Wednesday, March 31, 2010

Badrul Muhayat direman empat hari

Badrul Muhayat dibawa ke mahkamah majistret, Ampang, semalam, untuk mendapat perintah tahanan reman kerana didakwa memukul isterinya.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 31 Mac 2010 - Pelakon dan model, Badrul Muhayat Ahmad Jailani yang ditahan polis malam tadi, direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dakwaan mencederakan isterinya pada 24 Mac lalu.

Artis berusia 41 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret Ampang Jaya di sini pukul 9.25 pagi bersama beberapa tahanan lain. Dia dilihat memakai kemeja dan berseluar pendek dengan tangan bergari.

Badrul Muhayat kemudian dilihat memaki hamun wartawan dan jurugambar yang menghampirinya sebaik sahaja dia turun dari kenderaan polis.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Karimah Wan Abd. Ghani.

Pelakon yang terkenal melalui filem Harry Boy dan Riang Tirana pada tahun 1990-an itu gagal dikesan selepas didakwa memukul isterinya di rumah mereka di Kampung Cheras Baru minggu lalu.

Isterinya, Julia Daud, 28, kelmarin menceritakan kejadian yang menimpa dirinya dan dianggap mimpi ngeri dalam perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, Badrul Muhayat ditahan polis ketika berada di sebuah restoran di Taman Nirwana, Ampang kira-kira pukul 11 malam tadi.

Pelakon yang dikurniakan dua orang anak itu kini disiasat kerana dua kes ugutan jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan satu kes mendatangkan kecederaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Wanita Thai dalang sindiket edar dadah diberkas

KUALA TERENGGANU 31 Mac - Seorang wanita warga Thailand yang diburu sekian lama kerana menjadi dalang sindiket pengedaran dadah di negeri ini, akhirnya berjaya diberkas ketika ingin menghadiri kenduri kahwin saudaranya di Rantau Panjang, Jumaat lalu.

Suspek yang berusia 32 tahun dan berasal dari Nakonsitamrat, Thailand, itu ditahan berhampiran terminal Imigresen di Rantau Panjang, Kelantan, kira-kira pukul 12 tengah hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, suspek adalah dalang satu sindiket pengedaran beberapa jenis dadah yang berjaya ditumpaskan polis tahun lalu.

Katanya, siasatan turut mendapati, suspek memiliki dua kerakyatan iaitu negara ini dan Thailand, bagi mengabui mata pihak berkuasa.

Tambah beliau, suspek juga merupakan isteri kedua kepada seorang pengedar dadah yang diberkas tahun lalu.

"Suspek yang mempunyai empat anak itu sangat licik dan pergerakannya sukar dikesan. Dia disyaki menyembunyikan diri di Thailand sejak tahun lalu.

"Wanita itu juga menggunakan ejen tertentu untuk membawa dadah bagi mengelakkan diri dikesan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut beliau, ketika ditahan, suspek berpura-pura tidak faham bahasa Melayu tetapi identitinya terbongkar apabila dirujuk ke pejabat pendaftaran di sini.

"Pemeriksaan di pejabat pendaftaran mendapati suspek sebenarnya memiliki dua kerakyatan," ujarnya.

Katanya, selain dalang sindiket pengedaran dadah dari Thailand, suspek turut terlibat menyeludup minyak di Rantau Panjang.

Dalam kejayaan lain, kata Roslan, seorang petani berusia 37 tahun yang dikehendaki kerana gagal hadir perbicaraan satu kes dadah melibatkannya selepas dibebaskan dengan jaminan berjaya diberkas polis, Jumaat lalu.

"Siasatan mendapati, dia bersembunyi di kebun pisang di Tepoh, sepanjang tempoh itu, dan dipercayai masih menjalankan kegiatan pengedaran dadah.

"Sebelum ini, 10 pekerjanya juga terdiri daripada penagih-penagih dadah. Suspek turut dipercayai menggunakan isterinya yang merupakan warga Thailand untuk mendapatkan bekalan dadah," ujarnya.

Katanya, suspek berjaya diberkas ketika cuba melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya di persimpangan tasik Kenyir.

"Kereta Mitsubishi Storm yang mereka naiki terbabas ke dalam longkang. Suspek ditahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

"Suspek dipercayai ada kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah dengan pengusaha besi buruk yang ditangkap di Kampung Banggol Air Lilih, Batu Enam di sini pada 10 Februari lalu," katanya.

Polis rampas 62 komputer judi

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my



Anggota polis dibantu oleh Pasukan Gerakan Marin merampas 62 unit komputer dipercayai digunakan sebagai mesin pertaruhan judi pada satu serbuan di Kompleks Seri Relau, Pulau Pinang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PULAU PINANG 31 Mac 2010 - Polis merampas 62 unit komputer dipercayai digunakan sebagai mesin pertaruhan perjudian dalam dua serbuan di Kompleks Sri Relau, Persiaran Bukit Jambul di sini malam tadi.

Dalam operasi 'Ops Dadu' kira-kira pukul 8 malam itu, seramai sembilan orang termasuk seorang wanita tempatan dan seorang rakyat Indonesia yang tidak mempunyai pasport ditahan.
Operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Polis negeri diketuai Cif Inspektor Siti Nor Salawati Saad dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Satu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II Wan Abdullah Tunku Said berkata, dalam serbuan pertama, sebanyak 23 komputer yang digunakan untuk pelbagai jenis perjudian telah dirampas.

Menurutnya, beberapa helai kertas tercatat nilai hasil pertaruhan, dua buku rekod akaun pertaruhan, tiga alat kawalan jauh disyaki bagi mengawal program, wang tunai RM3,763 dan satu perisian program pertaruhan turut dirampas.

"Dalam serbuan itu, seramai empat orang telah ditahan iaitu seorang wanita Indonesia yang tidak memiliki pasport, seorang wanita dan lelaki yang bekerja sebagai penjaga serta seorang lelaki pengutip hasil pertaruhan," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kesalahan yang dilakukan oleh empat individu itu adalah menjalankan kegiatan perjudian mesin komputer haram, tidak mempunyai lesen hiburan awam dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

Dalam serbuan kedua pula, katanya, sebanyak 39 mesin komputer, dua alat kawalan jauh, dua helai kertas mengandungi akaun pertaruhan serta wang tunai RM700 berjaya dirampas.

Serbuan dilakukan pada pukul 8.40 malam dan ketika itu, seramai lima lelaki terdiri daripada seorang penjaga dan empat pelanggan ditahan bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati, premis itu menjalankan kegiatan perjudian mesin komputer haram, tidak mempunyai lesen hiburan awam dan bermain pertaruhan perjudian mesin komputer haram," ujarnya.

Pengurup wang kerugian RM100,000

KUALA LUMPUR 31 Mac - Seorang pengurup wang kerugian RM100,000 apabila pelbagai mata wang tempatan dan asing miliknya dilarikan perompak yang memecah masuk kedainya.

Kejadian itu dipercayai berlaku antara 12.30 tengah malam tadi dan 10 pagi ini di sebuah pasar raya di Jalan Ampang di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam kira-kira pukul 10 pagi.

"Kami mendapati sebuah peti besi yang mengandungi pelbagai mata wang dan pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik pemilik premis itu dilarikan oleh suspek.

"Kami percaya kejadian dilakukan lebih daripada seorang suspek yang memiliki kemahiran tinggi melakukan jenayah itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Jalil berkata, premis tersebut juga pernah dipecah masuk pada tahun lalu.

Tambahnya, premis berkenaan diperbuat dari papan dan memudahkan penjenayah itu memecah masuk setelah menebuk sebuah lubang di kedai alat telekomunikasi yang terletak di sebelahnya.

"Pengawal keselamatan pasar raya yang bertugas ketika itu, ada terdengar bunyi loceng dari premis berkenaan namun dia tidak mengambil apa-apa tindakan.

"Ini kerana dia mengesyaki ia berpunca daripada tikus kerana kejadian seperti itu pernah berlaku sebelum ini," ujarnya.

Abdul Jalil berkata, pihaknya akan menggunakan rakaman CCTV pasar raya terbabit untuk siasatan kes berkenaan.

Beliau turut menasihatkan, pemilik premis itu supaya menaik taraf sistem keselamatan di kedainya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Pasangan kekasih edar dadah ditahan

KUALA LUMPUR 31 Mac 2010 - Sepasang kekasih adalah antara tiga yang ditahan polis dipercayai pengedar dadah di sekitar Cheras di sini, awal pagi ini dan malam tadi.

Polis turut merampas sejumlah dadah membabitkan ekstasi bernilai RM12,000, syabu (RM2,100); Eramin 5 (RM1,710) dan ketamin (RM130).

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, kereta yang dinaiki pasangan kekasih itu ditahan oleh sepasukan polis berhampiran sebuah hotel di Maluri di sini selepas mendapati mereka dalam keadaan mencurigakan.

Pemeriksaan badan ke atas suspek lelaki yang berusia 38 tahun itu menemui syabu seberat 0.28 gram di dalam poket seluarnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, pemeriksaan beg tangan milik teman wanita suspek itu pula, polis menemui 14 pil Eramin 5.

Menurutnya, polis turut menemui 61.9 gram, 100 biji pil Eramin 5 dan wang tunai RM8,000 dipercayai hasil jualan dadah di papan pemuka kereta tersebut.

"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya pasangan itu aktif sejak Ogos lalu dan menjadi pengedar dadah kepada pusat-pusat hiburan di sekitar Cheras dan Dang Wangi," katanya.

Beliau berkata, dalam satu lagi kejadian berasingan kira-kira 9.30 malam tadi, seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan berhampiran restoran di sini selepas polis mencurigai sesuatu.

Katanya, pemeriksaan yang dilakukan ke atas kereta bernombor pendaftaran Singapura yang dinaiki suspek itu menemui sejumlah dadah di dalam beg silang miliknya.

Katanya lagi, kesemua dadah itu terdiri daripada 50 biji pil ekstasi dalam satu bungkusan dan dua peket lagi mengandungi 100 biji pil ekstasi berwarna merah.

Turut ditemui, katanya, satu bungkusan plastik mengandungi syabu dianggarkan seberat satu gram.

Tuesday, March 30, 2010

Tiga kumpulan pengedar dadah tumpas

Kang Chez Chiang (kiri) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR 30 Mac 2010 - Polis menumpaskan tiga kumpulan pengedaran dadah dalam serbuan pada 26 dan 28 Mac lalu, hasil penahanan lima lelaki termasuk seorang warga Nigeria di sekitar ibu negara.

Dalam tiga operasi berasingan itu, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur turut menemui pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai kira-kira RM230,000.

Ketuanya, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah unit kondominium di Jalan Kuching dan menahan dua lelaki, masing-masing berusia 32 dan 36 tahun.

Katanya, hasilnya polis merampas beberapa jenis dadah iaitu 2.2 kilogram (kg) heroin, satu kg. ganja, 5.5 gram syabu dan 60 biji pil Eramin 5.

"Ketika serbuan dilakukan, kedua-dua lelaki itu sedang membungkus dadah dalam peket kecil yang dipercayai untuk pasaran Lembah Klang.

"Polis juga menemui dua alat penimbang dan sebuah buku nota yang mengandungi senarai tempahan pelanggan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Chez Chiang memberitahu, salah seorang daripada mereka baru bebas daripada tahanan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) Disember lalu namun bergiat aktif semula.

Menurut beliau, serbuan kedua dilakukan pada pukul 5 pagi kelmarin, di sebuah rumah di Taman Pusat Kepong dan berjaya menahan seorang lelaki warga Afrika.

"Hasil pemeriksaan terhadap suspek berusia 29 tahun, polis menemui 60 gram dadah kokain. Dia didapati memasuki negara ini sejak setahun lalu," katanya.

Katanya lagi, pada hari sama pukul 6 petang, JSJN Kuala Lumpur mencatat kejayaan ketiga apabila menahan dua lelaki berusia 40 tahun di sebuah restoran di Jalan Sungai Besi.

"Hasil pemeriksaan ke atas premis itu menemui 10 peket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu.

"Anggaran beratnya 257 gram serta nilainya kira-kira RM90,000. Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai tukang kayu dan tukang cat kereta itu juga didapati positif dadah syabu," ujar Chez Chiang.

Tambahnya, kesemua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan bakal berdepan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Badrul sifatkan masalah rumahtangga

KUALA LUMPUR 30 Mac - Pelakon dan model terkenal tahun 90-an, Badrul Muhayat Ahmad Jailani menyifatkan kes pergaduhan antaranya dan isteri, Julia Daud, 28, sebagai masalah rumahtangga yang terlalu peribadi untuk dikongsi.

Sehubungan itu, Badrul, 41, meminta semua pihak supaya menghormati hak peribadi dan memberinya ruang untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Beliau juga menganggap laporan disiarkan di akhbar-akhbar tempatan telah disensasi dan diperbesarkan sehingga menjejaskan rutin hariannya sebagai seorang artis.

Dalam hal ini, beliau memberi jaminan akan bertemu dengan pihak polis secepat mungkin seperti mana diminta pihak berkuasa berkenaan.

"Apa yang berlaku sekarang amat menyusahkan kehidupan saya serta menyukarkan lagi hubungan antara saya dan isteri.

"Saya tidak boleh bergerak ke mana-mana kerana laporan terbabit. Namun percayalah keadaan sebenar tidak seteruk mana... Hanya selisih faham antara suami isteri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pelakon itu gagal dikesan selepas dipercayai memukul isterinya di rumah mereka di Kampung Cheras Baru pada pagi Rabu lalu.

Semalam, Julia menceritakan kejadian yang menimpa dirinya itu yang dianggap mimpi ngeri dalam perkahwinannya.

Sepanjang tiga tahun usia perkahwinan mereka, Julia turut mengakui 'makan hati berulam jantung' memikirkan kesudahan rumahtangga yang dibina atas dasar cinta itu.

Ditanya tindakan isterinya membuat laporan polis dan menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur selepas kejadian, Badrul enggan mengulas lanjut.

Badrul Muhayat kena tahan kes belasah isteri

2010/03/31
AMPANG: Pelakon dan bekas model, Badrul Muhayat Ahmad Jailani yang diburu polis sejak Ahad lalu ditahan di sebuah restoran di Taman Nirwana di sini, malam tadi.

Dia ditahan ketika minum berseorangan di restoran itu kira-kira jam 11 malam selepas polis mendapat maklumat mengenai kehadirannya di kawasan berkenaan.

Badrul Muhayat diburu selepas dikatakan menghilangkan diri apabila isterinya, Julia Daud, 28 membuat aduan polis, Rabu minggu lalu, mendakwa dibelasah, termasuk dipukul menggunakan batang penyapu di rumah mereka di Kampung Cheras Baru di sini. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata pelakon berusia 41 itu ditahan ketika sedang minum seorang diri di restoran berkenaan.

Polis bertindak hasil maklumat awam selepas dimaklumkan pelakon yang popular dengan filem Harry Boy dan Azizah The Legend itu berada di situ.

“Dia akan direman esok (hari ini) dan sekiranya ada kes dia akan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau denda atau sebatan,” katanya ketika dihubungi di sini, awal pagi tadi.

Ahad lalu, akhbar ini melaporkan, pasangan yang mempunyai tiga anak itu bertengkar kerana isterinya, yang juga penari kebudayaan, mengesyaki suaminya mempunyai hubungan sulit berdasarkan kandungan SMS dalam telefon bimbitnya.

Akibat perselisihan faham itu, suspek yang dikatakan marah kemudian bertindak memukul dan membelasah isterinya termasuk menggunakan batang penyapu.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang cedera ringan dan lebam di seluruh badan, dirawat di Hospital Ampang sebelum membuat laporan polis pada hari sama.

Polis selamatkan 5 remaja Filipina daripada diperdagangkan

2010/03/30
TAWAU: Polis menyelamatkan lima remaja perempuan warga Filipina daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan memberkas dua lelaki dan seorang wanita tempatan dalam serbuan di sebuah rumah di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin, berkata remaja berusia antara 14 hingga 20 tahun itu ditempatkan di rumah itu dengan kawalan ketat dipercayai untuk tujuan pekerjaan tidak bermoral.

"Serbuan itu dilakukan hasil maklumat daripada orang awam," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Katanya kelima-lima remaja itu kini ditempatkan di pusat perlindungan wanita di Kota Kinabalu.

Ketiga-tiga suspek yang berusia 22 hingga 35 tahun itu akan didakwa di mahkamah tidak lama lagi.

Ibrahim meminta orang awam terus memberikan kerjasama kepada polis dengan melaporkan sebarang kegiatan tidak bermoral di kawasan mereka. - Bernama

Wanita Jepun mengaku tidak bersalah edar dadah

2010/03/30
SHAH ALAM: Seorang bekas jururawat warganegara Jepun dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 3,493 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Oktober tahun lalu.

Mariko Takeuchi, 36, yang berasal dari Tokyo, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Jepun oleh jurubahasa Safril Riza Samsuri.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter pemeriksaan Kastam D, Unit Khas Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA, kira-kira jam 9.55 malam pada 30 Oktober tahun lalu. Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 9 Ogos depan dan beliau juga dimaklumkan seramai 10 orang saksi akan dipanggil memberi keterangan semasa perbicaraan.

Siti Mariah turut memerintahkan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya dari Kastam Diraja Malaysia, Gan Peng Kun dan Aimie Yusreena Yunus, membekalkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Mariko diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin dan Imran Hadzalie Abdul Hamid. - Bernama

Khairy dakwa Anwar juga kenal tokoh Apco

Salhan K Ahmad
Mac 30, 10
3:00pm

Ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendakwa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersikap selektif dalam mendedahkan maklumat mengenai Apco Worldwide sedangkan ketua umum PR itu juga didakwa mengenali dan bersahabat dengan tokoh-tokoh dalam syarikat perunding tersebut.

Khairy (kiri) juga juga ketua Pemuda Umno berkata, maklumat berkenaan tidak didedahkan Anwar yang ingin membina imej yang baik di gelanggang antarabangsa.

Tambahnya, Anwar mengaitkan kerajaan dengan isu Apco untuk mengalih pandangan masyarakat terhadap isu-isu yang menyentuh peribadi ahli parlimen Permatang Pauh itu.

Katanya lagi, Anwar juga gagal menjelaskan bagaimana Apco terlibat menasihati negara dalam membentuk gagasan 1Malaysia.

Jelasnya, 1Malaysia mula disebut oleh Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan sulung sebaik menjadi perdana menteri, sedangkan kontrak lantikan Apco itu dibuat pada Ogos tahun lalu.

Mengulas mengenai peranan Ethos Consulting, Khairy berkata perkara itu sengaja dibangkitkan oleh Anwar untuk memburuk-burukkan imej beliau.

Dalam ucapannya mengenai Apco, Anwar berkata, antara lain, dilaporkan bahawa perkhidmatan APCO ini diperkenalkan kepada perdana menteri oleh Omar Mustapha, penasihat perdana menteri yang menurut Anwar, juga teman lama ahli parlimen Rembau dan rakan kongsi dalam firma perunding Ethos Consultancy.

Ketika ditanya, beliau juga berkata kerajaan perlu menjelaskan mengenai bentuk maklumat yang diberikan kepada Apco.

"Biasanya, maklumat ini cuma statistik yang boleh diperolehi di domain awam," katanya

Anwar mahu Suruhanjaya Diraja siasat APCO

2010/03/30
KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa kerajaan membatalkan kontrak APCO Worldwide dan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat pelantikan firma komunikasi antarabangsa itu yang didakwa menjejaskan keselamatan negara.

Anwar (PKR-Permatang Pauh) berkata ini kerana latar belakang APCO dan modus operandi firma antarabangsa itu sebagai perunding komunikasi negara diragui dan didakwa mempunyai akses kepada maklumat strategik negara.
Beliau berkata demikian ketika memberikan penjelasan mengenai desakan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) bagi merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mendakwa gagasan 1Malaysia ditiru daripada slogan "One Israel" yang dikaitkan dengan APCO. Namun APCO pada 18 Mac lalu menafikan dakwaan berkenaan.

Bagi menyokong dakwaannya, Anwar mengemukakan dua perjanjian iaitu perjanjian antara APCO dan kerajaan Malaysia bagi memulihkan imej negara di peringkat antarabangsa dan perjanjian antara APCO dan kerajaan Israel ketika Ehud Barak ntera Israel, juga bagi tujuan sama.

Bagi perjanjian pertama yang ditandatangani pada 4 Ogos 2009, beliau mempersoalkan kenapa Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi saksi perjanjian yang ditandatangani antara wakil kerajaan dan APCO.

Dalam penjelasannya, Anwar juga menyebut mengenai peranan sebuah firma perunding tempatan, Ethos Consulting, yang didakwa bertanggungjawab memperkenalkan APCO kepada Perdana Menteri.
Beliau turut mendakwa APCO mempunyai kaitan dengan pentadbiran Najib sebelum 1Malaysia diperkenalkan melalui syarikat Mind Team Sdn Bhd di mana pengarah syarikat terbabit adalah ketua pegawai eksekutif APCO di Kuala Lumpur.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata usaha merujuk Anwar kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen perlu dibuat melalui usul untuk dimuatkan sebagai peraturan mesyuarat. - Bernama

APCO: Perjanjian dibuat sebelum konsep 1Malaysia dilancarkan

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 30 Mac: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Isreal, APCO Inc, sebelum konsep 1Malaysia diperkenalkan.

Beliau turut mengemukakan dua perjanjian untuk menyokong dakwaannya - satu perjanjian antara APCO dan kerajaan Malaysia. Yang satu lagi ialah perjanjian antara kerajaan Israel dengan APCO ketika Ehud Barak mengetuai angkatan tentera Israel.

Kedua-dua perjanjian ini menghasilkan konsep 1Malaysia dan One Israel.

Katanya lagi, kontrak dengan APCO ditandatangani pada 4 Ogos 2009 dengan tugas khusus untuk memperbaiki imej Malaysia di luar negara.

"Ini aneh bagaimana kerajaan tandatangan dengan syarikat. Ia disaksikan setiausaha akhbarnnya sendiri, Datuk Sharifuddin Ahmad. Biasanya (kontrak) ditandatangi oleh pegawai kerajaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menuntut supaya kerajaan segera membatalkan kontrak perkhidmatan APCO Inc dan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat skandal yang disifatkan sebagai mencalar maruah negara.

Ahli parlimen Permatang Pauh itu membuat penjelasan demikian di dewan rakyat hari ini sebagai menjawab perkara yang dibangkitkan Datuk Abd Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) di bawah perkara 37(1) yang dibacakan sekali dengan perkara 36(12) peraturan mesyuarat minggu lalu.

Timbalan speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kemudiannya berkata, usaha untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa itu perlu dibuat secara usul untuk dijadikan sebagai salah satu daripada aturan mesyuarat.

APCO DI KUALA LUMPUR

Menurut Anwar, sebelum APCO beroperasi sepenuhnya di Kuala Lumpur, tokoh-tokoh pentingnya sudah bertugas untuk kerajaan Malaysia di bawah syarikat Mindteam Sdn Bhd.

Paul Stadlen yang menjadi pengarah Mindteam kini adalah CEO kepada APCO di Kuala Lumpur manakala Margaret Kraus adalah CEO APCO Worldwide.

“Sekarang CEO APCO adalah individu yang banyak terlibat dalam banyak urusan di Israel,” kata Anwar.

Anwar mendedahkan syarikat APCO Worldwide merupakan sebuah firma pelobi yang ditugaskan untuk membaiki imej pemimpin yang rasuah dan buruk dari segi hak asasi.

"Apa fungsi firma pelobi di Washington? Selalunya mereka akan mengaturkan perjumpaan atau seminar untuk membaiki imej sesebuah organisasi; terutamanya pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi atau rasuah yang buruk di mata dunia.

"Jadi, fungsi utama mereka adalah untuk membaiki imej pemimpin-pemimpin (atau badan-badan) yang mempunyai rekod yang tidak baik," katanya.

Tambahnya , khidmat APCO juga digunakan oleh Israel pada 1992 oleh perdana menterinya Ehud Barak bagi menjayakan 'One Israel'.

Manakala Malaysia pula menggunakan khidmat APCO bermula 4 Ogos 2009 dengan bayaran kira-kira 20 juta ringgit.

BAGAIMANA APCO MASUK

Beliau juga membawa satu laporan portal berita yang mendakwa APCO diperkenal kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak oleh penasihat Najib, Omar Mustapha melalui sebuah syarikat perunding Ethos & Consultancy.

"Seorang penasihat APCO ditempatkan di pejabat Perdana Menteri sejak awal Perdana Menteri ambil alih jawatan.

"APCO juga didakwa terlibat secara langsung dalam menentukan pentadbiran 100 hari Najib seperti gagasan 1Malaysia," katanya lagi.

Menurut Anwar, sehingga kini Najib belum pun memberi sebarang maklum balas terhadap gesaannya agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasannya, jumlah peruntukannya, setiap penasihat yang terbabit; peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan.

Apa yang dibimbangi jelasnya kenyataan APCO sendiri yang menjelaskan bahawa mereka memainkan peranan penting membentuk strategi komunikasi kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya yang melibatkan rakyat.

"Sekarang, kebimbangan kita bukan sahaja latar belakang APCO, tetapi bentuk penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia dan apakah maklumat yang telah dikongsi oleh kerajaan dengan APCO," katanya lagi.

Beliau juga mendedahkan tiga tokoh utama Israel di dalam APCO iaitu Doron Bergerbest-Eilon, Ittamar Rabinovich dan Shimon Stein di mana ketiga-tiga tokoh ini adalah tokoh kanan rejim Zionis.

Doron Bergerbest-Eilon adalah Ketua Bahagian Keselamatan dan Perlindungan, Agensi Keselamatan Israel (Israel Security Agency).

Itamar Rabinovich adalah Duta Israel ke Amerika Syarikat, dan Shimon Stein adalah bekas duta Israel ke Jerman.

Menurut Anwar kedua-duanya adalah jawatan diplomatik paling kanan dan hanya tokoh paling kanannya sahaja yang menjawat jawatan tersebut.

MODUS OPERANDI APCO

Selain mendedahkan modus operandi APCO, Anwar juga memberitahu APCO sebagai firma pelobi banyak bergantung kepada kemampuannya menangkis soalan-soalan mengenai peranan dan penglibatannya dengan badan yang melantiknya, terutamanya pemimpin-pemimpin yang berimej buruk ini.

Sebab itulah jelasnya, tidaklah sukar untuk Barisan Nasional ingin mengabui mata rakyat dengan meminta APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan dalam 1Malaysia, atau peranan sebenar dengan kerajaan Malaysia.

Mengulas lanjut, Anwar seterusnya mendedahkan APCO dalam operasinya membentuk pertalian dengan kerajaan-kerajaan yang melantiknya menggunakan firma bersekutu (associates) di seluruh dunia seperti Asero dan Global Political Strategies.

"Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah Asero Worldwide yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral.

"Beliau juga adalah salah seorang penasihat antarabangsa kepada APCO," tambahnya lagi.

Sehubungan itu jelasnya, kontrak-kontrak yang melantik APCO tidak semestinya di antara APCO dan kerajaan semata-mata.

Kerajaan katanya boleh sahaja melantik firma bersekutu APCO tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari APCO.

Beliau mengemukakan contoh negara Israel, yang mana lantikan dibuat melalui Asero Worldwide.

Kontrak lantikan bertarikh 9hb Januari 1992 itu adalah di antara kerajaan Israel dan sebuah firma bersekutu bernama GCI International.

Namun jelasnya apabila diteliti kandungan perjanjian tersebut termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas-tugas melobi, salah seorang pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini merupakan CEO APCO.

"Bolehkah Perdana Menteri menerangkan adakah sebelum Ethos atau Omar Mustapha; yang dikatakan bertanggungjawab membawa gagasan 1Malaysia bagi pertimbangan Perdana Menteri; Omar Mustapha atau mana-mana eksekutif Ethos tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO?

Perdana Menteri juga jelasnya perlu menerangkan adakah kerajaan atau Ethos atau mana-mana firma yang dilantik kerajaan; pernah melantik Mind Teams Sdn Bhd iaitu nama syarikat sebelum APCO secara rasmi bertapak di Kuala Lumpur.

"Paul Stadlen yang kini mengetuai APCO di Kuala Lumpur merupakan individu sama yang menandatangani perjanjian bagi pihak Mind Teams Sdn Bhd dengan Kerajaan Malaysia.

"Antara pengarahnya juga adalah Margery Kraus; CEO APCO dan invidu penting yang terlibat dengan akaun di Israel", jelasnya lagi.

Rekod APCO katanya menunjukkan hubungan rapat dengan pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi manusia atau penyelewengan harta rakyat di seluruh dunia.

APCO katanya lagi, banyak memberi khidmat untuk memulihkan imej pemimpin-pemimpin sebegini yang menindas rakyat di negara masing-masing.

Tambahnya lagi, akhbar The Times of India menulis APCO mempunyai diktator-diktator di dalam senarai pelanggannya .

Rencana tersebut menyenaraikan antaranya Adolf Hitler, Narendra Modi, Sani Abacha, Nursultan Abishuly Nazarbayev dan Mikhail Khodorkovsky yang didakwa ada kaitan dengan mafia.

"Soalan saya kepada Perdana Menteri – jika ini reputasi dan rekod APCO yang diketahui umum; apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat melalui perlantikan APCO sebagai perunding kerajaan?

"Apakah pentadbiran Perdana Menteri mengakui bahawa Perdana Menteri dan partinya Umno adalah setaraf dengan rejim-rejim diktator di dunia; sehinggakan khidmat APCO yang selama ini membaiki imej diktator perlu digunapakai?" soalnya lagi.

Tumbuk teman wanita kerana tidak diberi wang

2010/03/30
KUANTAN: Ketika sedang berpacaran, seorang lelaki menumbuk dan memukul teman wanitanya kerana tidak diberi wang yang dimintanya daripada wanita tersebut.

Kejadian berlaku berhampiran kawasan asrama pekerja sebuah kilang di Padang Lalang di sini jam 9 malam tadi.

"Lelaki berusia 20-an terbabit secara tiba-tiba meminta sejumlah wang daripada teman wanitanya yang berusia 18 tahun, namun selepas permintaannya tidak dituruti, dia bertindak memukul bahu mangsa. "Malah dia bertindak menumbuk muka dan badan mangsa," kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Superintendan Nordin Mustapha. Nordin berkata lelaki tersebut turut merampas telefon bimbit dan wang RM100 milik mangsa sebelum melarikan diri.

Katanya mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Beliau berkata polis sedang memburu lelaki terbabit yang mendampingi mangsa tiga bulan lalu. - Bernama

Monday, March 29, 2010

Wanita China seludup 1.8kg heroin ditahan

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my

PULAU PINANG 29 Mac 2010 - Curiga dengan penampilan seorang wanita yang memakai pakaian lebih besar daripada saiznya, anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) telah bertindak menahannya.

Tindakan itu ternyata tidak sia-sia apabila pemeriksaan ke atas wanita warga China itu menemui dadah jenis heroin No.4, seberat 1.8 kilogram yang diikat pada lengan dan kakinya.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kesemua dadah itu dianggarkan berharga RM250,000 mengikut harga pasaran.

Beliau berkata, suspek berusia 40-an ditahan pada pukul 6.35 pagi ketika hendak berlepas ke Hong Kong.

"Dia ditahan setelah berada dalam keadaan mencurigakan kerana mengenakan pakaian bersaiz besar dan cara berjalan yang kekok," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah komputer riba milik suspek dan pelbagai jenis mata wang asing berjumlah RM4,700.

Menurut Tun Hisan, suspek kini direman sehingga 4 April ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek telah datang beberapa kali ke negara ini khususnya di Pulau Pinang.

"Kebiasaannya, suspek berada di negara ini antara tiga dan empat hari untuk setiap lawatan serta menginap di beberapa buah hotel," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, katanya, pemeriksaan ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyebabkan sindiket pengedaran dadah mula mencari pintu keluar masuk yang baru termasuk LTABL.

Jelasnya, berikutan senario terkini itu, polis mula meningkatkan pemantauan dan kawalan di LTABL.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan kepada anggota polis yang bertugas di lapangan terbang jika curiga dengan perwatakan atau gaya seseorang.

"Kalau orang kurus berpakaian hingga jadi gemuk, jalan pun kekok, tentu ada yang tidak kena pada orang itu.

"Lapor segera kepada polis supaya kita boleh buat pemeriksaan bagi membendung negara ini menjadi transit pengedaran dadah," ujarnya.

Melaka&Negeri Sembilan: Lokasi jual barang curi

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
bhizar@bharian.com.my
2010/03/30
Hang Tuah Mall jadi ‘pasar haram’ mat gian cari pelanggan

MELAKA: Hang Tuah Mall di Jalan Hang Tuah, di sini, yang dimajukan kerajaan negeri dengan menggunakan konsep Bintang Walk seperti di Kuala Lumpur, sememangnya terkenal di kalangan penduduk tempatan atau pelancong luar sebagai kawasan beli-belah yang menyajikan pelbagai produk.

Selain jalan raya sepanjang 1.2 kilometer di situ menjadi lokasi rasmi perarakan sambutan beberapa hari kebesaran negeri, kawasan yang dibangunkan dengan kos kira-kira RM8.5 juta itu juga menjadi tumpuan orang ramai pada waktu malam, kerana lokasi sekitarnya dihiasi dengan lampu berwarna-warni. Namun, di sebalik populariti indah yang dicanangkan itu, nama Hang Tuah Mall kini turut dicemari dengan aktiviti tidak sihat. Isu ini timbul apabila ada di kalangan beberapa individu, dipercayai penagih dadah, dikesan menjadikan kawasan itu sebagai tapak untuk mereka berniaga barangan curi.

Aktiviti berkenaan dikatakan sudah lama berlaku dan semakin aktif sejak kebelakangan ini. Perkembangan itu sedikit sebanyak mula menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai dan berharap perkara itu dapat dibendung segera.

Berita Harian baru-baru ini menjalankan siasatan sendiri bagi melihat kebenarannya dan tinjauan pertama di lokasi yang letaknya antara dua bank di jalan terbabit. Di kawasan berkenaan, dikesan seorang lelaki kerap menghampiri pemandu kenderaan yang meletakkan kenderaan untuk berurusan sebuah di bank berhampiran.

Didapati lelaki berkenaan memang cuba menawarkan sesuatu kepada pemandu terbabit untuk membelinya. Selepas melihat secara dekat, didapati barangan berkenaan adalah beberapa telefon bimbit dan kamera pelbagai jenama.

Semua barangan itu disimpan dalam poket seluar atau baju. Mereka hanya akan mengeluarkannya jika menghampiri sasaran.

Selepas beberapa lama memerhatikannya, Berita Harian cuba menghampiri lelaki berkenaan dengan menyamar sebagai pembeli bagi mendengar sendiri cara dia memujuk. Percubaan pertama berjaya apabila lelaki berkenaan tidak mengesyaki apa-apa.

Tanpa diminta dia menunjukkan seunit kamera digital bersama sebuah beg dan mula menawarkan harga.

"Kamera ini kalau di luar harganya beribu ringgit. Berapa kamu mahu? Kalau mahu, tunggu saya di lorong sana, tetapi kena cepat, takut orang nampak," katanya. Penulis mengikut arahannya dan terus bergerak ke lorong berkenaan.

Pada mulanya, lelaki itu meletakkan harga RM1,200, kemudian bersetuju menurunkan harga pada RM200 selepas ditawar beberapa kali.

"Betul bang... ini kamera memang seperti jurugambar profesional guna," katanya sambil turut menunjukkan telefon bimbit berjenama di bawah bajunya.

Selepas tidak dipedulikan, lelaki berkenaan dilihat beredar sambil mendekati beberapa lagi pemandu kenderaan yang lain di situ.

Dalam pada itu, seorang peniaga makanan di situ yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, 30, mendakwa selain menjual barangan dipercayai curi, individu terbabit juga menjual barangan palsu seperti telefon bimbit tanpa disedari pembeli.

"Aktiviti seperti ini masih terus berlaku selagi ada orang sanggup membeli barangan curi. Saya percaya kegiatan ini bukan berlaku di Hang Tuah Mall saja, malah menular di sekitar bandaraya. Oleh itu, tindakan yang tegas dan berkesan perlu diambil oleh pihak berwajib supaya gejala ini dibendung dengan segera,” katanya.

Dua ahli sindiket curi kereta mewah ditangkap

JOHOR BAHRU 29 Mac 2010 - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket curi kereta mewah dengan tertangkapnya dua lelaki dan merampas lima buah kenderaan bernilai RM1.3 juta di Taman Permas Jaya, Khamis lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, suspek berusia 32 dan 34 tahun itu ditahan semasa memandu sebuah kereta Toyota Alphard dengan nombor pendaftaran palsu.

Beliau berkata, kereta tersebut dilaporkan hilang di Kelana Jaya, Selangor pada 21 Januari lalu.

"Hasil siasatan lanjut, polis berjaya merampas empat lagi kenderaan curi iaitu dua buah jenis Toyota Alphard serta masing-masing sebuah Toyota Hilux dan Honda Accord.

"Kesemua kenderaan berkenaan dilaporkan dicuri di sekitar Lembah Klang," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPK) Johor di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan dan akan diserahkan kepada polis Selangor untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pihaknya percaya penangkapan dua lelaki tersebut dijangka dapat menyelesaikan kes-kes curi kereta mewah di sekitar Lembah Klang.

Dalam kes berasingan, Mohd. Mokhtar berkata, polis berjaya menahan dua lelaki warga Indonesia berusia 47 dan 53 tahun kerana disyaki terlibat dengan kejadian samun di Benut, Pontian, Khamis lalu.

Katanya, dalam kejadian pukul 10.20 pagi itu, empat lelaki warga Indonesia bersenjatakan sepucuk pistol dan dua bilah parang memecah masuk sebuah kedai runcit.

"Keempat-empat suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta Proton Wira berwarna biru ke arah Batu Pahat tetapi berjaya dikesan di Jalan Besar Senggarang, hasil maklumat awam.

"Menyedari kehadiran polis, kesemua suspek melarikan diri ke kebun kelapa sawit berhampiran bekas Lapangan Terbang Tanjung Laboh, Senggarang," katanya.

Katanya lagi, hasil tindakan pantas polis, seorang suspek berusia 53 tahun berjaya ditahan pada pukul 11.30 pagi, manakala seorang lagi ditahan pukul 7.30 pagi keesokannya.

Mohd. Mokhtar berkata, polis juga berjaya merampas wang tunai RM974, dua buah telefon bimbit, dua utas jam tangan jenama Omega dan Guess, sepucuk revolver berisi lima butir peluru serta gelang tangan pelbagai bentuk.

Katanya, kumpulan tersebut dipercayai terlibat dalam 11 kes samun di daerah Batu Pahat, dua kes di Ledang dan masing-masing satu di Pontian dan Kota Tinggi.

Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Polis rampas komputer, syabu dalam serbuan

RANAU 29 Mac 2010 - Polis menahan lapan lelaki dan merampas 18 unit komputer yang diubah suai untuk tujuan perjudian di sebuah pusat snuker di Jalan Lasing, di sini semalam. Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Suhaimi Hashim berkata, ketika ditahan kesemua mereka sedang leka berjudi di dalam premis terbabit.

"Polis menemui wang tunai RM373 yang disyaki digunakan untuk berjudi. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Menurut Suhaimi, dalam operasi berlainan, seorang lelaki berusia 20-an ditahan di dalam sebuah hotel berdekatan Kampung Muhibah.

"Sebanyak 24 peket plastik berisi tujuh gram hablur putih dipercayai syabu ditemui di dalam beg suspek.

"Hasil ujian ujian air kencing, dia juga didapati positif dadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, seorang lelaki berusia 21 tahun turut ditahan kerana memiliki satu peket plastik berisi 0.4 gram syabu di sebuah rumah berdekatan kampung sama.

Tambahnya, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dua beradik, kekasih curi getah skrap

2010/03/30
ALOR SETAR: Polis menahan dua beradik lelaki dan teman wanita seorang daripada mereka kerana didapati terbabit dalam kes kecurian getah skrap di ladang getah sekitar kawasan Jeniang, Sik, dekat sini, semalam.

Kegiatan mereka yang berusia lingkungan 20-an dihidu seorang peraih getah, Maznah Mat Aziz, 57, apabila mendapati remaja berkenaan sering menggunakan kereta bernombor pendaftaran berlainan setiap kali ke kedainya di Kampung Kuala Tekai, Padang Terap untuk menjual getah skrap, 60 kilometer dari tempat ia dicuri.

Malah sebahagian daripada getah skrap yang dijual juga adalah milik Maznah yang dicuri suspek dari kedai getah berkenaan. Jurucakap Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Padang Terap ketika dihubungi berkata, apabila menyedari perkara itu kira-kira jam 8.30 pagi semalam, Maznah meminta pekerjanya mengawasi suspek sebelum bertindak menghubungi polis.

"Seorang daripada lelaki itu cuba lari ke kawasan semak berhampiran namun berjaya diberkas pekerja Maznah.

"Mereka kemudian diawasi beberapa penduduk kampung sementara menunggu kehadiran polis.

"Berdasarkan maklumat awal yang kami terima, penduduk memberitahu, suspek mengaku aktif mencuri getah skrap di kawasan ladang sekitar Jeniang sebelum menjualnya kepada peraih di situ," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Polis turut merampas lima guni getah skrap bernilai hampir RM500 daripada kumpulan berkenaan.

Kegiatan mencuri getah skrap di beberapa kawasan di negeri ini kembali aktif berikutan harga komoditi itu yang mencecah RM4.80 sekilogram sekarang.
Beliau berkata, kes masih dalam siasatan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil memberi keterangan.

Warga asing lolos guna kenderaan

2010/03/30
KUALA LUMPUR: Enam belas mangsa pemerdagangan manusia warga asing yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabtu lalu dipercayai keluar dari kawasan Sepang dengan menggunakan kenderaan.

Polis yang menggiatkan gerakan mencari mereka, tidak menolak kemungkinan mereka menggunakan jalan ladang tidak jauh dari depoh itu yang mempunyai laluan ke Banting, Klang dan Kajang.
Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zahedi Ayub, berkata unit anjing pengesan polis hanya dapat mengesan jejak mereka sehingga jalan besar tidak jauh dari depoh tahanan. “Selepas itu jejak mereka hilang dan dipercayai melarikan diri menaiki kenderaan.

“Kita giatkan gerakan memburu dengan mengadakan sekatan jalan raya selain meminta bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah berdekatan.

“Gerakan turut dilakukan di ladang sawit yang mungkin dijadikan lokasi persembunyian mereka,” katanya di sini, semalam.

Kumpulan pecah kereta tumpas

KUALA LUMPUR 29 Mac 2010 - Kegiatan sekumpulan lelaki yang memecah kereta untuk mencuri barang berharga seperti komputer riba di kawasan Pantai Dalam, Brickfields di sini, berjaya ditumpaskan polis menerusi beberapa tangkapan minggu lalu.

Kesemua mereka yang berusia antara 20 dan 23 tahun itu ditahan dalam operasi selama tiga hari bermula 23 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, siasatan awal polis mendapati kumpulan itu mengaku terlibat dalam sekurang-kurangnya 15 kes termasuk kes terbaru membabitkan seorang mangsa wanita pada 16 Mac lalu.

Katanya, tangkapan suspek adalah hasil tindakan susulan satu laporan polis yang dilakukan seorang pegawai Teknologi Maklumat (IT) wanita berusia 36 tahun, mendakwa keretanya dipecah dan komputer riba milik syarikatnya dilarikan.

"Kejadian dipercayai berlaku di Jalan Pantai Baru pada pukul 9.50 malam ketika mangsa sedang makan bersama rakan-rakannya.

"Mangsa hanya menyedari komputer riba itu dicuri ketika ingin mengambil keretanya yang diletakkan di bahu jalan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Wan Abdul Bari memberitahu, hasil tangkapan suspek juga menemui tiga komputer riba yang dipercayai hasil curi.

"Setiap komputer riba dipercayai dijual kepada pembeli yang berminat pada harga murah iaitu di antara RM700 dan RM1,000," jelasnya.

Sehubungan itu, Wan Abdul Bari menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan barangan berharga seperti komputer riba di dalam kereta untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

"Jangan sangka anda tidak akan kena, elakkan risiko sebegitu. Saya juga ingin nasihatkan orang ramai berhati-hati sekiranya didatangi orang tidak dikenali yang menawarkan komputer riba pada harga rendah.

"Adalah menjadi kesalahan untuk membeli atau memiliki barangan curi," tegas beliau.

Dalam satu kes berasingan, katanya, seorang warga Amerika Syarikat dilaporkan lemas ketika berenang bersama dua anaknya di kolam renang sebuah kondominium di Bukit Bandaraya pada pukul 4 petang semalam.

Mangsa yang berusia 41 tahun merupakan eksekutif di sebuah syarikat minyak di ibu negara, mati ketika dalam perjalanan ke Pusat Pakar Damansara.

Wan Abdul Bari berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Warga Indonesia dipenjara sembilan tahun, tiga sebatan

SHAH ALAM 29 Mac 2010 - Seorang penganggur warganegara Indonesia dihukum penjara sembilan tahun dan sebatan tiga kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merompak pembantu juruteknik dengan bersenjatakan pemutar skru pada tahun lalu.

Hakim Hasbi Hasan memerintahkan hukuman terhadap Anjas Anuar, 31, yang berasal dari Batam itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 23 April 2009.

Anjas mengaku merompak wang tunai RM300, sepasang subang dan dua gelang emas serta tiga telefon bimbit yang kesemuanya bernilai RM2,500 milik Zawawi Mohammad, 51, dengan bersenjatakan pemutar skru.

Dia bersama dua lagi yang masih bebas didakwa melakukan kesalahan itu di rumah No.1, Jalan TRJ1/11C, Taman Rahmat Jaya Kundang, Rawang dekat sini pada pukul 3.30 pagi, 23 April 2009.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Noora Nisa Ngadirin mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Terdahulu, sambil meminta maaf, Anjas memohon agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan mempunyai anak yang masih kecil selain isterinya tidak berkerja.

Wan Noora Nisa bagaimanapun memohon hukuman yang mampu memberi pengajaran kepada tertuduh yang telah menyebabkan mangsa sekeluarga mengalami trauma akibat kejadian itu.

Lebih-lebih lagi, hujah beliau, tertuduh seorang pendatang yang masuk ke Malaysia dengan tujuan mencari rezeki dan tidak sepatutnya terlibat dengan perbuatan jenayah.

Mengikut fakta kes, Anjas ditangkap sendiri oleh Zawawi yang bertindak merampas pemutar skru yang menjadi senjata Anjas dalam kejadian pecah masuk ke rumahnya tahun lalu.

Dua daripada rakan Anjas yang berjaya melarikan diri masih gagal dikesan.

Ahli politik khalwat gadis bawah umur

2010/03/30
TANAH MERAH: Seorang pemimpin politik bahagian Tanah Merah berusia 54 tahun ditangkap khalwat bersama gadis bawah umur di sebuah hotel di jajahan ini, kelmarin.

Lelaki itu ditahan bersama gadis berusia 16 tahun ketika serbuan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEIK) Tanah Merah bersama lapan penguat kuasa diketuai Imam Masjid Bandar, Roslee Ismail dan ahli Rukun Tetangga jam 1.30 pagi.

Difahamkan lelaki itu keluar dari bilik selepas penguat kuasa JHEIK mengetuk bilik berhampiran sehingga menimbulkan curiga. Berikutan itu, penguat kuasa memeriksa bilik lelaki terbabit dan terkejut apabila mendapati seorang gadis belasan tahun dalam keadaan berkemban.

Dia bersama pasangannya dibawa ke pejabat JHEAIK jajahan ini untuk tindakan lanjut selepas gagal mengemukakan dokumen sah mengenai status mereka ketika berdua-duaan dalam bilik hotel berkenaan.

Selepas keterangan diambil, kedua-duanya dijamin seorang penjamin sementara menunggu tarikh perbicaraan pada 18 Mei ini.

Pihak berkuasa turut menahan pasangan lelaki dan wanita yang bukan muhrim dalam bilik hotel berkenaan

Isteri harap Badrul insaf, ubah sikap

Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my
2010/03/30

Badrul MuhayatPolis pantau sempadan elak pelakon lari

KUALA LUMPUR: Isteri pelakon dan model, Badrul Muhayat Ahmad Jailani berharap suaminya akan berubah dan bertanggungjawab terhadap segala perbuatan yang dila-kukan terhadap dirinya.

Julia Daud, 28, yang mendakwa pernah dipukul ketika dalam pantang anak kedua, berkata beliau masih tertekan mengenai kejadian itu dan belum bersedia memikirkan masa depan rumah tangganya. “Saya masih tertekan dengan apa yang berlaku, selain terpaksa menguruskan dua anak termasuk yang baru berusia empat minggu seorang diri tanpa suami,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Beliau yang kini berpantang di kampungnya di Sungkai, Perak, berkata sejak kejadian Rabu lalu, Badrul tidak pulang tetapi pernah menghubunginya untuk bercakap dengan anak sulung mereka yang kini berusia dua tahun.

“Saya tidak tahu di mana dia sekarang, cuma memberitahu tinggal di rumah kawan. Saya berharap dia akan berubah dan bertanggungjawab terhadap perbuatannya, apa lagi ketika kejadian saya masih dalam pantang,” katanya.

Mengimbas kejadian Rabu lalu, Julia yang juga penari kebudayaan sambilan berkata, selepas dikasari secara fizikal, beliau terpaksa meminta pertolongan jiran untuk menghantarnya ke Hospital Ampang sebelum membuat laporan polis.

Julia dalam laporannya mendakwa ditumbuk selain ditendang dan dipukul termasuk dengan penyapu.

“Selepas kejadian itu, saya tidak pasti apa yang perlu dilakukan, hanya memikirkan anak dan menghabiskan tempoh berpantang di kampung.

“Selepas itu baru saya bercadang mencari pekerjaan tetap untuk menyara diri dan anak. Nak harap dia balik, saya tak pasti.

“Biarlah saya tenangkan fikiran kerana saya tidak mahu membuat keputusan dalam keadaan tertekan,” katanya.

Julia juga mendakwa, kejadian minggu lalu bukan kali pertama kerana sebelum ini beliau pernah beberapa kali dikasari.

Semalam akhbar ini melaporkan, polis sedang mencari Badrul Muhayat, 41, bagi membantu siasatan kes pukul isterinya.

Pelakon yang pernah membintangi filem Azizah The Legend dan Harry Boy sehingga kini masih gagal dikesan.

Sementara itu, polis mendapatkan bantuan pihak berkuasa di pintu keluar sempadan negara untuk menjejaki Badrul.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata langkah itu adalah usaha terakhir yang dilakukan pihaknya jika pelakon terbabit masih enggan menyerah diri.

Katanya, polis juga sudah meminta bantuan jiran pasangan itu di Kampung Cheras Baru, Ampang, untuk memaklumkan kepada mereka jika pelakon terbabit pulang ke rumah terutama pada tengah malam dan awal pagi.

“Sebelum ini, kita hanya memantau rumah pelakon berkenaan pada awal pagi,” katanya.

Beliau juga berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya menghubungi balai polis berhampiran

Polis tahan kumpulan samun Botak Perdana

2010/03/29

JOHOR BAHRU: Polis berjaya menahan sekumpulan tiga lelaki Khamis lepas dipercayai menyamar sebagai anggota polis dan melakukan aktiviti menyamun di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata kumpulan bergelar Botak Perdana itu dianggotai lelaki berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun dan salah seorang daripadanya merupakan bekas polis bantuan di sebuah jabatan kerajaan di sini.

Dua lagi suspek adalah adik-beradik yang bekerja sendiri.

"Kumpulan ini menahan mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai polis, memasukkan mangsa ke dalam kereta sebelum menyamun mangsa dan kemudiannya meninggalkan mangsa di tempat tertentu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mokhtar berkata, mereka ditangkap jam 11.30 pagi dalam satu serang hendap di kawasan Tampoi di mana polis berjaya merampas satu pas polis bantuan, dua tali pinggang hitam berlogo polis, gari, buku nota polis, sehelai vest berlogo polis, sepasang baju seragam polis berpangkat Konstabel, dua helai jaket hitam berlogo polis serta topi bertulis ''CID'' dan polis serta dua keping kad keahlian Pekida.

Pihaknya percaya dengan tertangkapnya kumpulan itu polis berjaya menyelesaikan 15 kes samun dan menyamar polis di sekitar bandar raya ini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan (Samun Berkumpulan dan Menyamar) dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan.

Mokhtar turut mengingatkan orang awam agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Orang awam berhak untuk meminta kad kuasa dari mana-mana pihak yang mengaku polis yang menahan mereka sebagai bukti pihak itu adalah polis yang sebenar.

Beliau berkata kad kuasa anggota Konstable sehingga ke Sub Inspektor berwarna kuning manakala pegawai berpangkat Inspektor ke atas berwarna biru.

-- Bernama

Bekas penuntut bakar rumah rakan wanita dibicara Okt

29/03/2010 4:17pm

KUALA LUMPUR 29 Mac 2010 – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini hari ini menetapkan 12 dan 13 Oktober ini untuk perbicaraan kes seorang bekas penuntut kolej swasta yang didakwa menyebabkan kecederaan parah dan membakar rumah rakan wanitanya, tiga tahun lalu.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menetapkan tarikh itu selepas dipersetujui peguam Mohd. Radzlan Jalaludin, yang mewakili Muhammad Faiz Ghazali, 22, dan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asmah Ahmad.

Pada 30 April tahun lalu, Muhammad Faiz ketika dihadapkan ke mahkamah mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan tukul besi kepada Suhaiza Abas, 22, di Blok E-T02-U03, Putra Damai, Presint 11, Putrajaya pada 3.40 petang 14 Jun 2007.

Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Faiz didakwa melakukan khianat dengan api dengan niat untuk membakar rumah dan membinasakan mangsa.

Bagi pertuduhan akhir, Muhammad Faiz didakwa dengan niat cuba membunuh Suhaiza dengan memukul dan membakar biliknya.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah mengekalkan tiada sebarang jaminan diberikan kerana kesalahan yang dilakukan adalah berat dan serius. – Bernama

Dua penarik kereta 'kurung' suri rumah ditahan polis

29/03/2010 4:29pm

Oleh NAZARUDIN SHAHARI

ALOR SETAR 29 Mac 2010 – Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat ‘menahan’ seorang suri rumah selama dua jam di sebuah stor di sini selepas menarik kereta mangsa dalam satu kejadian Rabu lalu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Deputi Supritendan Fiesal Libertus Abdullah berkata, kedua-dua lelaki yang berusia 33 dan 34 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis di dua dua tempat berasingan di sini dan Jitra pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk menahan reman kedua-dua suspek selama tiga hari mulai semalam.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan iaitu mengurung secara salah. Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Menurut beliau, polis dijangka membuat beberapa lagi tangkapan berhubung kes tersebut. – Utusan

Sunday, March 28, 2010

Timur: Pencuri ceroboh masjid

Oleh Shamsudin Husin
bhkt@bharian.com.my
2010/03/29
sebelum - selepas

WAN ABDULLAH menunjukkan kepala paip yang hilang di bilik wuduk sehingga terpaksa ditutup.Pelbagai kemudahan termasuk kepala paip dicuri sukarkan jemaah beribadat

KERTIH: Kegembiraan lebih 1,000 jemaah Masjid Kampung Batu Putih di sini untuk kembali menunaikan solat berjemaah di masjid kampung mereka yang baru dibaik pulih, terbantut kerana 30 kepala paip tembaga dicuri menyebabkan mereka terpaksa menunggu lama untuk berwuduk.

Selepas terpaksa bersesak di masjid lama apabila sebahagian bumbung masjid itu runtuh lima bulan lalu hanya selepas setahun digunakan, khabar mengenai kerja pembaikan selesai dan masjid itu sedia digunakan semula sejak tiga minggu lalu menceriakan penduduk, tetapi kegembiraan itu tidak kekal lama kerana mereka masih terpaksa menanggung kesusahan untuk berwuduk dan menggunakan tandas. Tinjauan Edisi Timur ke kawasan itu mendapati selain kepala paip dicuri, pintu stor di bahagian menara masjid turut dipecahkan dan tingkap bilik imam dan bilal juga turut diumpil pencuri.

Bilal masjid itu, Wan Abdullah Wan Daud, 46, berkata kehilangan kepala paip dan pelbagai peralatan lain di masjid itu menyukarkan penduduk menunaikan solat berjemaah terutama solat Jumaat.

"Kami kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab pencuri yang dipercayai penagih dadah di daerah ini kerana tergamak mencuri di masjid hingga menyusahkan orang ramai.

"Bagi mengelak jemaah terpaksa menunggu lama untuk berwuduk kerana hanya ada 10 paip saja yang masih boleh digunakan, ramai di kalangan mereka yang bersolat di masjid ini terpaksa mengambil air sembahyang lebih awal di rumah atau pejabat," katanya yang berharap pihak berkaitan dapat mengatasi segera masalah itu.

Sementara itu, mengulas mengenai struktur bumbung yang baru dibina semula, seorang jemaah, Mohd Fauzi Salleh, 35, berkata mereka yakin kejadian lima bulan lalu tidak berulang lagi kerana mutu dan bahan binaan yang digunakan lebih berkualiti berbanding sebelumnya.

Pada kira-kira jam 8 pagi 2 Oktober lalu, penduduk Kampung Batu Putih gempar apabila sebahagian besar bumbung masjid berkenaan yang tidak sampai setahun digunakan, runtuh menyebabkan seorang pekerja warga Indonesia yang baru memulakan kerja pembaikan bumbung masjid berkenaan cedera parah, manakala dua lagi cedera ringan akibat ditimpa runtuhan atap genting dan struktur keluli.

Akibat runtuhan itu, masjid bernilai RM2.1 juta itu tidak dapat digunakan, malah satu majlis akad nikah yang dirancang diadakan di situ kira-kira jam 11 pagi terpaksa dipindahkan ke sebuah masjid lain yang jaraknya kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian.

Kejadian bumbung runtuh itu adalah yang kedua seumpamanya selepas sebahagian besar bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak di sini, runtuh 2 Jun lalu.

52 ditahan ketika leka sabung ayam

2010/03/29
KUALA LUMPUR: Sekumpulan 52 lelaki leka berjudi sabung ayam dan bola golek panik apabila mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah pekerja di tapak pembinaan kondominium Victory, Taman Melati, Setapak di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 petang itu, empat lelaki dipercayai dalang sindiket judi haram terbabit turut ditahan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) hasil maklumat awam dan risikan.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata pihaknya menjalankan risikan selama tiga hari sebelum memberkas semua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an. “Ketika serbuan dilakukan, mereka sedang leka berjudi tanpa mempedulikan kehadiran pihak berkuasa yang mengepung kawasan terbabit.

“Ada di antara mereka (kaki judi) cuba meloloskan diri melalui laluan tikus ke hutan berhampiran yang disediakan penganjur namun berjaya ditahan,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati rumah terbabit dijadikan lokasi perjudian haram sejak dua minggu lalu dan sering dikunjungi kaki judi warga tempatan dan asing.

Malah, sindiket berkenaan juga mengupah ‘pengawal’ yang dilengkapi dengan ‘walkie talkie’ bertujuan mengelak daripada kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Difahamkan, sindiket judi haram ini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM20,000 bagi setiap pertaruhan. ‘Kasino’ ini juga meriah lebih-lebih lagi ketika cuti umum,” katanya.

Razali berkata, hasil serbuan pihaknya merampas wang tunai berjumlah RM21,825, papan judi bola golek, judi 345 dan 18 ekor ayam sabung yang digunakan dalam kegiatan terbabit.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan Seksyen Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan judi haram ini diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau terus melaporkannya melalui ‘Rakan Cop’,” katanya.

Bekas guru cuba biak pokok ketum

2010/03/29
KUCHING: Hasrat seorang bekas guru dari Kedah untuk menyemai pokok ketum bagi membiakkan tumbuhan itu tidak kesampaian apabila dia dicekup polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jawa, di sini, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.50 malam itu, polis merampas daun ketum seberat 1.02 kilogram dan menemui lebih 10 ranting ketum.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Moses Agat, berkata lelaki berusia 48 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih empat tahun dan denda tidak lebih RM10,000. “Walaupun jumlah daun ketum yang dirampas itu sedikit, ia adalah rampasan pertama di negeri ini dan ranting ditemui bersama lelaki itu dipercayai akan disemai kerana tumbuhan itu tidak terdapat di negeri ini.

“Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu mendakwa dia memperoleh daun serta ranting ketum itu daripada kawannya di Alor Setar, Kedah Rabu lalu dan dia meneruskan perjalanan ke Kuching menaiki pesawat pada hari sama,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, semalam.

Dalam kes berasingan, polis menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 56 tahun dalam serbuan di sebuah kedai besi buruk di Jalan Foochow 1, di sini kira-kira jam 3.30 petang Jumaat lalu dan merampas syabu seberat 35.02 gram, 500 biji pil Eramin 5 dan Ketamin seberat 0.09 gram.

Moses berkata, pemeriksaan lanjut dengan bantuan anjing pengesan, polis menemui sepucuk pistol jenis Belle G707 6 milimeter buatan China di dalam kedai berkenaan.

Beliau berkata, berikutan penemuan dadah dan senjata api itu, polis melancarkan tindakan lanjut dan berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia lingkungan awal 20-an di Liang Fung Garden, di sini, kira-kira jam 10.15 malam hari yang sama.

"Semua suspek kini ditahan reman tujuh hari dan bagi kes pertama, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 selain Seksyen 8, Akta Senjatapi manakala lelaki yang ditahan dalam serbuan kedua disiasat mengikut Seksyen 38 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Katanya lagi, saringan air kencing mendapati mendapati dua daripada suspek positif Ketamin manakala seorang lagi positif ganja

Polis buru pelakon didakwa belasah isteri

2010/03/29
AMPANG: Polis sedang memburu seorang pelakon drama dan filem kerana disyaki membelasah isterinya termasuk memukul badan wanita itu dengan batang penyapu di rumah mereka di Kampung Cheras Baru, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata pelakon berusia 41 itu juga didakwa menumbuk muka isterinya selain menendang perut dan punggung serta mencekik wanita berusia 28 tahun itu.

Beliau berkata, polis juga sudah mengeluarkan waran tangkap terhadap pelakon terbabit yang turut dikehendaki atas tiga kes lain, berikutan usaha menjejakinya tidak berhasil selepas tidak pulang ke rumah sejak hari kejadian, dipercayai menyembunyikan diri. Katanya, kejadian berlaku selepas pasangan yang mempunyai tiga anak itu dikatakan bertengkar kerana isterinya yang juga penari kebudayaan, mengesyaki suaminya mempunyai hubungan sulit berdasarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam telefon bimbitnya.

“Akibat perselisihan faham itu, suspek yang marah kemudian bertindak memukul dan membelasah isterinya termasuk menggunakan batang penyapu.

“Berikutan kejadian itu, mangsa yang cedera ringan dan lebam di seluruh badan, dirawat di Hospital Ampang sebelum membuat laporan polis pada hari sama.

“Sehubungan itu, kita meminta pelakon lelaki terbabit tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada seorang anggota polis yang terlantar akibat kemalangan jalan raya hampir setahun lalu, di sini, semalam.

Abdul Jalil berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau denda atau sebatan.

Beliau berkata, pelakon yang pernah membintangi beberapa drama dan filem seperti Azizah The Legend dan Harry Boy itu, sebelum ini dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung dua kes mengikut seksyen sama dan satu lagi mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Kita sebelum ini memang mencarinya bagi membantu siasatan berhubung tiga laporan polis tetapi dia masih gagal dikesan. Diharapkan dengan pendedahan ini dia dapat tampil di mana-mana balai polis dengan segera,” katanya.

Friday, March 26, 2010

Empat ditahan cuba rempuh polis

KUALA LUMPUR 26 Mac 2010 - Polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan sebelum berjaya menahan empat individu termasuk dua wanita di Taman Bidara, Gombak dekat sini malam tadi.

Kesemua suspek yang berusia antara 21 hingga 25 tahun itu ditahan selepas melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira.

Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, kereta yang dipandu salah seorang suspek turut cuba merempuh kenderaan polis yang mengejar mereka.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, sebelum itu, tujuh anggota polis cuba menahan kereta terbabit untuk pemeriksaan selepas mendapati pemandu dan penumpangnya berkeadaan mencurigakan.

"Ketika tiba di lampu isyarat Jalan Pintas Selayang, dua anggota polis yang mengekori di belakang keluar dari kenderaan untuk memperkenalkan diri bagi tujuan pemeriksaan.

"Tiba-tiba suspek memecut dan nyaris melanggar seorang anggota polis terbabit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, polis cuba memotong kereta suspek berhampiran Taman Bidara bagi memaksa mereka berhenti tetapi gagal, sebaliknya kereta suspek cuba melanggar dan menggesel kenderaan polis.

Katanya, polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan termasuk satu das ke arah tayar kereta suspek.

"Suspek tetap enggan mematuhi arahan dan terus memecut kereta hingga ke simpang lampu isyarat di Taman Bidara sebelum hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang lampu isyarat," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis menemui empat peket kecil dan satu tiub disyaki dadah jenis syabu serta satu ketulan mampat ganja di bawah tempat duduk pemandu.

Katanya, keempat-empat suspek tidak mengalami kecederaan dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Penyelia TNB mati ditetak

SHAH ALAM 26 Mac 2010 - Angkara dendam, sekumpulan lima lelaki bertindak mengejar dan menetak hingga mati seorang penyelia pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran sebuah tanah perkuburan Cina di Seksyen 21 di sini malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 8.30 malam ketika mangsa, Fauzi Fazar Rahman, 29, yang berasal dari Sabah, sedang menjalankan pemeriksaan rutin di pencawang elektrik yang terletak 50 meter dari tanah perkuburan Cina tersebut.

Kumpulan lelaki terbabit dipercayai menunggu mangsa tidak jauh dari kawasan itu untuk menyerangnya.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, mangsa yang ternampak kelibat lima lelaki berkenaan dikatakan lari ke arah tanah perkuburan Cina itu untuk menyelamatkan diri namun gagal.

Mangsa akhirnya rebah di longkang di tepi tanah perkuburan itu akibat cedera parah selepas ditetak bertubi-tubi.

Menurut beliau, kira-kira setengah jam kemudian, penjaga tanah perkuburan itu yang baru tiba untuk bertugas ternampak mangsa terbaring berlumuran darah dan segera menghubungi ambulans.

"Mangsa yang cedera parah di seluruh badan terutama di kepala akibat ditetak meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang kira-kira pukul 3.50 pagi ini," katanya.

Menurut Noor Azam, siasatan awal percaya serangan itu bermotifkan dendam. Beliau meminta sesiapa yang menyaksikan kejadian tampil membantu polis menyelesaikan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suri rumah ditahan dua jam oleh penarik kereta

KANGAR 26 Mac 2010 - Seorang suri rumah, Mardiana Mohamad, 31, dari Jalan Santan di sini kesal dengan tindakan penarik kereta yang 'menahannya' bersama tiga lagi ahli keluarganya di sebuah stor di Alor Setar sementara menunggu bayaran tunggakannya diselesaikan .

Menurutnya, dia bersama-sama anaknya, Afif Al-Iqram, 2, yang menghidap penyakit asma kronik; anak saudaranya, Armarsya, 3, dan ibunya, Aminah Ismail, 51, telah ditahan selama dua jam di stor berkenaan tanpa belas kasihan dan di tengah panas matahari.

"Saya telah merayu kepada lelaki terbabit agar membenarkan saya menghantar ahli keluarga pulang terutama anak yang tidak boleh terdedah pada habuk dan ibu pula menghidap penyakit jantung," katanya di pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun rayuannya itu tidak diendahkan, sebaliknya lelaki berkenaan meninggalkan mereka di sebuah stor yang hanya dikelilingi zink.

Dakwa Mardiana, semasa lelaki terbabit mengambil keretanya, mereka tidak menunjukkan sebarang surat kuasa kebenaran sama ada daripada bank mahupun pihak polis untuk membenarkan mereka berbuat demikian.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika dia menghantar anaknya ke Pusat Perubatan Kedah (KMC) bagi rawatan susulan anaknya.

Katanya, sebaik sahaja selesai urusan di KMC, dia dan keluarganya terus ke tempat meletak kenderaan dan telah ditegur oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

"Ketika hendak membuka pintu kereta, lelaki terlibat menyatakan dia hendak menarik kereta saya kerana tidak membayar ansuran bagi kenderaan tersebut," katanya.

Kata Mardiana, lima minit kemudian seorang lagi lelaki yang mendakwa dirinya ketua penarik kereta muncul dan meminta dia menyerahkan kunci kereta.

Mardiana sempat menelefon suaminya, Mahadzir Mohd. Saad, 41, yang kemudiannya bercakap dengan lelaki terbabit.

"Dalam perbualan itu, lelaki berkenaan bersetuju menghantar saya ke CIMB untuk menyelesaikan tunggakan hutang dan saya juga telah menelefon bapa saudara di Alor Setar untuk menunggu kami di bank tersebut," katanya.

Bagaimanapun, Mardiana terkejut apabila lelaki tersebut tidak membawa mereka ke bank seperti dijanjikan sebaliknya ke sebuah kawasan stor yang kawasan sekelilingnya berpagar zink di Jalan Lencong Barat, Alor Setar.

Akibat terlalu lama menunggu dalam keadaan cuaca panas dan berhabuk, anak Mardiana mengalami batuk-batuk dan sesak nafas.

Menurut Mardiana, mereka hanya dilepaskan setelah pihak bank menghantar salinan pembayaran kepada kerani di stor berkenaan.

Mardiana dan suami kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Alor Setar manakala keesokan harinya dia turut membuat laporan kepada seorang pegawai bank berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan penarik kereta terbabit.

Bagaimanapun pegawai berkenaan hanya meminta dia membuat laporan polis.

Sindiket pelacuran Pulau Pinang tumpas

2010/03/26
BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pelacuran menggunakan wanita warga asing yang mampu menghasilkan kutipan RM93,000 sebulan selepas menyerbu sebuah hotel di Jalan Baru, Perai di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC II Wan Abdullah Tunku Said, berkata hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu sebuah hotel dan menahan seorang lelaki yang disyaki "bapa ayam" di situ.

"Semasa serbuan pada 11.30 malam itu, lelaki berusia 39 tahun berkenaan baru selesai berurusan dengan pelanggan berhubung tempahan pelacur," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Katanya, polis menahan lima wanita warga China yang sedang melacur dalam bilik di hotel berkenaan.

"Lima daripada mereka berusia antara 26 dan 28 tahun berada dalam keadaan separuh bogel dan sedang melayan lima lelaki tempatan dalam bilik masing-masing," katanya.

Wan Abdullah berkata, dalam operasi itu, pihaknya berjaya menyelamatkan seorang remaja wanita warga China berusia 17 tahun yang dipercayai dipergunakan sindiket itu untuk menjadi pelacur.

Katanya, polis merampas beberapa kondom yang telah dan belum digunakan, gel pelincir, buku catatan dan wang tunai RM3,512.

"Sindiket itu dipercayai memperoleh RM200 untuk setiap khidmat pelacur dan dipercayai terdapat 10 hingga 15 pelanggan menggunakan perkhidmatan pelacuran berkenaan setiap hari," katanya.

Beliau berkata, lelaki berkenaan kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan memperdagangkan kanak-kanak sebagai pelacur menurut Seksyen 14.

"Lima wanita warga asing turut direman kerana melanggar syarat pas lawatan sosial dan disiasat menurut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963," katanya. - Bernama

Thursday, March 25, 2010

Empat lelaki Indonesia diburu

JOHOR BAHRU 25 Mac 2010 - Polis kini sedang memburu empat lelaki warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam beberapa kes jenayah di negeri ini sejak awal tahun lalu.

Empat penjenayah berusia lingkungan 20-an itu dikenali sebagai Saipudin, Gandi Mulyono, Peri Padli dan Azhar Awaludin yang kini dipercayai berada di kampung halaman masing-masing.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan keempat-empat lelaki terbabit akan kembali memasuki negeri ini pada bila-bila masa.

"Keempat-empat suspek disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah samun, cabul dan pecah rumah. Mereka juga dipercayai sering melakukan jenayah ke atas rakan senegara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun Hari Peringatan Polis Ke-203 peringkat negeri di Dataran Bandaraya Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin memberitahu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kulaijaya telah menahan seorang penunggang motosikal di kawasan tempat letak kereta di Plaza Tol Sedenak kerana memiliki satu ketul daun mampat kering disyaki ganja seberat 460 gram baru-baru ini.

Sebahagian dadah yang disimpan dalam satu bungkusan plastik berwarna merah itu turut dibalut dengan pita pelekat lutsinar dan dibungkus dengan kertas, katanya.

"Ujian air kencing menunjukkan suspek positif dadah jenis ganja. Namun siasatan awal mendapati, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Polis tidak menolak kemungkinan suspek merupakan salah seorang pengedar dadah di kawasan Sedenak dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kumpulan samun 4 negeri tumpas

LEDANG 25 Mac 2010 - Kelicikan sebuah kumpulan samun dan pecah rumah yang bermaharajalela melakukan jenayah di empat buah negeri berakhir selepas mereka diberkas di Taman Malim Jaya, Melaka, 11 Mac lalu.

Kumpulan samun yang amat dikehendaki serta menjadi buruan polis Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang itu dipercayai menjalankan kegiatan jenayah tersebut sejak tujuh tahun lalu.

Ketua Polis daerah, Supritendan Harun Idris berkata, kesemua mereka terdiri daripada tiga lelaki berusia 28, 44 dan 57 tahun serta seorang wanita warga China berusia 40 tahun.

Menurutnya, serbuan kira-kira pukul 3 pagi itu pada mulanya berjaya memberkas suspek berusia 57 tahun serta wanita berkenaan di dalam sebuah rumah di Taman Malim Jaya.

Susulan daripada itu, pihaknya berjaya menangkap dua lagi suspek kira-kira dua jam kemudian di dalam sebuah kereta di kawasan perumahan tersebut.

"Ketua kumpulan samun dan pecah rumah ini ialah suspek yang berusia 57 tahun, berasal dari Kuala Lumpur. Kumpulan itu dipercayai terlibat dalam 12 kes pecah rumah di Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Dua lagi suspek lelaki berasal dari Selangor dan Kuala Lumpur dan salah seorang daripadanya dipercayai telah terlibat dalam 15 kes pecah rumah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Harun berkata, kejayaan menumpaskan kumpulan penjenayah itu adalah hasil risikan selepas sebuah rumah di Kampung Teratai, Sagil dipecah masuk awal bulan ini.

Mangsa, seorang penoreh getah mengalami kerugian RM2,500 apabila barang kemas dan wang tunai miliknya disamun.

"Modus operandi kumpulan samun ini adalah menyasarkan rumah semasa ketiadaan penghuninya dan mereka juga melakukan kegiatan di luar negeri asal mereka," katanya.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut merampas pelbagai mata wang asing termasuk Rupiah 16,000, barangan kemas dan jam tangan bernilai RM2,000, peralatan pecah rumah serta 60 botol minuman keras.

"Kami masih lagi menyiasat penemuan minuman keras tersebut sama ada melibatkan kes jenayah lain," katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan keempat-empat suspek tersebut kini diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang untuk siasatan kes lain sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri berkaitan.

Dalam kes berasingan, Harun memberitahu, seorang lelaki berusia 31 tahun diberkas di Parit Bunga, Sungai Mati di sini pada 19 Mac lalu kerana disyaki mengedar ganja mampat seberat 580 gram.

"Suspek yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dan turut ditemui adalah beberapa peralatan untuk membungkus dadah," katanya.

Wednesday, March 24, 2010

Lima remaja termasuk seorang juvana hadapi tuduhan bunuh remaja lain

2010/03/24
MELAKA: Lima pemuda termasuk seorang juvana berumur antara 17 hingga 24 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana dituduh membunuh seorang remaja berusia 17 tahun di Semabok, dekat sini pada 11 Mac lalu.

Chua Kim Hock, 20, dari Semabok; Lim Chin Aun, 18, dari Chemor, Perak; Choo Cheng Chye, 24, dari Bukit Katil; Yeo Chee Teong, 22, dari Semabok dan seorang juvana, 17, dari Sungai Rambai, didakwa atas niat bersama menyebabkan kematian Yap Wai Seng di alamat 149A, Jalan Johor, Semabok.

Yap yang beralamat Taman Seri Kerubong, di sini, tidak lagi bersekolah dan bekerja sambilan sebagai mekanik motosikal. Akhbar-akhbar melaporkan mayatnya ditemui di dalam sebuah but kereta yang dinaiki empat lelaki pada satu pemeriksaan oleh anggota polis, yang mengadakan sekatan jalan raya di Ayer Keroh di sini, kira-kira jam 1.15 pagi pada 12 Mac lalu.

Kelima-lima tertuduh yang memakai baju lokap polis mengangguk faham selepas pertuduhan dalam Bahasa Mandarin dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. Namun, tiada pengakuan direkodkan.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Mohd Asrar.
Hanya tertuduh pertama, Chua, diwakili oleh peguam bela, A Rengganathan manakala empat lagi tidak diwakili peguam bela.

Chua ialah seorang penjual sayur, Lim tidak bekerja, Choo seorang tukang masak dan Yeo pula seorang peniaga gerai makanan.

Juvana yang tidak lagi bersekolah itu adalah pembantu di sebuah kedai peralatan logam.
Hakim Mohd Fairuz Johari menetapkan sebutan semula kes pada 25 Mei ini bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia. - Bernama

Kerana cemburu lelaki mati ditetak

2010/03/24
KLANG: Seorang pekerja kontrak rakyat Indonesia mati akibat ditetak dengan sabit di rumah kongsinya di sebuah kawasan pembinaan di Bandar Puteri di sini hari ini.

Lelaki yang dikenali sebagai Matluwi Markawi itu ditemui berlumuran darah dengan kesan kecederaan parah pada bahagian dada dan bahu.

"Dia mati sebaik dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR)," kata Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohammad Mat Yusop. Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, polis mendapati Matluwi diserang oleh seorang lelaki rakyat Kemboja ketika dia sedang tidur.

"Suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu tinggal kira-kira 200 meter dari rumah Matlawi dan polis percaya kejadian pada 8.30 pagi itu adalah akibat cemburu kerana mangsa didakwa sering mengganggu kakak angkat suspek," katanya.

Mohammad berkata, polis kini melancarkan gerakan memburu lelaki terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan

PGA tahan lelaki miliki dua pistol

2010/03/24
BUKIT KAYU HITAM: Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan kerana memiliki dua pucuk pistol dan lapan butir peluru shotgun dalam satu pemeriksaan di kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ), di sini hari ini.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 3 Bidor, Pasukan Gerakan Am (PGA), DSP S Sivanganan, berkata antara yang turut dirampas ketika lelaki itu ditahan pada jam 8.15 pagi ialah tujuh bungkus peluru berbola besi, wang tunai RM1,300, mata wang Thailand 11,100 baht serta dua telefon bimbit.

"Salah satu daripada pistol itu adalah buatan sendiri yang menggunakan peluru shotgun, manakala satu lagi buatan Amerika Syarikat," katanya kepada pemberita di sini hari ini. "Difahamkan lelaki berkenaan bekerja di sebuah kedai aluminium di Melaka dan mengikut kad pengenalannya, beliau berasal dari Masai, Johor," katanya.

Sivanganan berkata, kes itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk siasatan lanjut. -

Tuesday, March 23, 2010

SPRM pandang serius individu menyamar pegawai

Harakahdaily
PUTRAJAYA, 24 Mac 2010: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius kes-kes di mana individu menyamar sebagai pegawai penguatkuasa termasuk sebagai pegawai SPRM bagi mengugut dan meminta suapan rasuah.

Bahagian Komunikasi Korporat SPRM dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini mengingatkan mana-mana pihak yang didatangi oleh individu yang mengaku pegawai penguatkuasa hendaklah meminta kad kuasa dan mengesahkan identiti sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut.

SPRM ingin menasihatkan kepada semua pihak supaya tidak terpedaya dengan tipu helah individu-individu yang tidak bertanggungjawab dan terus melaporkan sebarang permintaan rasuah kepada mana-mana pejabat SPRM yang berhampiran atau menghubungi talian bebas tol 1-800-88-6000.

Kenyataan itu turut memaklumkan SPRM Johor telah menahan dua orang lelaki berusia 52 tahun dan 48 tahun kerana meminta wang rasuah sebanyak RM500,000 daripada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Jumaat lalu, lebih kurang jam 5.00 petang.

Kedua-dua lelaki tersebut yang bekerja sebagai kontraktor dan bekerja sendiri dikatakan cuba mengugut dan memperdaya Datuk Bandar MBJB dengan menyatakan suapan rasuah sebanyak RM500,000 itu adalah wang rasuah untuk diserahkan kepada seorang pegawai SPRM Kuala Lumpur sebagai balasan tidak meneruskan siasatan kes rasuah yang dikatakan melibatkan Datuk Bandar tersebut.

Mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi ini atas kesalahan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Akta yang sama.

Hukuman bagi kesalahan itu adalah boleh dipenjarakan selama tempoh yang boleh sampai sepuluh tahun dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua seksaan tersebut.

‘Tak sengaja’ penyelamat nyawa

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 23 Mac 2010 – Tujuh tahun lalu, isteri kepada seorang bekas anggota tentera mendengar suaminya itu berkali-kali menyatakan ‘Baby, uncle tak sengaja, uncle tak bunuh, uncle minta maaf’ semasa menanam mayat anak tirinya dalam belukar.

Luahan perasaannya ketika itu tanpa disedari menjadi penyelamat dirinya daripada dikenakan hukuman gantung apabila Mahkamah Rayuan hari ini menukarkannya kepada hukuman penjara 18 tahun kerana membunuh tanpa niat kanak-kanak tersebut.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar sebulat suara menjatuhkan hukuman itu setelah Shahrul Izwan Ahmad Zaidi, 33, mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan membunuh tanpa niat.

Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin meminda tuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada membunuh tanpa niat di bawah Seksyen 304(a) kanun tersebut.

Hakim Suriyadi yang bersidang bersama Hakim Datuk Hasan Lah dan Hakim Datuk Ahmad Maarop dengan itu mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Taiping pada 8 September 2006.

Shahrul Izwan mengaku membunuh Nur Syafrida Md. Shukor yang ketika itu berusia empat tahun enam bulan di rumah mereka di Batu 4 1/2, Kampung Pasir, Kamunting, Taiping, Perak pada pukul 7 malam, 25 Jun 2002.

Rangka mangsa ditemui tertimbus dalam belukar di kawasan Sungai Siput, enam bulan kemudian ekoran pendedahan ibu mangsa ketika soal siasat bahawa dia turut berada di tempat kejadian ketika mayat anaknya ditanam.

Keterangan ibu mangsa menyatakan, pada petang tersebut dia yang sarat mengandung lapan bulan menonton televisyen manakala suaminya di bilik air memandikan kanak-kanak itu.

Kira-kira 15 minit kemudian, perayu mendukung mangsa keluar dari bilik air sambil menyatakan: “Ayang, baby dah mati, abang tak tahu, abang tak bunuh dan meletakkannya atas tikar serta cuba melakukan bantuan pernafasan.

Wanita tersebut menyatakan, dia melihat kesan lebam berbentuk bulat pada tundun anaknya selain lubang besar (tidak pasti sama ada ia faraj atau dubur) dengan ususnya hampir terkeluar.

Menyedari mangsa telah meninggal dunia, dia mengikut suaminya keluar meminjam kereta dan lelaki itu memandu ke Sungai Siput untuk melupuskan mayat tersebut.

Ketika Shahrul Izwan menanam mayat kanak-kanak itu dalam belukar, wanita itu mendengar suaminya berulang kali menyatakan dia tidak sengaja dan tidak membunuh selain meminta maaf kepada mangsa.

Kejadian itu dirahsiakan dan hanya terbongkar enam bulan kemudian setelah bapa mertua bekas anggota tentera itu datang ke rumah tersebut untuk menjemput cucunya.

Laporan polis dibuat setelah datuk mangsa meradang kerana kedua-duanya berdolak-dalik dengan menyatakan kanak-kanak itu hilang di Bukit Merah Lake Town Resort.

Saiful Edris memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas alasan mangsa sepatutnya diberi peluang membesar seperti kanak-kanak lain namun, satu nyawa melayang dan apa pun jua hukuman sekalipun tidak dapat mengembalikannya.

Peguam K. Subramaniam yang mewakili Shahrul Izwan ketika mencadangkan hukuman penjara 12 tahun sebagai munasabah turut memohon agar anak guamnya tidak didenda.

Monday, March 22, 2010

Sabah & Sarawak: Ulat tiket lagak samseng

Oleh Kandau Sidi
kandausidi@bharian.com.my
2010/03/23
Beg penumpang dirampas, paksa langgan khidmat bas ekspres

MIRI: Kehadiran mereka mungkin tidak seramai ulat tiket di Puduraya, di ibu negara, Kuala Lumpur.

Namun, gelagat dan sikap berlagak samseng kumpulan itu yang semakin menjadi-jadi cukup menjengkelkan.

Ada kalanya, secara sengaja mereka bertindak kasar terhadap penumpang dan menghalang laluan setiap kenderaan awam yang memasuki pintu masuk ke terminal perhentian utama bas ekspres di bandar raya ini di utara Sarawak. Kononnya, ialah bagi membantu individu atau penumpang yang ingin membeli tiket di kaunter bas disediakan syarikat bas di terminal itu.

Mereka umpama orang tengah atau ejen tiket yang dilantik syarikat bas bagi mendapatkan pelanggan supaya menggunakan perkhidmatan mereka.

Sedangkan ulat tiket itu berebut-rebut mendapatkan habuan kira-kira RM1 hingga RM5 bagi setiap penumpang yang membeli tiket menerusi mereka.

Tinjauan Berita Harian di terminal bas berkenaan mendapati ada lebih 10 individu yang bertindak menjadi perantara ejen tiket haram itu.

Kumpulan itu akan menunggu penumpang bas di setiap pintu masuk ke terminal bas berkenaan. Sejurus keluar daripada kenderaan setiba di terminal itu penumpang akan ditawarkan bas yang ingin dinaiki.

Mereka berebut-rebut dan tanpa diarah akan merampas beg penumpang supaya melanggan perkhidmatan bas ekspres ditawarkan.

Difahamkan setiap penumpang yang dibawa untuk membeli tiket bas ekspres akan diberikan habuan oleh syarikat bas ekspres di situ.

Seorang penumpang bas ekspres, Sulaiman Taha, 45, berkata sikap biadap ulat tiket berkenaan perlu ditangani segera.

Memang menjadi hak orang ramai untuk memilih bas ekspres mana yang mereka hendak naik. Tak perlu ditunjuk, melainkan kita minta berbuat demikian. Saya pernah nampak mereka tarik beg seorang wanita tua yang ingin membeli tiket bas di terminal ini sehingga putus, semata-mata untuk mendapatkan habuan RM1 hingga RM5 yang dipercayai disediakan syarikat bas di situ, katanya.

Terminal Bas Ekspres Pujut satu-satunya terminal perhentian bas ekspres bagi lebih 10 syarikat bas yang beroperasi untuk laluan seluruh Sarawak, termasuk ke Kota Kinabalu, Sabah dan Pontianak, Indonesia.

Sulaiman berkata, masalah yang sama bukan saja berlaku di terminal bas ekspres Pujut, malah di hampir semua terminal bas di seluruh negeri ini.

Situasi yang sama, katanya, berlaku di Bintulu, Sibu, Sarikei dan Kuching.

Justeru, beliau mahu supaya pihak berkuasa tempatan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pegawai Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengatasi segera masalah berkenaan.

Ambil tindakan tegas terhadap syarikat bas yang lantik ulat tiket kerana ia tidak mendatangkan kebaikan. Bagi bandar raya ini, ia boleh menjejaskan imej dan industri pelancongan kerana sikap tidak bertanggungjawab ulat tiket berkenaan. Jangan hanya tunggu waktu perayaan baru nak letakkan anggota penguatkuasa di terminal bas berkenaan.

Sikap ini seolah-olah melepaskan batuk di tangga, katanya.

Timur: Nelayan lagak samseng

Oleh Suraya Roslan
bhkt@bharian.com.my
2010/03/23
Pengusaha bot pukat tunda ceroboh pesisir pantai berebut candat sotong

SEBERANG TAKIR: Seramai 400 nelayan di Kampung Kolam, Mengabang Telipot, di sini bimbang periuk nasi mereka terjejas apabila segelintir pengusaha bot pukat tunda menceroboh pesisir pantai terutama dengan memanfaatkan musim mencandat sotong di negeri ini apabila tidak ramai nelayan pantai menangkap ikan.

"Perlakuan mereka tidak ubah seperti lanun di bumi sendiri, apa tidaknya mereka sanggup menghampiri kawasan tepi pantai dan mengaut hasil laut sesuka hati dengan menggunakan pukat tunda," keluh Abdullah Ghani, 53, yang menjadi nelayan lebih 30 tahun lalu.
Abdullah berkata, sejak kebelakangan ini pengusaha bot pukat tunda seolah-olah bermaharajalela di kawasan pesisir pantai untuk mendapatkan hasil laut. Katanya, memandangkan musim mencandat sotong sudah tiba bermula bulan Mac hingga September, nelayan di sini lebih tertumpu dengan menjalankan aktiviti mencandat bagi menambah pendapatan.

Namun, dengan kehadiran bot pukat tunda yang dilihat semakin berani menceroboh perairan kawasan berdekatan pantai, maka punca pendapatan mereka semakin berkurangan sehingga ada yang hanya mampu untuk menampung kos minyak tanpa mendapat hasil seperti yang dijangkakan.

Abdullah berkata, dia dan rakan lain yang menggunakan bot gentian kaca sering terserempak dengan bot pukat tunda terutama pada sebelah malam dan kehadiran bot itu mengganggu aktiviti nelayan pantai.

"Kehadiran bot pukat tunda bukan saja memusnahkan hidupan laut, malah turut merosakkan unjam yang dipasang nelayan pesisir pantai bagi menarik hidupan laut bersarang di kawasan berkenaan, katanya.

Mohd Azdy Alias, 27, pula terkilan apabila aduannya sebelum ini kepada pihak berkuasa seperti tidak menampakkan kesan bagi membanteras kegiatan bot pukat tunda menceroboh kawasan pantai.

"Pernah berlaku beberapa kejadian bot nelayan yang keluar mencandat sotong ditunda bot pukat tunda sehingga lebih dua kilometer sebelum pemilik bot terpaksa memotong tali sauh untuk menyelamatkan diri, katanya.

Azdy berkata, kelibat lebih 10 buah bot pukat tunda dilihat dalam sehari berlegar mencuri hasil laut di kawasan pantai, ini akan merugikan nelayan pantai berikutan hasil laut habis disamun pemilik pukat tunda yang bermaharajalela.

Malah, hasil tangkapan nelayan pantai turut berkurangan yang mana dahulunya purata tangkapan antara 30 hingga 50 kilogram sotong setiap hari, namun kini untuk mendapatkan 10 kilogram amat sukar dan ada kalanya pulang dengan tangan kosong.

"Satu-satu 'kandang' berukuran satu kilometer persegi tempat sotong bertelur boleh bertahan hampir sebulan sekiranya menggunakan kaedah mencandat, namun sotong habis dengan cepat kerana habis bot pukat tunda dalam tempoh beberapa jam saja," katanya.

Seorang lagi nelayan, Zakaria Hassan, 65, berkata dia berharap pihak berkuasa mengatasi masalah itu kerana bot pukat tunda tidak boleh menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan pantai kerana akan menjejaskan kehidupan laut di kawasan berkenaan.

"Saya berharap Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia membuat pemantauan menyeluruh kerana ini membabitkan periuk nasi nelayan di sini," katanya.

Buruh binaan dipenjara 7 tahun cuba bunuh anggota polis

22/03/2010 3:37pm


KUALA LUMPUR 22 Mac — Seorang buruh binaan warga Indonesia hari ini dijatuhi hukuman penjara selama tujuh setengah tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana kesalahan cuba membunuh seorang anggota polis dua tahun lepas.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menjatuhkan hukuman itu terhadap Naldiman Ali, 42, yang mengaku bersalah.

Ahmad Kamar memerintahkan hukuman itu dijalankan bermula dari tarikh Naldiman ditangkap pada 18 Mac 2008.

Naldiman didakwa cuba membunuh Lans Koperal Zahiruddin Zainudin dengan menggunakan pisau di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Jalan Duta pada pukul 1.30 pagi 18 Mac 2008.

Mengikut fakta kes yang dibentangkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari Mohd Jaafar, semasa sepasukan anggota polis membuat intipan berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Jalan Duta, polis telah melihat dua orang dalam keadaan mencurigakan dengan menyeberangi lebuh raya dan menyembunyikan diri dalam longkang.

Polis kemudiannya menghampiri kedua-dua lelaki itu dan apabila mereka memperkenalkan diri, kedua-dua lelaki berkenaan melarikan diri dan anggota polis terus mengejar mereka.

Zahiruddin berjaya menahan Naldiman dan berlaku pergelutan lalu Naldiman telah menikam di bahagian perut Zahiruddin dengan sebilah pisau menyebabkan anggota polis itu mengalami kecederaan luka di bahagian kanan perut dan turut mengalami kehilangan darah.

Peguam V. Samynathan, memohon supaya Naldiman dikenakan hukuman ringan memandangkan tertuduh memperoleh pendapatan hanya RM400 sebulan serta perlu menanggung isteri dan empat orang anak di Indonesia. - Bernama

Penjaga stor bunuh teman wanita dihukum gantung

2010/03/22
SHAH ALAM: Seorang penjaga stor yang tidak dapat menerima hakikat bahawa teman wanitanya akan berkahwin dengan lelaki lain bertindak membunuh wanita itu dengan mencekik mangsa menggunakan tudungnya.

Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini, untuk melindungi jenayah itu, dia mendakwa mereka berdua merancang membunuh diri dengan minum racun ala kisah "Romeo dan Juliet".
Bagaimanapun alasan pembelaan tertuduh, Shahrul Nizam Mohd Shah, 38, itu tidak dapat diterima oleh mahkamah yang memutuskan bahawa tertuduh bersalah membunuh Nurul Hazira Bharum, 26, dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Lot 2584-1, Batu 19, Kampung Gombak, Kuang, Rawang, kira-kira jam 9 pagi pada 7 Oktober 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam pembelaannya, Shahrul Nizam mendakwa dia dan Nurul Hazira bercadang membunuh diri dan mendakwa mangsa telah memaksanya untuk minum racun.

Laporan bedah siasat bagaimanapun mengesahkan bahawa punca kematian Nurul Hazira adalah kerana lemas akibat dicekik dan tiada kesan racun ditemui di dalam tubuh mangsa.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki, ketika menjatuhkan hukuman berkata tekanan yang kuat untuk mencekik mangsa adalah konsisten dengan terjumpanya rantai emas yang putus di dalam baju mangsa.

"Tertuduh mendakwa dia minum dulu beberapa teguk racun dan kemudian pengsan. Tiada keterangan yang menunjukkan mangsa sebelum kejadian nak bunuh diri dan semua saksi seperti ibu bapa, rakan sekerja dan tunang mangsa tidak menyatakan sedemikian. Kedudukan mangsa yang baring tidak konsisten dengan minum racun sendiri," katanya.

Beliau berkata, keterangan saksi ketujuh pendakwaan (jiran tertuduh) bahawa tertuduh datang ke rumahnya dan minta bantuan dengan memberitahu bahawa orang rumahnya sudah minum racun tidak konsisten dengan dakwaan tertuduh mengenai rancangan dia dan teman wanitanya ingin membunuh diri.

"Saya dapati tertuduh waras bila datang minta tolong jiran dan kata nak pinjam telefon kerana orang rumahnya minum racun. Semua ini tidak konsisten dan pembelaan tertuduh adalah 'afterthought' (ditambah kemudian) serta tidak timbulkan apa-apa keraguan," katanya.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong, memanggil 15 saksi, sementara pembelaan yang diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff mengemukakan seorang saksi. - Bernama

Sunday, March 21, 2010

Polis buru tukang urut rogol nenek

KOTA BHARU 21 Mac 2010 - Polis sedang memburu tukang urut yang dipercayai merogol seorang nenek ketika mangsa mendapatkan rawatan di sebuah rumah di Kampung Teluk dekat sini pada pertengahan Januari lalu.

Suspek dikatakan mengambil kesempatan merogol wanita yang berusia 65 tahun itu ketika mangsa yang menghidap penyakit angin ahmar sejak lima tahun lalu menerima rawatan dengannya.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim berkata, kejadian itu disedari selepas mangsa memberitahu cucunya bahawa dia dirogol oleh tukang urut tersebut.

"Beberapa bulan lalu, cucu mangsa yang berusia 35 tahun telah membawanya ke rumah suspek untuk mendapatkan rawatan selepas diserang angin ahmar.

"Ketika berbual dengan beberapa penduduk kampung, cucu mangsa diberitahu tentang tentang sikap tukang urut berusia 45 itu yang dikatakan suka mengambil kesempatan terhadap pesakit wanita.

"Dia kemudian pulang ke rumah dan bertanyakan perkara itu kepada mangsa dan neneknya kemudian mengaku bahawa dia telah dirogol ketika dirawat," katanya di sini hari ini.

Amir Hamzah berkata, berikutan itu, cucu mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu semalam.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk pemeriksaan dan kini ditahan di wad bagi menjalani rawatan penyakitnya itu.

"Susulan itu, polis menyerbu rumah tukang urut terbabit tetapi dia berjaya melarikan diri. Usaha untuk mengesan suspek sedang dijalankan," katanya.