Wednesday, February 24, 2010

Lelaki dipercayai cuba merompak lemas (24/2/10)

ALOR SETAR: Seorang lelaki lemas selepas terjun ke dalam Sungai Kedah berhampiran kawasan rekreasi Taman Jeragan, Ampang Jajar, di sini, apabila dikejar lima pekerja tapak binaan berhampiran ketika cuba memecah masuk stor di situ, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu, dua lelaki berusia 30-an cuba memecah masuk sebuah stor pembinaan di Taman Sri Indah, tetapi cubaan mereka gagal apabila disedari dua pekerja warga Thailand di tapak binaan itu.

Suspek mengeluarkan pisau ketika cuba melarikan diri dan dihalang hingga berlaku pergelutan, bagaimanapun dapat meloloskan diri dan berlari ke arah sungai di situ dan meninggalkan motosikal mereka.

Saksi yang juga ketua pengawal keselamatan di tapak projek berkenaan, Mohd Fazli Che Omar, 33, berkata ketika kejadian dia berada di rumahnya yang terletak berhampiran stor berkenaan sebelum bergegas ke sana selepas dihubungi rakannya.

Katanya, sebaik tiba dia mendapati dua lelaki itu melarikan diri ke arah sungai yang terletak kira-kira 500 meter dari tapak projek sebelum mengejarnya dengan bantuan beberapa rakan lain.

“Selepas beberapa minit mencari kami terserempak dengan dua lelaki itu namun seorang daripadanya yang berbaju merah dan berseluar denim biru terjun ke dalam sungai, manakala rakannya lari ke arah Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan menghilangkan diri.

“Kami nampak lelaki itu tenggelam timbul dan cuba berenang hingga ke tengah sungai sebelum berpatah balik selepas kami memberitahunya sungai itu ada buaya.

“Namun, selepas berpatah balik sehingga kira-kira 10 meter dari tebing sungai, lelaki itu tiba-tiba tenggelam dan terus tidak dijumpai. Saya mengesyaki kaki suspek mungkin cedera ketika dia terjun dari tebing sungai itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mayat lelaki itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira jam 7.10 malam semalam dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment