KUALA LUMPUR: Polis menggagalkan tiga lagi cubaan menyeludup dadah oleh warga Iran melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dalam tempoh 24 jam kelmarin, dengan nilai dadah dirampas mencecah RM3 juta.
Hasil kejayaan itu, polis turut menahan tujuh warga negara itu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 30-an hingga 40-an, dipercayai ‘keldai dadah’ yang diupah sindiket antarabangsa di ibu negara.
Difahamkan, penahanan suspek dibuat sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam empat operasi berasingan di KLIA, termasuk serbuan di sebuah kondominium mewah di Damansara.
Sumber memberitahu Berita Harian, tindakan itu susulan maklumat risikan yang mengesan enam daripada tujuh suspek ditahan membawa dadah ketika singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai sebelum mengambil penerbangan ke Kuala Lumpur.
Pada 8 Februari lalu, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita sebaik mengambil bagasi mereka di lobi ketibaan (Terminal Utama KLIA) kira-kira jam 3.45 petang. Hasil pemeriksaan polis menemui lima kilogram syabu disembunyikan dalam ruang rahsia bagasi dibawa.
Ia disusuli penahanan seorang lagi lelaki warga negara itu yang menunggu mereka di luar bangunan terminal, dipercayai berperanan sebagai pengantara untuk sindiket terbabit.
Menurut sumber, polis kemudian menyerbu sebuah kondominium mewah di Damansara, dipercayai disewa sindiket itu sebagai pangkalan mereka, selain pusat pembungkusan semula dadah berkenaan sebelum dipasarkan ke negara jiran.
“Hasil pemeriksaan menemui tiga kilogram syabu di kondominium itu. Bertindak atas maklumat sama, tiga lagi ‘keldai dadah’ ditahan bersama empat kilogram syabu di KLIA semalam (kelmarin), masing-masing pada jam 9.15 pagi dan 2 petang.
“Mereka ditahan ketika mahu menaiki teksi ke Kuala Lumpur, dipercayai untuk menghantar dadah itu. Menggunakan modus operandi sama, dadah itu turut ditemui disorokkan dalam ruang rahsia beg mereka,” katanya.
Keseluruhannya, 12 kilogram syabu bernilai tinggi dirampas dalam empat operasi itu, dengan harga pasaran semasanya mencecah RM3 juta atau RM250,000 sekilogram.
“Semua suspek didapati memiliki dokumen perjalanan sah dan memasuki negara ini atas alasan melancong. Mereka kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.
Tuesday, February 9, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment