SHAH ALAM 10 Feb 2010 - Empat lagi cubaan menyeludup masuk dadah syabu oleh warga Iran berjaya digagalkan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini kelmarin dan semalam.
Cubaan kali ini melibatkan sejumlah 11.1 kilogram dadah syabu yang bernilai RM3 juta oleh enam rakyat Iran termasuk seorang wanita.
Kesemua cubaan itu bagaimanapun digagalkan selepas polis melakukan pemeriksaan ke atas enam suspek tersebut yang baru tiba dengan empat penerbangan berasingan dari Dubai dan Bahrain di KLIA.
Susulan itu, polis menahan seorang lagi lelaki warga Iran di sebuah kondominium di Damansara Perdana, Petaling Jaya dekat sini dan merampas 3.4 kilogram dadah syabu bernilai RM850,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Nordin Kardi berkata, kejayaan ini hasil kerjasama dengan JSJN Bukit Aman yang kini memberi tumpuan memeriksa lebih kerap semua penumpang penerbangan dari Asia Barat terutamanya warga Iran.
Beliau berkata, walaupun menggunakan pelbagai taktik, polis berjaya mengesan dan memberkas warga Iran terlibat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Menceritakan kejayaan di KLIA, Nordin berkata, tangkapan pertama dibuat kelmarin pada pukul 3.45 petang melibatkan dua lelaki dan seorang wanita Iran.
Menurutnya, tangkapan itu dilakukan selepas pihaknya menemui dua bungkusan syabu seberat 4.1 kilogram (RM1 juta) disorokkan dalam ruangan khas di dalam dua beg pakaian mereka.
"Susulan tangkapan pertama membawa kita ke sebuah kondominium di Damansara Perdana pada hari yang sama.
"Di kondominium itu, kita menahan lelaki Iran terbabit yang dipercayai sedang menunggu dadah dibawa suspek dari KLIA," kata beliau kepada pemberita di pejabat JSJN negeri di sini hari ini.
Nordin memberitahu, tiga lagi pemeriksaan dan tangkapan di KLIA dibuat semalam masing-masing pada pukul 9.40 pagi, 3 petang dan 10 malam.
Ujar beliau, tangkapan sebelah pagi melibatkan seorang lelaki Iran yang menyorokkan lapan bungkusan syabu seberat dua kilogram yang dijahit dalam ruangan tebal baju sejuk. Ketika ditahan, suspek sedang memakai baju sejuk tersebut.
Kata beliau lagi, dua lagi tangkapan pada sebelah petang dan malam melibatkan dua lelaki Iran yang menyorokkan dadah syabu masing-masing seberat dua kilogram (RM500,000) dan empat kilogram (RM1 juta) dalam beg pakaian mereka.
"Ketujuh-tujuh warga Iran berusia 20-an hingga 30-an yang ditahan itu, masuk ke negara ini sebagai pelancong.
"Siasatan sedang dibuat bagi memastikan sama ada mereka dari sindiket yang sama atau berlainan dan destinasi dadah itu dihantar.
"Mereka kini ditahan reman selama seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Wednesday, February 10, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment