Tuesday, February 16, 2010

Buruh Indonesia mati dikelar

KUALA LUMPUR 16 Feb 2010 - Tindakan seorang buruh binaan Indonesia yang suka mengganggu isteri orang akhirnya memakan diri apabila dia dipercayai mati dibunuh oleh suami wanita itu.

Mat Aspain, 33, dari Jawa Timur ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan leher hampir putus dan isi perut terburai di sebuah bilik stor di tingkat empat pangsapuri belum siap bersebelahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Batu 5, Jinjang di sini semalam.

Mangsa yang bekerja sebagai tukang kayu ditemui kira-kira pukul 2 petang oleh pengawal keselamatan di tapak binaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, mangsa dipercayai dibunuh oleh rakan senegaranya yang bekerja dan tinggal di tapak binaan sama.

"Polis menerima laporan mengenai pembunuhan itu pada pukul 2 petang dan mendapati mangsa mati akibat dikelar dan ditikam pada leher serta perut.

"Kita mendapat maklumat suspek bertindak sedemikian kerana marah dengan perbuatan lelaki itu mengganggu isterinya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Zakaria berkata, suspek bersama isterinya tinggal di sebuah bilik bertentangan dengan bilik yang didiami mangsa dalam bangunan pangsapuri itu.

Beliau berkata, suspek bersama isteri dan beberapa rakannya bagaimanapun menghilangkan diri selepas kejadian.

Katanya, polis menemui sebilah pisau dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa di tempat kejadian.

"Kita turut menahan lima lelaki Indonesia yang bekerja bersama mangsa untuk membantu siasatan," katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment