PULAU PINANG 23 Feb 2010 - Polis negeri ini kecewa dengan sikap pihak berkuasa tempatan (PBT) yang seolah-olah tidak serius dalam menangani kegiatan maksiat khususnya melibatkan pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga asing.
Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, banyak premis hiburan tidak berlesen dibiarkan beroperasi secara bebas dan ia dibimbangi menjadi sarang jenayah lain seperti pelacuran dan penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, polis sering dipersalahkan oleh masyarakat kerana gagal membendung kegiatan sedemikian sedangkan ia sebenarnya melibatkan banyak pihak termasuk Jabatan Imigresen selain PBT.
"Polis tidak menolak kemungkinan kegiatan-kegiatan maksiat ini didalangi pihak-pihak tertentu kerana kerap kali premis yang sama diserbu seolah-olah mereka berani mencabar undang-undang.
"Kita berpendapat semua pihak perlu serius memainkan tanggungjawab masing-masing kerana berapa banyak sekali pun serbuan dibuat ia tidak membawa makna, jika premis seperti ini terus bercambah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa pusat hiburan di Jalan Penang, Jalan Burmah dan Jalan Anson kerap diserbu polis kerana dipercayai menjalankan kegiatan maksiat membabitkan GRO warga asing.
Selain GRO warga China dan Vietnam yang ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial, polis turut mengesan peningkatan pembabitan GRO dari negara Asia Tengah seperti Kazakhstan dan Uzbekistan.
Beliau memberitahu, situasi tersebut bukan sahaja memberi gambaran negatif orang ramai terhadap kelemahan penguatkuasaan, malahan juga status Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan 'bersih' di mata masyarakat luar.
Jelasnya, tindakan tegas juga boleh diambil polis terhadap pekerja pusat hiburan yang diserbu atas dakwaan melindungi GRO warga asing.
"Perlu tindakan tegas kerana kita tidak menolak premis-premis ini menyediakan ruang dan peluang kepada warga asing untuk masuk ke negeri ini dan bekerja dalam kegiatan maksiat," tegasnya.
Tuesday, February 23, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment