KUANTAN 10 Feb 2010 - Kegiatan pasangan kekasih yang kerap berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kuantan sejak setahun lalu selama ini tidak mendatangkan apa-apa syak wasangka.
Namun, sewaktu sering berulang-alik itu, pasangan tersebut yang masing-masing berusia 28 tahun rupa-rupanya turut menjalankan kegiatan lain, iaitu mengedar dadah.
Tindakan pasangan itu terbongkar jua akhirnya apabila lelaki terbabit ditahan polis ketika sedang mengedar dadah di Jalan Bukit Ubi di sini kelmarin.
Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 3.30 petang selepas dihantar dengan sebuah kereta oleh teman wanitanya ke kawasan itu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Deputi Supritendan S. Xavier berkata, hasil maklumat orang awam, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang berjaya menahan lelaki tersebut.
"Hasil pemeriksaan ke atas sekotak tisu yang dipegang suspek, polis menemui satu peket plastik berisi syabu seberat 30.5 gram.
"Selepas itu, polis mengadakan pemeriksaan lanjut ke atas badan suspek dan menemui dua biji pil kuda dan satu peket kecil dadah syabu seberat satu gram. Polis turut menemui wang tunai sebanyak RM4,500 dalam poket lelaki itu," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Menurut beliau, hasil soal siasat ke atas lelaki terbabit, polis kemudian mengadakan operasi memburu teman wanitanya.
"Beberapa jam kemudian, polis menahan wanita terbabit setelah menemui tiga peket syabu di hadapan pusat beli-belah Berjaya Megamall di sini.
"Pasangan kekasih itu kini direman selama lima hari bermula semalam untuk membantu siasatan. Semua dadah yang dirampas bernilai RM20,000," jelasnya.
Wednesday, February 10, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment