Wednesday, February 10, 2010

Polis tahan penjenayah samun lori muatan beras

ALOR GAJAH 10 Feb 2010 - Tindakan enam penjenayah menyamun sebuah lori yang sarat dengan muatan beras hancur bernilai RM33,000 pada Sabtu lalu, gagal apabila lori itu berjaya ditahan kira-kira 30 minit selepas kejadian.

Kecekapan polis mengesan penjenayah terbabit turut menyebabkan salah seorang daripada mereka ditangkap ketika lori itu berada berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat di sini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, kejadian pukul 5 pagi itu bermula apabila kumpulan penjenayah itu menyerang seorang pengawal keselamatan yang menjaga lori tersebut di sebuah kilang di Pengkalan.

"Pengawal keselamatan berusia 36 tahun itu diikat sebelum dua daripada suspek melarikan diri menaiki lori manakala empat lagi menaiki sebuah kereta Proton Wira," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sini semalam.

Umar Ali Saifuddin menambah, bertindak atas maklumat itu, polis telah mengepung jalan menuju ke plaza tol lalu cuba menahan lori terbabit.

"Suspek yang memandu lori itu enggan memberhentikan kenderaan tersebut dan terus memecut.

"Secara tiba-tiba, salah seorang suspek iaitu pemandu lori itu melompat keluar lalu melarikan diri dengan sebuah kereta Wira dinaiki empat rakannya yang berada di hadapan," tambahnya.

Menurut beliau, rakannya kemudian turun dari lori itu dan bertindak agresif dengan cuba menyerang anggota polis namun akhirnya berjaya ditangkap.

Umar Ali Saifuddin menambah, kumpulan penjenayah itu cuba melarikan lori tersebut ke arah Skudai di Johor.

Beliau berkata, polis kini masih memburu lima rakan suspek yang melarikan diri.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan.

No comments:

Post a Comment