Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 5 Feb 2010 - Seorang lelaki merasa curiga apabila dekoder terpakai dibelinya berbeza daripada yang lain kerana terdapat bunyi di dalamnya.
Curiga dengan perkara itu, dia memberanikan diri dan membuka dekoder berkenaan.
Namun alangkah terkejutnya apabila mendapati di dalamnya mengandungi sebutir bom tangan yang masih aktif.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang ini selepas mangsa bersetuju untuk membeli alat itu daripada satu pasangan dan membuat temu janji di sebuah stesen minyak di Ampang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, bagaimanapun selepas membelinya, mangsa merasa curiga apabila terdapat bunyi di dalam dekoder itu.
"Mangsa lalu membukanya dan terkejut apabila mendapati terdapat objek menyerupai bom tangan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, mangsa kemudian menghubungi polis dan sekumpulan anggota dari Unit Pemusnah Bom (UPB) bergegas ke tempat kejadian.
Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati objek itu adalah sebutir bom tangan lama yang masih aktif.
"Kita telah membawa bom itu pulang untuk dimusnahkan," ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, polis kini giat berusaha mengesan pasangan yang menjual dekoder tersebut.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
Friday, February 5, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment