Tuesday, February 16, 2010

Pemandu teksi ditemui mati ditikam

KUCHING 16 Feb 2010 - Seorang pemandu teksi ditemui mati dalam keadaan mengerikan di tempat duduk belakang kenderaannya yang tersadai di bahu jalan di Kilometer 15 Jalan Kuching-Bau, dekat sini malam tadi.

Mangsa, Lim See Kiat, 44, ditemui oleh orang awam pada pukul 8.30 malam dalam keadaan berlumuran darah dan beberapa kesan tikaman di leher dan badan.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Supritendan Vincent Ajeng Lain berkata, siasatan awal percaya mangsa telah dibunuh di dalam kenderaan tersebut.

Katanya, polis turut menemui sebilah pisau dengan kesan darah yang disyaki digunakan dalam kejadian itu serta sekeping pasport Indonesia.

"Kita menolak ia bermotifkan rompakan kerana barangan berharga mangsa seperti dompet dan rantai emas tidak hilang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ajeng berkata, Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) hadir di tempat kejadian untuk siasatan yang diketuainya sendiri dengan dibantu oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Bau, Asisten Supritendan Chan Shun Sing.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Bau untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment