KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Affandi Yahya, berkata mangsa yang dikenali sebagai Sapiah, sebelum itu dibawa oleh teman lelaki ibunya itu ke Hospital Kuala Kubu Baru dengan mendakwa kanak-kanak malang itu mati kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Beliau berkata lelaki yang berusia 28 tahun itu datang bersama seorang rakan lelaki dan kemudiannya meninggalkan kanak-kanak yang sudah tidak bernyawa itu di wad kecemasan kira-kira jam 8.30 malam.
"Ketika jururawat hendak bertanya lebih lanjut mengenai kemalangan itu, mereka kemudiannya melarikan diri dengan mendakwa perlu bergegas ke balai polis untuk membuat laporan.
"Kira-kira jam 11 malam, pihak hospital menghubungi kita dan hasil semakan, tiada sebarang laporan diterima mengenai kemalangan jalan raya dan hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa mendapati mangsa dipercayai mati akibat didera," katanya ketika dihubungi hari ini.
Norel Azmi berkata hasil pemeriksaan awal pihak hospital mendapati mangsa mengalami kecederaan di tubuh badan selain luka-luka di dagu, lebam di perut serta bawah telinga dan dipercayai mati ketika dalam perjalanan ke hospital.
Beliau berkata polis kemudiannya menahan teman lelaki ibu mangsa yang bekerja sebagai pemandu teksi kira-kira jam 3 pagi tadi bagi membantu siasatan.
Mayat kanak-kanak malang itu akan dibedah siasat 3 petang ini.
Ibu mangsa dan teman lelakinya itu difahamkan mempunyai hubungan sejak enam tahun lalu dan mempunyai seorang anak berusia setahun enam bulan hasil perhubungan mereka.
Ibu mangsa, yang juga ibu tunggal dan berusia 20-an itu juga mempunyai seorang lagi anak hasil perkahwinannya, kini dirawat di Hospital Kuala Kubu Baru selepas dilaporkan pengsan akibat terkejut dengan berita kematian anaknya. - Bernama
Friday, February 26, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment