Thursday, February 25, 2010

Rumah ADUN Kuala Nerang disimbah cat

Feb 25, 10 8:17pm

Rumah ADUN Kuala Nerang di Taman Lumba Kuda di Alor Star telah disimbah dengan cat awal pagi ini.

Datuk Syed Sobri Syed Hashim menyifatkan perbuatan tersebut semata-mata mahu mencemar dan memalukannya.

"Saya tidak tahu apa motif mereka buat begini. Nak kata berhutang, saya bukan ahli perniagaan. Sebagai ahli politik sepenuh masa tidak mungkin saya pinjam dengan ah long.

"Jadi saya anggap orang yang melakukan perbuatan ini sebagai pengecut," kata Datuk Syed Sobri Syed Hashim kepada pemberita hari ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Umno bahagian Padang Terap berkata beliau mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9 pagi selepas isterinya, Datin Zakiah Salahuddin yang pulang dari pasar ternampak tompokan merah di tembok depan rumah mereka.

Katanya apabila diperiksa didapati cat merah yang disimbah di empat penjuru rumahnya masih baru.

"Saya dapati modus operandi menyimbah cat ini adalah seperti perbuatan ah long. Oleh itu saya membuat laporan polis supaya ia dapat disiasat. Satu tong cat yang dilemparkan ke tembok rumah saya turut diambil polis," katanya.

Syed Sobri turut meminta pihak yang tidak berpuas hati dengannya supaya membuat laporan polis atau membawa perkara itu ke mahkamah.

- Bernama

No comments:

Post a Comment