Wednesday, April 28, 2010

Pemandu teksi dipenjara 15 tahun, 10 sebatan

28/04/2010 3:58pm


KUALA LUMPUR 28 April - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara dan 10 sebatan ke atas seorang pemandu teksi sambilan kerana merompak sebuah telefon bimbit dan mencederakan seorang jurujual, dua tahun lalu.


Hakim Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap B. Balamurali, 30, yang juga seorang kelindan lori selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sebat sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

Zainal Abidin dalam penghakimannya berkata, setelah mendengar hujahan daripada peguam, beliau mengakui kes itu memiliki banyak faktor berat dan tindakan Balamurali telah menyusahkan banyak pihak.

"Awak telah merompak wanita muda dan awak telah mencederakan wanita itu yang terpaksa menerima banyak jahitan dan melakukan perkara itu di tempat yang sunyi sebelum awak melarikan diri semata-mata untuk satu habuan telefon bimbit yang hanya bernilai beberapa ringgit saja,” katanya.

Zainal Abidin berkata, tindakan tertuduh bukan sahaja menyebabkan mangsa takut malahan turut memberi impak kepada orang ramai yang menggunakan teksi awam. - Bernama

No comments:

Post a Comment