Wednesday, February 24, 2010

Empat sekeluarga rugi RM40,000, dirompak ketika tidur (24/2/10)

KUANTAN: Empat beranak di Felda Bukit Mendi dekat Bera kerugian lebih RM40,000 selepas rumah mereka dipecah masuk empat perompak yang dipercayai warga Indonesia awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor, berkata dalam kejadian yang berlaku pada jam 4 pagi itu, peniaga barang-barang runcit berkenaan bersama isterinya, serta dua anaknya berusia 17 dan 21 tahun sedang tidur di bilik masing-masing.

Beliau berkata, kesemua suspek yang memasuki rumah itu dengan mengumpil tingkap belakang rumah mangsa kemudiannya bertindak menerkam kesemua mangsa sebelum mengikat tangan mereka.

"Kesemua suspek kemudiannya menggeledah rumah mangsa dan menemui wang tunai sebanyak RM20,000, barang kemas bernilai RM20,000, selain enam telefon bimbit dan sebuah kamera digital sebelum melarikan diri," katanya di sini, hari ini.

Mohd Zahid berkata, kesemua mangsa yang berjaya membuka ikatan kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera sejam selepas kejadian.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi IPD Bera di talian 09-2558222. - Bernama

No comments:

Post a Comment