Thursday, February 11, 2010

Gara-gara cemburu lelaki tikam perut sahabat baik (12/2/10)

Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
KUANTAN: Seorang lelaki cedera parah selepas perutnya ditikam sahabat baiknya dengan pisau dipercayai bermotifkan cemburu selepas melihat mangsa bersama teman wanitanya di sebuah hotel di Bentong, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.25 petang, mangsa berusia 22 tahun dari Kampung Mempaga, dekat Bentong turut cedera di tangan selepas terkena libasan pisau ketika berlaku pertengkaran dengan rakan seusia dengannya.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa keluar dengan teman wanita rakannya itu yang berusia 18 tahun dipercayai untuk memujuk gadis terbabit yang berselisih faham dengan rakannya.



Ketua Polis daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman, berkata mangsa yang mengetahui masalah berkaitan hubungan antara mereka berdua dipercayai menghubungi gadis terbabit untuk berjumpa.

Beliau berkata, mangsa kemudian membawa teman wanita rakannya itu ke sebuah hotel tanpa disedari diekori rakannya itu.

"Rakan mangsa kemudian naik ke bilik hotel berkenaan sebelum bertindak menyerang mangsa.

"Rakannya itu kemudian melarikan diri apabila melihat keadaan semakin tidak terkawal," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Berikutan itu, Rosli berkata, pihak pengurusan hotel menghubungi polis sebelum mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan kecemasan.

"Susulan kejadian, gerakan memburu suspek dilakukan sebelum berjaya ditahan beberapa jam kemudian di sekitar daerah ini.

"Suspek dan teman wanitanya itu kini direman untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata tajam.

"Mangsa bagaimanapun kini dalam keadaan stabil," katanya.

No comments:

Post a Comment