Wednesday, March 3, 2010

Pembantu rumah ditahan, buat laporan palsu dirompak

KUALA LUMPUR 3 Mac 2010 - Seorang pembantu rumah warga Indonesia bukan sahaja mencuri barangan berharga majikannya tetapi berjaya memperdayakan mereka kononnya rumahnya dirompak.

Dalam kejadian itu, wanita tersebut dikatakan dirompak dua lelaki warga asing berkulit gelap ketika menyapu di banglo terbabit di Ukay Perdana, Melawati, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, wanita itu juga mendakwa telah diikat oleh kedua-dua suspek sebelum melarikan barangan berharga.

Selepas berjaya melepaskan diri, dia segera menghubungi isteri majikannya yang bekerja di sebuah bank dan memaklumkan kejadian rompakan itu.

Tanpa mengesyaki apa-apa, majikannya bergegas pulang ke rumah dan menghubungi polis yang akhirnya membongkar tembelang suspek tersebut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, dalam kejadian itu, mangsa kerugian barang-barang berharga bernilai kira-kira RM100,000.

"Mangsa bergegas pulang dan mendapati keadaan dalam rumahnya berselerak. 'Perompak' berjaya melarikan komputer riba, telefon bimbit, barang kemas dan jam tangan pelbagai jenama," katanya.

Beliau ditemui selepas mengiring Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelaing Mersat melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, dekat sini hari ini.

Menurut Abdul Jalil, siasatan polis bagaimanapun mendapati kejadian rompakan itu dilakukan sendiri oleh pembantu rumah berkenaan.

Katanya, rahsianya terbongkar apabila polis yang memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di rumah itu mendapati alat tersebut ditutup mulai pukul 11 pagi sehingga 12 tengah hari.

"Polis berasa curiga kerana CCTV di rumah tersebut ditutup semasa kejadian rompakan dilaporkan berlaku.

"Ada kemungkinan pembantu rumah terbabit membenarkan dua penyamun yang bersubahat dengannya masuk ke dalam rumah pada masa itu atau dia sendiri yang mencuri barang-barang tersebut," katanya.

Malah, katanya, keterangan pembantu rumah bahawa perompak adalah warga Pakistan juga menimbulkan curiga kerana belum ada kes pecah rumah membabitkan rakyat dari negara berkenaan.

Sehubungan itu. katanya, polis menahan reman amah berusia 36 tahun itu selama seminggu untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment