Wednesday, February 3, 2010

Seludup dadah dari India guna TV rosak

PADANG BESAR 3 Feb 2010 - Pelik tetapi benar. Televisyen model lama berukuran 35 sentimeter (14 inci) yang kononnya rosak di New Delhi, India 'diterbangkan' ke Malaysia dengan alasan untuk diperbaiki di Kuala Lumpur.

Hairan dengan perkara itu, anggota kastam melakukan imbasan dan terkejut mendapati televisyen tersebut sebenarnya berisi dadah.

Modus operandi terbaru itu dikesan kastam yang melakukan pemeriksaan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Md. Hassim Pardi berkata, ia antara modus operandi terbaru digunakan penjenayah untuk menyeludup dadah ke negara ini melalui udara.

Katanya, dadah yang dikesan diseludup menggunakan cara tersebut adalah ketamin, Eramin 5 dan ekstasi.

"Pelbagai modus operandi digunakan untuk menyeludup dadah. Salah satu daripadanya ialah dengan mengisi dadah dalam televisyen lama yang dibawa ke sini.

"Kononnya, TV itu rosak dan mahu dibaiki. Alasan itu tidak logik dan kami melakukan pemeriksaan dan imbasan ke atas TV tersebut dan menemui dadah di dalamnya," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar sempena majlis penyerahan anjing pengesan dadah di pejabat Kastam Unit Narkotik di sini hari ini.

Md. Hassim berkata, selain dadah dibawa masuk dari India, taktik serupa turut digunakan penyeludup dari Pakistan, Iran, Jepun dan Malaysia sendiri.

"Selain menggunakan TV lama mengisi dadah, penjenayah memuatkan bahan tersebut di dalam bingkai gambar. Dadah juga turut diisikan dalam pemanas air.

"Satu lagi taktik ialah memuatkan dadah dalam makanan, termasuk diisi dalam bungkusan serbuk kunyit," ujarnya.

Mengenai persiapan KDRM membanteras penyeludupan mercun sempena Tahun Baru Cina, beliau berkata, pihaknya telah bersedia berhubung perkara itu.

No comments:

Post a Comment