Oleh AINSAFREE BIDIN
utusanperak@utusan.com.my
Kawasan jambatan Kampung Bahagia yang menuju ke Teluk Intan, Sungai Manik, Perak yang didakwa pemandu kerap berlaku kejadian melontar batu ke atas kenderaan. – utusan/AinSafre bidin
--------------------------------------------------------------------------------
TELUK INTAN 23 Feb 2010 - Pemandu kenderaan yang menggunakan laluan Teluk Intan ke Sungai Manik dekat sini, semakin bimbang dengan fenomena 'batu terbang' yang mula berleluasa sejak sebulan lalu. Sehubungan itu para pemandu kenderaan menggesa agar pihak berkuasa tampil segera mengambil tindakan tegas bagi membanteras kejadian tersebut.
Ini kerana, para pemandu yang menjadi mangsa 'batu terbang' bukan sahaja berdepan dengan risiko kemalangan malah terpaksa menanggung kerugian akibat cermin pecah dan lain-lain kerosakan pada kenderaan mereka.
Kejadian didakwa kerap berlaku berhampiran gerai makan dekat jambatan menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini.
Agak menghairankan, 'batu terbang' tersebut sering hinggap ke kereta-kereta mewah seperti BMW, Mercedes dan sebagainya.
Salah seorang pemandu, Roslan Hamid, 40, berkata, dia berasa takut keluar malam dan pada waktu subuh apabila mengetahui ramai rakannya mengalami nasib diserang oleh 'batu terbang' itu.
"Sasaran yang dituju ialah cermin kereta. Keadaan ini memang membimbangkan dan menyukarkan saya untuk ke tempat kerja di hospital berdekatan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Seorang lagi pemandu, Rajamani Suria, 47, mengakui, pengalaman dibaling batu menyebabkan dia serik untuk melalui kawasan itu.
"Waktu itu kira-kira pukul 7 pagi sewaktu saya menghantar anak ke sekolah, tiba-tiba kereta saya 'diserang' oleh batu secara bertubi-tubi daripada arah hutan berdekatan," katanya.
Akibat serangan tersebut katanya, cermin hadapan serta cermin sisi keretanya pecah dan terpaksa menanggung kerugian hampir RM3,500.
Rajamani berharap polis dan pihak berkuasa berkaitan mengambil segera tindakan mengesan individu tidak bertanggungjawab yang melakukan perbuatan membaling batu tersebut bagi mengelakkan kejadian serupa berulang menimpa pemandu lain pula.
Tuesday, February 23, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment