Monday, February 15, 2010

Sembilan ketua along diburu (15/2/10)

Oleh Hussain Said, Khairul Azran Hussin dan Haspaizi Mohd Zin
bhnews@bharian.com.my
Polis beri amaran kumpulan berkenaan disyaki bersembunyi di negara jiran

KUALA LUMPUR: Polis sedang menjejaki sembilan ketua along yang disyaki bersembunyi di negara jiran bagi melumpuhkan kegiatan haram mereka selepas kumpulan itu dalam kejadian terbaru, Sabtu lalu, bertindak ganas membakar kereta milik seorang wanita di Setapak di sini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata setakat ini pihaknya sudah menahan empat ketua along dan memberi amaran kepada yang melarikan diri, mereka tidak boleh bersembunyi selama-lamanya.

"Semua pihak tahu bahawa dalam kes along, saya tidak akan berkompromi dan dalam kes terbaru (Sabtu lalu) jelas menunjukkan mereka ini memang tidak ada belas kasihan, tidak ada simpati dan tidak ada perikemanusiaan.

"Jadi, kita akan terus menyiasat, mencari dan menjejaki mereka. Kita kemudian heret mereka ke muka pengadilan dan dakwa mereka," katanya selepas menghadiri rumah terbuka MCA di Wisma MCA di sini, kelmarin.

Beliau mengulas mengenai tindakan kumpulan along yang membakar kereta milik seorang wanita selepas suami mangsa gagal membayar hutangnya dan lebih menyedihkan kejadian itu berlaku sehari sebelum masyarakat Tionghua menyambut Tahun Baru Cina.

Mangsa sebelum itu singgah di rumah ibu mentuanya di Taman Sri Rampai, Setapak di sini pada jam 1.30 pagi selepas selesai membeli belah untuk persiapan menyambut Tahun Baru Cina sebelum dua lelaki bermotosikal membakar kereta mangsa menyebabkan kerugian antara RM15,000 hingga RM20,000.

Hishammuddin berkata, kejadian terbaru itu menjadi bukti bahawa keluarga pihak yang berhutang dengan kumpulan ceti haram akan menjadi mangsa sasaran dan kekejaman mereka sekiranya peminjam gagal menjelaskan hutangnya.

"Saya dimaklumkan suami mangsa melarikan diri sejak September tahun lalu. Kali ini tak dapat suami, kejar pula isteri dan keluarga.

"Jadi, kita tidak akan benarkan perkara seperti ini berterusan. Seperti mana tindakan sebelum ini mereka akan diburu sampai habis-habisan. Inilah sebabnya kita sedang memburu sembilan lagi kepala along," katanya

Hishammuddin berkata, kejadian membakar kereta mangsa juga membuktikan kumpulan itu memang tidak berperikemanusiaan kerana ia berlaku sehari sebelum sambutan Tahun Baru Cina.

"Melakukannya sehari sebelum Tahun Baru Cina memang tidak berperikemanusiaan, lebih-lebih lagi terhadap mangsa yang tidak berdosa," katanya.

No comments:

Post a Comment