Tuesday, February 16, 2010

Pengurus disamun di stesen minyak

KUALA LUMPUR 16 Feb 2010 - Seorang pengurus sebuah syarikat swasta kerugian kira-kira RM7,000 apabila disamun dua lelaki ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Taman Sri Rampai, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3.40 pagi itu, lelaki itu berada seorang diri di stesen tersebut sebelum didatangi oleh dua suspek bermotosikal berusia dalam lingkungan 20-an.

Suspek kemudian menarik rantai emas milik mangsa yang berusia 27 tahun itu sebelum melarikan diri.

Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan ringan di leher dan menerima rawatan di hospital berdekatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Katanya, pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak terbabit bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

No comments:

Post a Comment