Thursday, February 11, 2010

Tiada kaitan Abu Sayyaf

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my



DR. AHMAD Zahid Hamidi (tiga, kanan) melihat watikah pelantikan anggota Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Datuk Seri Dr. Nasir Mohd. Ashraf (dua, kiri) yang mewakili kerajaan selepas majlis penyampaian Watikah Pelantikan Sebagai Anggota MLKN di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 11 Feb. - Kejadian culik dan rompakan di pusat pembiakan rumpai laut di Pulau Sebangkat dekat Semporna, Sabah, tiada kaitan dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf dari Filipina.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya mengesahkan, kejadian itu berpunca daripada kegagalan membayar gaji pekerja pusat pembiakan tersebut.

''Kejadian itu tiada kaitan langsung dengan kumpulan Abu Sayyaf. Ia lebih kepada masalah peribadi membabitkan isu bayaran gaji antara majikan dengan pekerja.

"Kumpulan penjenayah yang terlibat juga tidak mempunyai struktur organisasi walaupun mereka didakwa bersenjatakan raifal,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kemungkinan wujud penglibatan kumpulan pengganas dalam kejadian serangan di Pulau Sebangkat, awal pagi Selasa lalu.

Dalam kejadian tersebut, dua rakyat tempatan masing-masing berusia 25 dan 40 tahun hilang selepas ditahan lima lelaki bersenjatakan raifal yang melakukan rompakan di pusat pembiakan rumpai laut seluas 20 hektar itu.

Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan penyerahan watikah pelantikan anggota Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Hadir sama timbalan beliau, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Turut hadir Pengerusi MLKN, Datuk Dr. Tiki Lafe dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Ditanya sama ada Kementerian Pertahanan sedia menambah jumlah kekuatan tentera yang terlibat dalam Ops Pasir di Sabah, Ahmad Zahid berkata, ia akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

"Selain meningkatkan jumlah kekuatan anggota dan aset-aset moden, kita juga telah memperluaskan jangkauan pemantauan membabitkan enam pulau baru di sana,'' jelasnya.

Menurutnya, secara keseluruhannya keselamatan perairan Sabah berada pada tahap terbaik sejak anggota tentera ditempatkan di sana di bawah kendalian Markas Angkatan Bersama (MAB).

No comments:

Post a Comment