Saturday, February 6, 2010

Geng samun hotel tumpas

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my

NIBONG TEBAL 6 Feb. – Polis menumpaskan satu kumpulan penjenayah yang sangat dikehendaki kerana dipercayai terlibat dalam 14 kes samun bersenjata di hotel-hotel murah sekitar Pulau Pinang dan Kedah baru-baru ini.

Kumpulan yang dianggotai empat lelaki termasuk seorang pelajar sekolah menengah itu disyaki terlibat dalam 13 kes samun hotel murah di empat daerah di Pulau Pinang dan satu kes di Kulim, Kedah sepanjang bulan lalu.

Keempat-empat anggota kumpulan itu bagaimanapun diberkas kira-kira 10 minit selepas menyamun sebuah hotel murah berhampiran perkampungan Sungai Bakap, di sini kira-kira pukul 1.40 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, polis sedang menjalankan rondaan sekitar kawasan Sungai Bakap sebelum menerima maklumat kejadian samun sebuah hotel di kawasan itu.

Menurutnya, ketika rondaan itu, keempat-empat lelaki baru sahaja keluar dari hotel berkenaan dan polis bertindak mengejar dan berjaya memberkas suspek dalam lingkungan satu kilometer dari tempat kejadian.

“Ketika polis mengejar, suspek yang menaiki motosikal sempat membuang bahan-bahan bukti seperti sebilah parang serta barangan yang disamun seperti telefon bimbit dan sejumlah wang tunai,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Shafien berkata, keempat-empat suspek yang berusia antara 13 hingga 37 tahun kini ditahan reman sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut.

Katanya, kesemua suspek termasuk pelajar yang bersekolah di sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam dekat sini, juga didapati positif mengambil dadah jenis ganja.

Beliau memberitahu, modus operandi kumpulan itu ialah dengan memakai topi keledar sebelum berpura-pura bertanya kepada kakitangan kaunter hotel sekiranya terdapat bilik kosong.

“Mereka kemudian akan mengugut kakitangan kaunter dengan senjata seperti parang dan pisau supaya menyerahkan wang tunai dan barangan berharga,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hotel berkenaan berjaya merakam dengan jelas wajah keempat-empat suspek yang akan menjadi bahan bukti penting dalam kes tersebut.

Menurutnya, polis juga sedang menyiasat penglibatan kumpulan tersebut dengan beberapa kes samun kedai-kedai 24 jam sekitar Pulau Pinang baru-baru ini.

Kes ini katanya akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment