Saturday, February 6, 2010

BMW disamun bawah restoran jejantas Sungai Buloh (6/2/10)

PETALING JAYA: Seorang pengurus bank kehilangan BMW 5-series miliknya selepas dilarikan tiga lelaki yang bertindak melanggar keretanya dari belakang semasa beliau melalui kawasan bawah restoran jejantas Sungai Buloh di Lebuh Raya Utara Selatan, semalam.

Tiga lelaki itu menggunakan kereta BMW 3-series untuk merempuh kereta pengurus bank tersebut.

Ketua Polis Dearah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed, berkata semasa kejadian 9 malam itu, pengurus bank berkenaan sedang memandu menghala ke arah selatan apabila keretanya dirempuh dari belakang.



Katanya, pengurus itu tidak mengesyaki apa-apa semasa dia berhenti di bahu jalan untuk memeriksa keretanya.

"Salah seorang suspek yang bersenjatakan parang kemudiannya terus meluru masuk ke dalam kereta pengurus itu dan memecut laju meninggalkan tempat kejadian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rakyat Face-To-Face Community Policing and High Profile Policing di Subang Perdana di sini hari ini.

MUN BMW 2 (AKHIR) PETALING JAYA

Arjunaidi berkata, polis sedang berusaha memburu ketiga-tiga suspek yang berumur sekitar 30-an itu dan mengesan kereta pengurus bank itu yang dianggar bernilai RM200,000.

Sementara itu, seorang lelaki berumur 60 tahun mati akibat digilis sebuah kereta jenis Proton Iswara di Jalan Barat di sini, dipercayai semasa dia hendak melintas jalan dari arah Hotel Armada pada pukul 7.35 pagi ini.

Nahas berlaku hanya beberapa meter daripada tempat menyeberang jalan yang disediakan khusus untuk pejalan kaki yang tidak digunakan oleh lelaki berkenaan.

Arjunaidi berkata, mayat lelaki yang belum dikenal pasti identitinya itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat dan seorang lelaki berumur 50 tahun yang memandu kereta itu tampil di balai polis untuk memberi keterangan. - Bernama

No comments:

Post a Comment