Wednesday, February 10, 2010

Tukang masak ditetak hampir putus tangan (10/2/10)

PONTIAN: Seorang tukang masak hampir putus kedua-dua tangannya selepas ditetak menggunakan parang panjang oleh dua lelaki dipercayai adik beradik dalam satu pergaduhan di taman permainan di Taman Gemilang, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Zahaliman Jamin, berkata ketika kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa yang berusia 30 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Singapura sebelum ditahan dua lelaki terbabit.

Beliau berkata, berikutan itu berlaku pertengkaran antara mereka sebelum mangsa diserang dengan parang panjang.



"Mangsa yang mengalami kecederaan parah dengan kedua-dua tangan hampir putus akibat ditetak senjata tajam itu dilaporkan pengsan di kawasan taman permainan itu sebelum ditemui orang ramai.

"Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Pontian sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil," katanya.

Zahaliman berkata, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak di Singapura itu dipercayai rakan kepada kedua-dua suspek sejak kecil.

Beliau berkata, daripada siasatan yang dijalankan, pihaknya percaya suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang dikatakan melaporkan kepada bapa mereka mengenai pembabitan mereka dalam penagihan dadah.

"Kami menemui dua sarung parang di tempat kejadian dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Kedua-dua suspek adalah adik beradik dan berusia 31 dan 28 tahun yang tinggal di sini dan bekerja di Kulai. Walaupun mereka sudah melarikan diri, kami percaya mereka akan dapat ditangkap tidak lama lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment