Wednesday, February 10, 2010

‘Tidak serik jadi nelayan’ (11/2/10)

Oleh Hayati Ibrahim
bhnews@bharian.com.my
SEPANG: Pengalaman ditahan pihak keselamatan Indonesia selama tiga bulan di Pontianak, Kalimantan, selepas didakwa menceroboh perairan negara jiran itu tidak melunturkan semangat Che Wan Budiman Che Wan Ngah, 31, untuk terus menjadi nelayan.

Che Wan Budiman dari Seberang Takir, Terengganu, tekong bot yang ditahan pihak berkuasa Indonesia bersama empat rakannya pada 12 November tahun lalu, pulang ke tanah air semalam menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Cuma selepas ini saya akan lebih berwaspada supaya tidak tersasar (dari haluan). Saya akan pastikan kami menangkap ikan di kawasan yang dekat saja," katanya ketika ditemui sejurus tiba dari Kuching, Sarawak, jam 5.20 petang, semalam.



Kepulangan Che Wan disambut Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman, yang bertungkus-lumus berusaha dan berunding dengan pihak berkuasa Indonesia bagi membebaskannya.

"Saya ingin meminta maaf daripada ayah kerana menyebabkan bot pusaka yang diwarisi sejak lebih 32 tahun lalu dirampas pihak berkuasa Indonesia. Saya tahu bot itu amat bermakna bagi ayah kerana ia digunakan secara turun temurun bagi menyara 11 anak sebelum ini," katanya.

Pada 12 November lalu lima nelayan dari Kampung Seberang Takir, Terengganu termasuk tekong ditahan pihak berkuasa Indonesia ketika menangkap ikan di kawasan pelantar minyak Berlumut, kira-kira tiga batu nautika dari sempadan perairan Indonesia.

Bagaimanapun, empat daripadanya iaitu Musa Mahammad, 33; Mohd Arif Rosli, 20; Ahmad Faizul Sulong, 33, dan Akhmadi Daud, 28, semuanya dari Kampung Baru, Sebarang Takir, dibenarkan pulang pada 27 Disember lalu, manakala Che Wan Budiman ditahan di pusat tahanan negara itu di Pontianak.

Katanya beliau menerima layanan baik sepanjang ditahan pihak berkuasa negara jiran itu termasuk diberi makan dan minum dengan sempurna.

Sementara itu, Ahmad menasihatkan nelayan negeri terbabit supaya sentiasa berhati-hati ketika keluar menangkap ikan bagi mengelakkan mereka tersasar ke luar perairan negara.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan akan membekalkan nelayan laut dalam di Terengganu dengan sistem (GPS) untuk memudahkan mereka mengenali sempadan, sekali gus mengelakkan kejadian sama berulang.

Ahmad Said juga akan mempertimbangkan untuk menyalurkan bantuan kepada kelima-lima nelayan termasuk memberi subsidi untuk membina bot baru memandangkan mereka hanya bergantung kepada menangkap ikan sebagai mata pencarian.

No comments:

Post a Comment