Friday, February 5, 2010

Pasangan disamun sebelum isteri dijadikan tebusan (5/2/10)

KUALA LUMPUR: Hasrat sepasang suami isteri untuk pulang ke rumah selepas menikmati sarapan pagi bertukar pengalaman menakutkan apabila disamun dan isteri yang juga warga China dijadikan tebusan.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi tadi, pasangan itu sedang berjalan ke kereta mereka selepas menikmati sarapan pagi di sebuah gerai di Lembah Jaya di sini sebelum didatangi tiga suspek berumur antara 24 hingga 30 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Amiruddin Jamaluddin, berkata seorang suspek kemudian bertindak mengacukan pisau ke leher suami dan mengarahkan mereka masuk ke dalam kereta sebelum menyamun.



"Mereka dibawa ke satu lokasi di Hulu Langat sebelum lelaki berusia 42 tahun itu ditinggalkan di tepi jalan. Mangsa kemudian membuat laporan polis kira-kira pukul 6.30 pagi di balai polis berhampiran," katanya.

Sejurus kemudian, mangsa, seorang broker kereta, menerima panggilan telefon daripada salah seorang suspek yang meminta wang tebusan RM5,000 bagi membebaskan isterinya yang berusia 24 tahun.

"Mangsa yang risau dengan keadaan isterinya kemudian menghubungi rakannya di Pudu untuk meminjam wang dan memaklumkan apa yang berlaku. Selepas itu rakannya menghubungi polis," katanya pada satu sidang media di sini.

Beliau berkata, sebaik tiba di sebuah bank di Pandan Indah seperti yang diminta, tiga suspek datang dan meminta mangsa mengeluarkan wang tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana bank itu belum lagi beroperasi.

Amiruddin berkata, seorang suspek dan mangsa kemudian pergi dengan sebuah kereta untuk bertemu rakan mangsa bagi mengambil wang di sebuah stesen minyak di Pandan Indah.

Katanya, setibanya di stesen minyak yang dijanjikan kira-kira 8.30 pagi, polis menyerbu kereta mangsa dan menahan suspek polis masih memburu dua lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam 16 kejadian samun di daerah itu.

Kira-kira setengah jam kemudian, isteri mangsa menghubungi suaminya memaklumkan dia sudah dibebaskan berhampiran sebuah perhentian bas di Ampang Jaya dan telah pulang ke rumah.

Polis menemui semula barang-barang yang disamun dipercayai milik mangsa iaitu dua telefon bimbit, dua dompet dan kunci kereta manakala suami mangsa mengalami kerugian kira-kira RM350 termasuk sebentuk cincin emas. - Bernama

No comments:

Post a Comment