Wednesday, February 10, 2010

Saksi salur maklumat nekad ekori peragut

MUAR: Tindakan seorang saksi kejadian ragut mengekori dua suspek sehingga suspek pulang ke rumah, membolehkan polis berjaya menahan kedua-dua lelaki berkenaan dalam tempoh kira-kira sejam selepas kejadian, hasil maklumat daripada saksi itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang di Batu 3, Jalan Bakri, dekat sini, Sabtu lalu, mangsa seorang wanita berusia 40-an sedang menunggang motosikal apabila beg tangannya direntap dari belakang oleh dua lelaki bermotosikal sebelum melarikan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Lee Choon Guan, berkata mangsa terjatuh dan cedera ringan, dan berusaha mengejar suspek tetapi tidak berjaya lalu membuat laporan di ibu pejabat polis daerah berkenaan.



“Pada masa yang sama seorang lelaki yang melihat kejadian ragut itu mengekori penjenayah terbabit sehingga penjenayah itu pulang ke rumah di Jalan Haji Abdullah, dekat Sungai Abong.

“Kira-kira jam 4 petang hari yang sama, polis menerima panggilan daripada orang awam itu yang melaporkan mengenai kedua-dua suspek itu pulang ke rumah selepas meragut seorang wanita,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu, polis menyerbu rumah suspek dan menahan kedua-dua lelaki berusia 31 tahun dan 26 tahun yang sedang berehat di rumah berkenaan.

Lee berkata, polis menemui semula beg tangan milik mangsa ragut itu yang mengandungi dua rantai emas, telefon bimbit dan dokumen perjalanan serta dokumen bank.

Siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek itu mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

No comments:

Post a Comment