Tuesday, February 16, 2010

Remaja curi 4 telefon milik jemaah tabligh ditahan (16/2/10)

Oleh Ahmad Othman
bhnews@bharian.com.my
KOTA TINGGI: Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun selepas dia mencuri empat telefon bimbit dan beg duit milik sekumpulan jemaah tabligh yang singgah di sebuah surau di Jalan Taib di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, remaja terbabit masuk surau berkenaan selepas mendapati kumpulan tabligh menumpang tidur sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis daerah, Superintendan Osman Muhammad Sebot ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Polis sedang menyiasat sama ada suspek terbabit dalam kes lain membabitkan barangan persendirian milik orang awam yang dilaporkan hilang ketika bersolat di surau berkenaan," katanya.

Seorang mangsa, Mohd Riduan Aziz, 25, berkata ketika kejadian beliau bersama tujuh rakannya berehat di surau berkenaan dan ada antara mereka sudah tidur.

Katanya, lampu dalam surau itu dipadamkan dan hanya lampu luar menghala ke bilik air terpasang, sebelum tiba-tiba beliau melihat satu lembaga memasuki ruang surau melalui pintu depan.

“Tiba-tiba lembaga berkenaan mengambil sebuah telefon bimbit milik rakan saya, diikuti dua lagi telefon bimbit berhampiran rakan lain yang nyenyak tidur di ruang tamu surau.

“Bagaimanapun, lembaga itu kemudian berbaring dipercayai berpura-pura tidur sambil memerhatikan keadaan sekeliling untuk mengatur pergerakan seterusnya.

“Dia kemudian bangun semula dan mengambil dompet milik rakan, sebelum menuju ke arah saya yang ketika itu berpura-pura tidur,” katanya.

Mohd Riduan berkata, remaja berkenaan terus menyelongkar beg miliknya dan menjumpai telefon bimbitnya, sebelum beliau memegang tangan remaja itu sambil menjerit meminta bantuan rakan.

Katanya, hasil pemeriksaan mereka menemui empat telefon bimbit dan sebuah dompet milik rakannya sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment