NILAI 4 Feb 2010 - Seperti diatur oleh satu sindiket, warga Iran merupakan mereka yang paling ramai ditahan sejak empat hari lepas kerana cubaan menyeludup dadah jenis syabu ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam tiga kes berasingan, tiga warga Iran ditahan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) kerana menyeludup masuk 6.9 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM1.7 juta.
Kes pertama berlaku Isnin lepas apabila KDRM menahan seorang lelaki Iran berusia 26 tahun setelah cuba menyeludup 3kg dadah dipercayai syabu di dalam sebuah beg galas.
Timbalan Ketua Pengarah KDRM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Mohamed Khalid Yusuf berkata, hasil pemeriksaan, jumlah dadah itu dianggarkan bernilai RM750,000.
"Bagi kes kedua, seorang lelaki Iran berusia dalam lingkungan 30 tahun ditahan sejurus tiba di balai ketibaan KLIA.
"Kami menemui serbuk kristal jernih yang dipercayai dadah jenis syabu seberat 2.4 kg disorok disekeliling beg tersebut," katanya kepada pemberita pada satu sidang akhbar di Pejabat Kastam Narkotik di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya percaya dadah yang diseludup masuk itu bernilai kira-kira RM614,000.
Sementara itu, bagi kes ketiga, kastam menahan seorang lelaki warganegara sama berusia dalam lingkungan 30 tahun di balai ketibaan KLIA.
"Suspek yang ditahan pada pukul 9 pagi ini menaiki penerbangan transit dari Dubai ke Istanbul sebelum mendarat di KLIA di sini.
"Kami menahan suspek setelah menemui serbuk kristal jernih, dipercayai dadah jenis syabu seberat 1.5kg dan dianggarkan bernilai RM375,000. Dadah itu disorok pada kulit lima buah buku yang ditempatkan dalam bagasi miliknya," jelasnya.
Katanya, ketiga-tiga suspek kini sedang ditahan reman selama tujuh hari yang akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, tambah Mohamed Khalid, penahan ketiga-tiga suspek tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes tangkapan berjumlah lapan orang sepanjang tahun ini.
"Kami bimbang dengan peningkatan kes penyeludupan membabitkan warga asing terutamanya dari India dan Iran.
"Dalam tempoh sepanjang Januari hingga kini kastam berjaya menyekat cubaan menyeludup dadah membabitkan nilai rampasan bernilai RM9.1 juta," katanya.
Thursday, February 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment