Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my
Zul Hasnan Najib Baharudin (kiri) melihat dadah yang dirampas di sekitar Lembah Klang di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 8 Feb 2010 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menggagalkan sembilan cubaan menyeludup masuk dadah syabu ke negara ini yang didalangi dua sindiket warga Iran setelah menahan 34 rakyat negara itu dan merampas 42 kilogram syabu bernilai RM10.5 juta.
Turut ditahan ialah tiga lelaki tempatan, seorang warga Filipina dan seorang warga Singapura.
Selain itu, polis turut merampas wang tunai dan pelbagai aset berjumlah RM225,850.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Zul Hasnan Najib Baharudin ketika mengumumkan kejayaan itu berkata, tangkapan dilakukan sejak awal tahun ini sehingga semalam.
Katanya, kesemua suspek yang berusia antara 15 hingga 58 tahun itu ditahan sama ada ketika melalui pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau ketika melakukan transaksi di hotel-hotel terkemuka di ibu negara.
“Jumlah tangkapan dan nilai rampasan dadah tersebut dalam tempoh begitu singkat itu jelas mengejutkan jika dibandingkan dengan tangkapan seramai 24 warga Iran bersama 16.8 kilogram syabu sepanjang tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Lebih menghairankan, kata Zul Hasnan, satu demi satu tangkapan berjaya dilakukan hampir setiap hari di KLIA, bermula Selasa lalu sehingga semalam.
“Siasatan mendapati kesemua mereka bertindak sebagai kurier dadah, menaiki penerbangan dari Dubai, dipercayai dijadikan transit sebelum datang ke Malaysia. Ada beberapa suspek pernah keluar masuk beberapa kali sebelum ini.
“Kami percaya dadah syabu yang berkualiti tinggi itu diseludup keluar dari Iran dengan menggunakan khidmat kurier, untuk edaran di pasaran Asia Tenggara termasuk negara kita,” jelasnya.
Zul Hasnan menambah, modus operandi penyeludupan seperti yang dikesan sebelum ini iaitu menelan ketulan dadah dalam badan, disorok dalam ruang khas bagasi serta direndam menggunakan pakaian.
Mengulas lanjut kaedah menelan dadah, katanya lagi, seseorang kurier itu mampu menelan antara 80 hingga 200 ketulan bentuk kapsul yang dibalut dengan rapi, sebelum mengeluarkannya dengan membuang air besar.
“Kejayaan dalam tempoh dua bulan ini adalah hasil perkongsian maklumat dengan rakan-rakan polis serantau.
“Kemasukan kurier dadah dari Iran bukan saja mendatangkan masalah kepada Malaysia, tetapi juga negara-negara lain. Kami akan terus menjalinkan kerjasama dengan mereka dalam usaha membendung kegiatan penyeludupan dadah seperti ini,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek yang ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bakal berdepan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.
Monday, February 8, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment