NIBONG TEBAL 2 Feb 2010 - Polis berjaya membongkar kegiatan tiga sindiket perjudian Internet yang beroperasi secara haram di beberapa premis kosong dalam serbuan di sekitar daerah ini, kelmarin.
Dalam serbuan serentak di tiga lokasi kira-kira pukul 5 petang kelmarin, polis menahan tiga lelaki berusia antara 25 tahun dan 35 tahun dan merampas pelbagai peralatan perjudian Internet bernilai lebih RM20,000.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, ketiga-tiga premis berkenaan menjalankan operasi perjudian ber-Internet di premis-premis kosong tanpa sebarang papan tanda.
"Hasil siasatan awal, kita percaya sindiket terbabit sengaja menggunakan modus operandi seperti ini untuk mengaburi pihak berkuasa di sebalik kegiatan haram mereka.
"Malah mereka juga memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem keselamatan pada pintu bagi mengelakkan kegiatan dihidu pihak berkuasa," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, siasatan juga mendapati premis berkenaan yang dipercayai baru beroperasi sejak seminggu lalu, turut menganjurkan aktiviti perjudian sampingan sesama pengunjung premis berkenaan.
"Bagaimanapun, kita masih belum mengetahui jumlah pertaruhan yang digunakan untuk setiap kali perjudian kerana premis berkenaan tiada pelanggan ketika serbuan dilakukan," jelasnya.
Tambah beliau, polis masih menyiasat sama ada ketiga-tiga sindiket berkenaan mempunyai kaitan antara satu sama lain dan sedang mengesan pemilik premis judi tersebut.
Tuesday, February 2, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment