Tuesday, February 23, 2010

Cubaan warga Iran seludup kokain RM800,000 gagal (23/2/10)

SHAH ALAM: Percubaan seorang warga Iran membawa masuk empat kilogram kokain gred baik dianggarkan bernilai RM800,000 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ahad lalu, gagal apabila perbuatannya dihalang polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata dalam kejadian jam 3.45 petang itu, lelaki Iran, seorang ahli perniagaan berusia 35 tahun, ditahan sepasukan anggota polis Bahagian Narkotik di KLIA selepas dilihat berkelakuan mencurigakan di kaunter tuntutan bagasi.

Katanya, ketika itu, pasukannya sedang membuat pemantauan terhadap penumpang yang tiba dengan penerbangan dari Dubai, Emriyiah Arab Bersatu.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap beg lelaki yang pertama kali memasuki negara ini mendapati ada satu bungkusan plastik lut sinar yang disembunyikan di bawah lapisan penutup di dasar beg itu.

"Ia didapati mengandungi bahan disyaki dadah jenis kokain. Kami percaya dadah itu bukan untuk pasaran tempatan kerana ia mempunyai keaslian sebanyak 80 peratus berbanding dadah jenis sama bergred rendah yang sering digunakan penagih tempatan.

"Polis percaya ada sindiket di sini yang menerima dadah berkenaan dan lelaki yang ditahan itu hanya pembawa dadah terbabit," katanya pada sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) di sini, semalam.

Lelaki itu kini ditahan reman hingga 28 Februari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Nordin berkata, dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM160,000 jika dijual di negara asal suspek tetapi harganya meningkat menjadi RM250,000 di negara ini.

Katanya, polis sedang menyiasat sama ada penyeludup dadah di Iran cuba memonopoli pasaran dadah di negara ini berikutan harga dadah yang lebih tinggi.

Nordin berkata, dalam satu serbuan lain di sebuah pangsapuri di Bandar Puteri Puchong, oleh sepasukan polis Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada Sabtu lalu, polis merampas daun kering disyaki ganja seberat 495 gram, bernilai RM1,500.

Katanya, polis turut menahan dua lelaki warga Nigeria yang berada di pangsapuri itu dengan seorang daripada mereka sedang memegang bungkusan berisi dadah berkenaan.

"Pihak Narkotik menjalankan ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua lelaki itu dan mendapati air kencing mereka positif dadah," katanya.

No comments:

Post a Comment