Tuesday, February 9, 2010

Polis cedera bergelut suspek 'black money' (9/2/10)

KUALA LUMPUR: Seorang Cif Inspektor cedera tangan kanannya selepas bergelut dengan seorang lelaki Cameroon, dipercayai anggota sindiket 'black money' di Persiaran Hampshire, Jalan Ampang kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), IPD Sentul mengekori sebuah kereta yang mencurigakan.

Menyedari pergerakannya diekori, suspek berusia 30-an bertindak melarikan diri menuju ke Jalan Ampang.



Difahamkan, suspek tidak mengendahkan arahan supaya menghentikan kenderaannya, sebaliknya cuba merempuh anggota polis bertugas.

Menurut sumber, kereta polis tidak berlogo yang dinaiki pegawai terbabit berjaya memintas kereta Proton Gen-2 milik suspek menyebabkan kenderaannya terhenti.

"Bagi mengelak suspek melarikan diri, pegawai terbabit memecahkan cermin kereta suspek di bahagian pemandu untuk mematikan enjin kereta terbabit. Suspek melawan dan berlaku pergelutan antara suspek dan pegawai terbabit," katanya.

Katanya, hasil siasatan polis menemui 1,778 keping wang RM50 dipercayai palsu yang ditemui tersembunyi di dalam kereta berkenaan.

Beliau berkata, suspek memasuki negara ini menggunakan pas pelajar dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment