Proton Wira yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Berdasarkan maklumat itu, katanya, polis kemudian mengekori kenderaan terbabit sebelum bertindak menyerbu rumah teres berkenaan yang disewa sejak beberapa bulan lalu.

"Polis menggeledah rumah itu dan menemui beberapa peket plastik berisi ketulan dadah dipercayai heroin dalam sebuah bilik.

"Kesemua dadah itu dianggarkan seberat 3.2 kilogram dan harga pasarannya ketika ini kira-kira RM150,000," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Shafien, rumah terbabit dipercayai disewa untuk dijadikan pusat pembungkusan oleh kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Tambahnya, kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah malah ujian air kencing yang dilakukan mendapati mereka negatif dadah.

Polis, katanya, percaya dadah terbabit untuk diedarkan di pasaran tempatan oleh kedua- dua suspek yang yang berasal dari Jitra, Kedah dan Pulau Pinang.

Mereka kini direman sehingga 21 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

4 naik bas dari Klang untuk merompak di Butterworth

2010/05/19


SHAFIEN menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media di Nibong Tebal, semalam.NIBONG TEBAL: Empat warga Vietnam sanggup menaiki bas ekspres dari Klang, Selangor ke Butterworth, sebelum menaiki bas henti-henti ke pekan ini untuk melakukan jenayah.

Suspek berusia antara 23 hingga 26 tahun yang berpakaian kemas dan memakai kasut sukan berjenama yang bekerja di sebuah restoran di Klang, tiba di pekan ini awal pagi kelmarin. Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, berkata mereka 'menumpang' tidur dalam hutan di Changkat sebelum memecah masuk sebuah kilang perabot jam 4 pagi semalam. "Ketika meronda di kawasan itu, anggota kami ternampak empat lelaki sedang berjalan sambil menggalas beg. Ketika hendak diperiksa, tiga daripada mereka melarikan diri dan seorang lagi berjaya diberkas.

"Pemeriksaan mendapati lelaki itu tiada dokumen sah manakala beg dibawanya berisi komputer riba dan peralatan pecah rumah. Dia mengaku bersama tiga rakannya memecah masuk kilang perabot," katanya di sini, semalam.

Shafien berkata, susulan penahanan itu, polis berjaya memberkas seorang lagi suspek yang sedang mengayuh basikal manakala seorang lagi di perhentian bas di sini.

"Polis sedang memburu seorang lagi suspek bagi membantu siasatan," katanya.
Kesemua suspek didapati tinggal di negara ini antara dua hingga empat tahun lalu dan ada yang boleh berbahasa Melayu.

Ketiga-tiga suspek ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen dan pihaknya akan mendapatkan perintah tahanan reman untuk siasatan lanjut.

Suami isteri kena belasah 5 penyamun

2010/05/19
KUANTAN: Sepasang suami isteri ditendang dan diketuk dengan alat pemotong besi oleh lima lelaki dipercayai warga asing yang memecah masuk rumah mereka di Felda Kota Gelanggi Tiga, di Jerantut, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi, mangsa seorang pemandu lori dan isterinya masing-masing berusia lingkungan 30-an sedang tidur di ruang tamu bersama empat anak yang masih kecil. Pegawai Turus Urus Setia, Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri, berkata siasatan awal mendapati suspek yang menutup muka menggunakan sapu tangan memasuki rumah terbabit melalui pintu belakang sebelum bertindak mengejutkan mangsa dan isterinya. "Mangsa yang terkejut dengan kehadiran lima lelaki terbabit cuba melawan, tetapi ditendang seorang daripada suspek, manakala isterinya pula diketuk di kepala dengan alat pemotong besi sebelum pasangan terbabit diikat.

"Bagaimanapun, anak mangsa tidak diikat dan tidak menyedari kehadiran penyamun itu kerana tidur nyenyak ketika kejadian itu berlaku," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Noor Asyikin berkata, melalui keterangan mangsa, suspek terbabit dipercayai warga Indonesia berdasarkan dialek pertuturan mereka.

"Sebaik memastikan mangsa tidak lagi melawan, suspek kemudian menggeledah rumah sebelum melarikan wang tunai RM540 dan barangan bernilai seperti komputer riba, barang kemas serta telefon bimbit, menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM7, 000," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang tidak mengalami kecederaan membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut kira-kira jam 9.30 pagi.

"Usaha memburu suspek kini giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Dadah: Dua sahabat ke tali gantung

Mei 18, 10 7:32pm

Dua sahabat dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 921 gram, hampir lima tahun lalu.

Hakim Datuk Su Geok Yiam menjatuhkan hukuman ke atas Sharizan Khajis, 32, dan Junaidi Johan, 26, selepas pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata selepas menimbang dan mengambil kira keterangan semua saksi dan hujahan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membukti kes terhadap kedua-dua tertuduh tanpa sebarang keraguan.

"Oleh itu, tiada hukuman lain yang saya boleh berikan selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati," katanya.

Sharizan, yang bekerja sebagai penghantar surat, manakala Junaidi sebagai pemandu, didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.45 malam, 3 Okt 2005, di hadapan rumah bernombor 11687, Kampung Delek Baru, Klang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Rosal Azimin dan Ghazali Taib.

Dalam perbicaraan sebelum ini, pihak pendakwaan mengemukakan seramai enam saksi dan dua saksi pembelaan.

- Bernama

Monday, May 17, 2010

Keluarga diikat sebelum dirompak

SEREMBAN 17 Mei 2010 – Sebuah keluarga kerugian hampir RM45,000 apabila menjadi mangsa samun sekumpulan penjenayah yang memecah masuk kediaman mereka di Kampung Tarun, Broga dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 pagi, kesemua mangsa dikatakan sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan enam lelaki bertopeng bersenjatakan parang yang masuk melalui pintu belakang rumah banglo itu.

Kejadian tersebut disedari oleh salah seorang daripada 10 ahli keluarga berkenaan yang terjaga selepas terdengar bunyi bising di bahagian ruang tamu.

Difahamkan, sebaik sahaja memasuki sebuah bilik, salah seorang penjenayah bertindak mengacukan parang di leher mangsa sebelum mengarahkannya mengejutkan semua ahli keluarga yang lain.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, enam penjenayah itu kemudian mengikat kesemua mangsa sebelum menggeledah rumah tersebut.

“Mangsa yang terdiri daripada lima dewasa dan lima kanak-kanak diikat menggunakan tali yang ditemui penjenayah dalam rumah tersebut.

“Suspek kemudian menggeledah rumah berkenaan sebelum melarikan diri bersama barang berharga milik mangsa yang dianggarkan bernilai hampir RM45,000,” katanya di sini hari ini.

Lelaki bawa van curi lembu ditahan

KENINGAU 17 Mei 2010 - Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan polis selepas didapati positif dadah dan membawa kenderaan curi yang dipercayai digunakan untuk mencuri lembu serta kerbau penduduk di daerah ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zahari Mohamed berkata, lelaki berasal dari Tenom itu ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Batu 18, Jalan Keningau-Sook pada pukul 4.30 petang semalam.

''Hasil pemeriksaan, polis turut menjumpai satu peket plastik berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu seberat 0.20 gram. Sebuah van jenis Toyota berwarna putih turut dirampas kerana disyaki kereta curi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menambah, lelaki itu kini ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Katanya, semakan yang dibuat mendapati kereta tersebut mempunyai kaitan dengan laporan kehilangan kereta di Luyang, Kota Kinabalu dan terdapat beberapa utas tali pengikat lembu di dalam kereta itu.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, Zahari berkata, dua wanita warga Indonesia dan Filipina berusia 29 dan 19 tahun ditahan polis kerana disyaki menyimpan dadah.

''Warga Indonesia ditahan di sebuah rumah di Kampung Patikang Ulu kira-kira pukul 11.00 malam Sabtu lalu.

''Wanita berkenaan telah menunjukkan satu bekas tin dan di dalamnya mengandungi satu peket plastik dan tujuh tiub straw berisi hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu dengan berat dianggar 5.2 gram," katanya.

Beliau menambah, wanita warga Filipina pula ditangkap dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 18, Jalan Keningau-Sook kira-kira pukul 3 petang semalam.

Katanya, wanita tersebut kemudiannya menunjukkan sebuah beg warna keemasan mengandungi 11 paket plastik jernih pelbagai saiz berisi ketulan-ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 6.50 gram.

Menurutnya, kedua-dua wanita berkenaan disahkan positif dadah setelah menjalankan ujian awal air kencing.

''Kedua-dua wanita yang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri itu kini disiasat di bawah Seksyen 39 A (1) (r) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sindiket hantar pelacur ikut pesanan dibongkar

KUALA LUMPUR 17 Mei 2010 - Jika restoran makanan segera menggunakan konsep 'pesan dan hantar' untuk memenuhi permintaan pelanggan, satu sindiket pelacuran membabitkan wanita warga asing dikesan menggunakan kaedah sama untuk menjalankan perniagaan haram mereka.

Sindiket yang membekalkan khidmat pelacur dari Indonesia, China, Thailand dan Filipina itu menerima tempahan melalui panggilan telefon dan menghantar terus gadis-gadis yang ditempah kepada pelanggan.

Namun, perniagaan haram itu berjaya dibongkar oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman yang menjalankan intipan dan serbuan di sebuah kondominium mewah yang dijadikan sarang persembunyian pelacur terbabit di ibu negara baru-baru ini.

Sumber polis memberitahu, polis yang membuat intipan pada pukul 4 pagi di kondominium terbabit berjaya mengesan tiga buah kereta yang digunakan oleh sindiket itu untuk menghantar pelacur kepada pelanggan yang membuat tempahan di sekitar Lembah Klang.

"Tiga lelaki tempatan yang memandu kereta dan bertindak sebagai pengantara dalam urusan jual beli pelacur terbabit berjaya diberkas.

"Suspek berusia antara 32 hingga 55 tahun tidak sempat melarikan diri bersama sembilan pelacur yang dibawa mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pelacur yang ditahan terdiri daripada empat warga China, tiga Indonesia dan masing-masing seorang wanita Thailand serta Filipina.

Katanya, siasatan mendapati pelacur yang berusia antara 19 hingga 32 tahun ini memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial, malah ada yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Tambahnya, pemeriksaan dalam tiga kereta terbabit turut menemui pelbagai jenis kondom, krim pelincir dan alat perhubungan walkie talkie yang digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan haram tersebut.

"Malah, seorang daripada pelacur China yang ditahan dikesan membawa empat bungkusan dadah dalam beg tangannya.

"Polis tidak menolak kemungkinan wanita terbabit mengambil dadah untuk mendapatkan keseronokan ketika melayan pelanggan," ujarnya.

Sumber berkata, siasatan mendapati, sindiket berkenaan mengenakan bayaran antara RM200 hingga RM300 bagi setiap sesi.

Katanya, selepas menerima pesanan, pelacur yang dipilih akan terus dihantar ke tempat yang diminta oleh pelanggan.

Johor: Sasaran perompak

Oleh Mahani Ishak
bhnews@bharian.com.my
2010/05/18
Banglo Taman Permata Saujana tiada kawalan keselamatan

KOTA TINGGI: Penduduk perumahan banglo Permata Saujana, di sini diselubungi kebimbangan apabila kediaman mereka sering menjadi sasaran penjenayah berikutan kawasan berkenaan tidak mempunyai perkhidmatan kawalan keselamatan tetap sejak dibuka empat tahun lalu. Penduduk mendakwa syarikat pemaju hanya menyediakan pengawal keselamatan di pondok pengawalnya yang terletak di laluan masuk utama taman beberapa bulan pada tahun pertama. Bagaimanapun, pemaju menghentikannya dengan alasan perkhidmatan itu sudah berakhir walaupun penduduk mendakwa perjanjian dimeterai untuk tempoh dua tahun.

Pengerusi Taman Permata Saujana, Hassan Karno, 48, berkata, lebih 10 rompakan berlaku di kediaman berkenaan berikutan tiada kawalan keselamatan sewajarnya bagi memantau pergerakan kenderaan keluar masuk ke taman berkenaan sejak ia mula didiami.

“Rompakan berlaku kerana pondok pengawal yang disediakan hanya dibiarkan kosong tanpa dilengkapi pengawal untuk memantau pergerakan kenderaan dari luar.

“Pemaju juga tidak mendirikan pagar bagi memisahkan kawasan yang belum dimajukan, sekali gus menyebabkan kawasan itu ditumbuhi lalang membolehkan perompak bersembunyi sebelum bertindak memecah masuk rumah yang penghuni tidak berada di rumah, ” katanya.
Hassan berkata, penduduk bersedia berkongsi tanggungjawab membiayai sebahagian kos penempatan pengawal keselamatan dengan pemaju, tetapi pemaju menolak dengan alasan tidak semua penghuni bersetuju dikenakan bayaran bagi tujuan berkenaan.

Dalam kejadian 24 April lalu, kediaman P Villasamy Nadarajan, 41, dirompak ketika beliau tiada di rumah tetapi bernasib baik keluarganya selamat.

“Sejurus saya keluar dari rumah pada jam 9 malam, rumah saya dirompak membabitkan kerugian lebih RM 100,000 antaranya wang tunai, barang kemas dan sebuah kenderaan, walaupun ahli keluarga saya masih berada dalam rumah.

“Bagaimanapun, rompakan yang berlaku tidak kurang 20 minit menyebabkan jiran lain tidak menyedarinya selain penggera keselamatan yang hanya diaktifkan menjelang tengah malam, " katanya.

Villasamy berkata, penduduk turut meminta pihak berkuasa meletakkan pondok kawalan polis kerana balai polis berhampiran agak jauh menyebabkan beberapa kawasan perumahan di kawasan Sri Saujana kerap dirompak.

Selain itu, katanya, Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dan pemaju perlu bekerjasama bagi membersihkan kawasan semak sekitar taman perumahan bagi menangani masalah jenayah di perumahan berkenaan.

“Kebanyakan penghuni terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk memotong rumput dan lalang yang dikhuatiri menjadi tempat persembunyian penjenayah kerana MDKT hanya membersihkan sempadan kawasannya saja sehingga menyebabkan penduduk terdedah kepada bahaya, " katanya.

Mereka juga meminta pihak MDKT menambahkan lampu jalan bagi menerangi keseluruhan kawasan selain meningkatkan tahap keselamatan di persimpangan trafik di laluan utama Jalan Kota Tinggi-Jalan Ulu Tiram kerana mengelirukan pengguna untuk membelok ke kawasan Sri Saujana

Dadah RM1j dirampas

2010/05/18
GEORGETOWN: Polis membongkar satu lagi sindiket memproses dadah apabila menyerbu sebuah pangsapuri dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1 juta di Tanjong Tokong, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 10 malam itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Timur Laut turut menahan seorang wanita warga China berusia 28 tahun dan sepucuk pistol mainan. Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kon Meng, berkata dalam serbuan hasil intipan tiga hari itu, pihaknya merampas heroin lima kilogram (kg), ganja (0.3kg), syabu (0.3 kg) dan ketamin (0.4 kg). Turut dirampas, 1,755 bungkus pil 'Yaba' (kuda), 20 bungkus pil ecstasy dan serbuk ecstasy (15kg).

Pelbagai peralatan memproses dadah seperti tong gas, ketuhar, lima botol asid, pewarna, dulang, lampu serta alat timbang turut dirampas serta sebuah kereta Nissan Sentra.

“Dadah terbabit dipercayai untuk dipasarkan di sekitar negeri ini serta negeri jiran dan ia adalah rampasan terbesar bagi Daerah Timur Laut tahun ini,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Siasatan awal polis mendapati pangsapuri itu disewa sejak beberapa bulan lalu. Gan berkata, wanita berkenaan berasal dari Shandong, China, memiliki pasport yang masih sah dan visa pelancong pula akan tamat bulan depan.

Wanita itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan

Nenek jual heroin ditahan

Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
2010/05/18
Warga emas 65 tahun kena tangkap ketika sibuk layan dua pelanggan

CHANGLUN: Polis menahan seorang nenek berusia 65 tahun kerana disyaki terbabit menjual dadah jenis heroin dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jenalik, dekat sini, pagi kelmarin. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Superintendan Baharom Othman, berkata dalam serbuan jam 11 pagi itu sepasukan anggotanya diketuai Cif Inspektor Sahran Termizi menahan wanita berkenaan ketika sibuk berurusan menjual dadah di rumah itu. Katanya, turut ditahan, dua lelaki berusia 30-an disyaki pembeli dadah.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menemui sebungkus plastik lutsinar mengandungi 30 paket dadah dipercayai heroin tersorok di bawah tikar getah rumah dua tingkat terbabit.

“Harga pasaran dadah yang dirampas dianggarkan sekitar RM8,000,” katanya ketika ditemui di di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kubang Pasu di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya percaya wanita warga emas terbabit menjadikan rumah berkenaan tempat penjualan dadah dan ketika serbuan dibuat, suaminya tiada di rumah.

“Kita turut merampas wang tunai RM2,500. Ketiga-tiga suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk siasatan lanjut dan direman seminggu bermula semalam untuk membantu siasatan,” katanya.

Peniaga mati ditembak ketika sedang minum di restoran

17/05/2010 5:26pm


IPOH 17 Mei – Seorang peniaga maut selepas ditembak oleh seorang lelaki ketika mangsa sedang minum di sebuah restoran di Taman Syabas di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11.45 malam itu, mangsa, Choong Gee Kong, 52, mati di tempat kejadian akibat tembakan yang mengenai kepalanya. – Utusan.

Pasangan pelajar tanam bayi di tebing sungai

2010/05/17
MELAKA: Polis menahan dua suspek iaitu ibu bayi dan teman lelakinya yang juga pelajar belasan tahun, berikutan penemuan mayat bayi lelaki yang ditanam di tepi tebing sebatang sungai di sebuah taman perumahan di Batu Berendam di sini pada awal pagi Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Adnan Abdullah, berkata kedua-dua suspek juvana itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pagi esok. "Siasatan kes ini telahpun selesai mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini. Mohd Adnan berkata, mayat bayi yang dilahirkan cukup sifat itu ditemui pada jam 4 pagi di Taman Melaka Baru.

"Daripada pemeriksaan doktor ke atas mayat bayi itu, didapati terdapat kesan lebam dan kecederaan di bahagian kepala," katanya.

Mohd Adnan berkata, polis menerima laporan daripada ibu kepada pelajar perempuan itu pada kira-kira 10 malam Rabu lalu.

Katanya, wanita berusia 30-an itu mendakwa ketika pulang ke rumahnya kira-kira 2.30 petang pada hari sama, anak perempuannya dalam keadaan kesakitan dan terdapat kesan darah pada pahanya lalu membawa anaknya ke hospital untuk rawatan.

Semasa disiasat polis, pelajar itu menyatakan dia melahirkan bayi secara berseorangan di rumah pada pagi Rabu dan telah menghubungi teman lelakinya, yang membawa bayi baru dilahirkan itu ke suatu tempat untuk disembunyikan.

Katanya, polis berjaya mengesan teman lelaki pelajar itu pada kira-kira jam 1.45 pagi di rumahnya yang kemudiannya membawa polis ke tempat bayi itu ditanam. - Bernama

Makmal proses dadah dibongkar, dadah bernilai RM1 juta dirampas

2010/05/17
GEORGETOWN: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Timur Laut membongkar sebuah makmal memproses pelbagai jenis dadah dan merampas dadah terbabit bernilai RM1 juta dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Tanjung Tokong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kon Meng, berkata serbuan itu dilakukan jam 10 malam semalam hasil makluman awam dan intipan anggotanya sejak tiga hari lalu. "Berikutan intipan itu, polis menyerbu rumah berkenaan dan berjaya menahan seorang wanita warga China, 28, ketika sedang membuka pagar rumahnya itu. "Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai jenis dadah antaranya ialah heroin seberat lima kilogram, ganja seberat 0.3 kg, syabu seberat 0.3 kg, ketamin seberat 0.4 kg, pil kuda sebanyak 1,755 bungkus, pil ekstasi sebanyak 20
bungkus, dan serbuk ekstasi yang belum dibungkus seberat 15 kg," katanya.

Gan berkata, pelbagai peralatan memproses dadah seperti tong gas, ketuhar, pescucor, lima botol asid, kafein, bahan pewarna, lampu serta alat timbang turut dirampas.

Beliau berkata, polis turut merampas sepucuk pistol mainan dan turut menyita sebuah Nissan Sentra yang digunakan oleh wanita berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati suspek yang berasal dari Shandong, China itu mempunyai pasport dan visa tamat tempoh Jun ini," katanya.

Wanita itu kini ditahan reman dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, dadah pelbagai jenis itu dipercayai dipasarkan di sekitar negeri ini serta negeri berhampiran.

Katanya, rampasan itu adalah yang terbesar bagi JSJN Timur Laut dalam tempoh lima bulan pertama ini.

Beliau berkata, siasatan akan terus dilakukan bagi mengenal pasti sama ada sindiket ini mempunyai kaitan dengan kes di kawasan perumahan Bukit Jambul baru-baru ini.

"Kita juga akan siasat berapa lama sindiket ini telah beroperasi dan jika terdapat anggota lain lagi dalam sindiket ini," katanya. - Bernama

Lapan lelaki Afghanistan cuba menyeludup keluar Malaysia ditahan

17/05/2010 4:34pm


PELABUHAN KLANG 17 Mei - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pelabuhan Klang menahan lapan lelaki warga Afghanistan ketika cuba menyeludup keluar melalui perairan negara di Pintu Gedung di sini kira-kira pukul 8.45 malam tadi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Pelabuhan Klang DSP Norzaid Muhammad Said berkata kesemua lelaki itu dipercayai mahu menyeludup masuk ke Australia selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur lima hari lepas.

Mereka yang berusia antara 20 dan 45 tahun itu dipercayai menggunakan sindiket antarabangsa yang didalangi seorang lelaki berstatus penduduk tetap dan telah membayar kira-kira RM3,199 seorang untuk ke Australia melalui negara ini.

"Kita percaya sindiket itu akan membawa kesemua lelaki terbabit ke Indonesia sebagai transit seterusnya sebelum menyeludup masuk mereka ke Australia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

Sunday, May 16, 2010

Tiga sahabat dipenjara sebabkan kematian lelaki

2010/05/17
SHAH ALAM: Tiga sahabat dipenjara tujuh tahun enam bulan, selepas mengaku salah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini terhadap pertuduhan pilihan, menyebabkan kematian seorang lelaki lain, di Pelabuhan Klang, empat tahun lalu.

Mekanik, S Kumaran, 27, pembantu kedai alat ganti, N Viknesh dan penjaga stor, G Muniandy, kedua-duanya berusia 25, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, menyebabkan kematian, S Vijaya Kumar, di Jalan Tangki, Kampung Berembang, Pelabuhan Klang, kira-kira 12.30 tengah malam pada 28 Januari 2006. Hakim Dr Badariah Sahamid ketika membacakan penghakimannya, berkata kepentingan awam perlu diutamakan kerana satu pembunuhan sudah berlaku dan mahkamah perlu menyampaikan mesej bahawa kesalahan itu perlu hukuman setimpal. Beliau yang membacakan beberapa kes lampau, berkata pada masa sama, penjara yang terlalu lama akan menjejaskan prospek ketiga-tiga tertuduh untuk menjalani kehidupan normal sebagai anggota masyarakat apabila dibebaskan.

"Ini adalah pandangan mahkamah antara kepentingan awam dan kepentingan tertuduh," katanya.

Dr Badariah berkata, berikutan ketiga-tiga tertuduh berusia 21 dan 23 tahun ketika kejadian, masih muda dan orang muda cenderung untuk bertindak melulu.

Pada masa sama, katanya, mahkamah mengambil kita ketika kejadian, mangsa dan seorang rakannya berlawan dengan ketiga-tiga tertuduh dan dengan seorang lagi yang masih bebas.
Katanya, walaupun tertuduh ada menuturkan kata-kata lucah terhadap ibu seorang tertuduh, dua lagi rakannya yang dihadapkan ke mahkamah tidak ada kena mengena
dengan perkara itu.

Dr Badariah turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman itu bermula tarikh mereka ditangkap iaitu dari 23 Mac 2006 bagi tertuduh pertama, dan 26 Mac bagi tertuduh kedua dan ketiga.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa, seorang penganggur, sedang minum berdekatan dengan flet Sri Berembang, kira-kira jam 1 pagi apabila mereka didatangi beberapa lelaki yang menaiki kereta Perodua Kancil.

Mereka kemudian bertengkar dan mangsa dipukul dengan topi keledar sebelum diheret masuk ke dalam kereta itu.

Mayat mangsa kemudian ditemui dalam keadaan terlentang di atas rumput tidak jauh dari tempat kejadian.

Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa mendapati, mangsa mati akibat kecederaan di kepala kerana dipukul dengan benda tumpul.

Pendakwaan dijalankan timbalan pendakwa raya Zainal Azwar Kamaruddin, manakala tertuduh pertama diwakili peguam K Viknesvaran, tertuduh kedua oleh K Renuka dan tertuduh ketiga oleh KA Ramu

Suspek curi besi ditahan polis selepas rempuh lembu

KAJANG 16 Mei 2010 - Hasrat tiga penagih dadah untuk menjual besi buruk yang dicuri dari sebuah tapak pembinaan tidak kesampaian apabila kereta yang mereka naiki merempuh sekumpulan lembu di Jalan Jade Hill, di sini hari ini.

Kejadian berlaku pada pukul 1.30 petang ketika penjenayah itu cuba melarikan diri daripada polis peronda yang terserempak dengan mereka di Kilometer 229 Lebuh Raya Utara Selatan, menghala ke utara.

Dalam cubaan melarikan diri itu, kereta suspek turut merempuh penghadang lorong 'Touch n Go' Plaza Tol Kajang sebelum ke Sungai Ramal dan memasuki ke Bukit Angkat.

Namun selepas dikejar sejauh 30 kilometer dan selama 15 minit, akhirnya kereta Toyota Vios itu terlanggar sekumpulan 10 ekor lembu di Jalan Jade Hill.

Jurucakap polis berkata, seorang daripada suspek berusia 43 tahun yang sedang gian berjaya ditahan manakala dua lagi rakannya melarikan diri ke arah hutan berhampiran.

"Berikutan perlanggaran itu, seekor lembu mati manakala dua lagi patah kaki. Hasil pemeriksaan polis menemui 30 batang besi buruk yang dicuri dari tapak pembinaan di Seremban, Negeri Sembilan.

"Polis peronda dari Bukit Aman itu cuba menahan mereka kerana memandu laju dan dalam keadaan mencurigakan selain menggunakan cermin gelap," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek berasal dari Rantau, Negeri Sembilan, mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut.

Wanita lakukan 4 jenayah sehari

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 16 Mei 2010 - Seorang wanita berusia 20-an dari Kampung Gadek, Alor Gajah di sini, mungkin layak digelar 'hati kering' apabila melakukan empat jenayah sekali gus dalam tempoh kurang 24 jam lalu.

Ini berikutan. dia bukan sahaja tidak menginsafi kesalahan pertama apabila ditangkap berkhalwat bersama teman lelakinya, malah melakukan tiga lagi jenayah lain.

Jenayah itu adalah melarikan diri dari pusat tahanan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), mencuri kenderaan pegawai JAIM selain positif dadah jenis syabu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah (gambar) berkata, pada mulanya suspek ditahan JAIM di sebuah rumah, Khamis lalu.

Difahamkan, suspek ditahan bersama teman lelakinya di Taman Wan Siow, Bukit Cina, kira-kira pukul 11 malam, Khamis lalu.

"Suspek kemudian dibawa ke pusat tahanan JAIM. Bagaimanapun suspek berjaya memboloskan diri dari tahanan JAIM pada pukul 5.30 pagi, keesokannya.

"Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 7.45 pagi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek memboloskan diri selepas memecahkan siling di pusat tahanan itu.

Katanya, suspek kemudian melarikan pula kereta milik pegawai JAIM iaitu Toyota Avanza dengan menggunakan kunci yang ditinggalkan.

"Ketika itu, pegawai berkenaan sedang keluar minum di kawasan berhampiran," ujar beliau.

Adnan menambah, susulan itu, polis telah menyerbu rumah ibu bapa suspek di Kampung Gadek, Alor Gajah dan menemui semula kereta curi tersebut, kira-kira pukul 9 pagi semalam.

"Semasa ditahan, suspek sedang mencuci kereta pegawai itu. Ujian air kencing yang dijalankan juga mendapati suspek positif dadah jenis syabu," katanya.

Tambahnya, suspek yang direman akan disiasat di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana lari daripada kawalan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan bermotor dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, katanya, pegawai penguat kuasa berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana kecuaian dalam melakukan tugasan.

Gerakan buru banduan lari Penjara Tawau

TAWAU 16 Mei 2010 - Seorang banduan warga Indonesia yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan merogol seorang kanak-kanak awal tahun ini, meloloskan diri dari Penjara Tawau di sini semalam.

Berikutan itu, polis dengan bantuan Jabatan Penjara melancarkan gerakan besar-besaran bagi memburu banduan terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Supritendan Imran Abdul Rahman berkata, Anas Omar (gambar), 27, disyaki melarikan diri dengan memanjat tembok penjara itu antara pukul 7 pagi hingga 10 pagi ini.

Katanya, Anas yang sedang menjalani hukuman di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dipercayai bertindak seorang diri.

"Kehilangan Anas hanya diketahui kira-kira pukul 10 pagi ketika proses mengira jumlah banduan dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Imran memberitahu, polis telah mengerahkan anggotanya daripada pelbagai unit untuk mencari dan memburu Anas.

Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat tentang Anas supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di talian 089-772121.