JOHOR BAHRU 10 Feb 2010 - Seorang buruh binaan warga Vietnam hari ini dihukum penjara seminggu dan denda RM10,000 atau penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini gara-gara merasuah seorang anggota polis sokongan sebanyak RM75.
Hakim Salawati Djambari menjatuhkan hukuman setelah tertuduh, Vu Dinh Thuan, 30, mengaku bersalah memberi suapan kepada Konstabel Mohd. Safwan Sallehhudin yang bertugas di cawangan kereta peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya.
Dia mengaku melakukan kesalahan itu pada pukul 8.35 pagi, 24 Januari lalu di Jalan Leong Bee, Gelang Patah.
Suapan diberikan sebagai dorongan supaya Mohd. Safwan tidak menyamannya kerana kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tidak memiliki lesen motosikal.
Fakta kes menyebut, sungguhpun Mohd. Safwan telah memberikan amaran, menasihati dan mengarahkan tertuduh menyimpan semula wangnya namun dia tetap berdegil.
Perbuatan itu telah dilaporkan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pukul 10 pagi pada keesokkan harinya.
Dinh Thuan didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Ridzuan Abd. Malik.
Dinh Thuan yang fasih berbahasa Melayu, menangis ketika merayu hukuman diringankan.
Meskipun telah bekerja selama enam tahun di negara ini dengan pendapatan RM1,000, dia mendakwa, tidak memiliki wang simpanan.
Tambahan pula dakwa tertuduh lagi, isterinya yang baru melahirkan anak sulung.
Wednesday, February 10, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment