Saturday, February 6, 2010

Dekoder bom: Polis buru pasangan

KUALA LUMPUR 6 Feb 2010 - Polis sedang memburu seorang lelaki dan wanita yang menjual dekoder terpakai berisi sebutir bom tangan kepada seorang lelaki di Ampang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya masih menyiasat dari pelbagai sudut termasuk cuba menghubungi talian telefon bimbit yang digunakan pasangan terbabit.

Katanya, pasangan itu hanya menggunakan satu talian ketika berurusan menjual dekoder terpakai itu kepada pembeli lelaki terbabit.

"Kita cuba mengesan suspek dengan menghubungi mereka melalui talian yang diberikan oleh pembeli lelaki itu. Namun, nombor tersebut tidak lagi digunakan.

"Buat masa ini, polis sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada syarikat telekomunikasi mengenai identiti pasangan itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, seorang lelaki terkejut setelah mendapati dekoder terpakai yang dibeli daripada pasangan itu mengandungi sebutir bom tangan yang masih aktif.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang semalam selepas mangsa membuat temu janji dengan pasangan itu di sebuah stesen minyak di Ampang untuk membeli dekoder tersebut.

No comments:

Post a Comment