Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my
MOHD. Naki Mohd. Yusuf disabitkan kesalahan membunuh kekasih isteri dan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
SHAH ALAM 9 April – Akibat rasa cemburu yang meluap-luap, seorang pengawal keselamatan warga Myanmar bertindak memukul kekasih isterinya dengan sebatang besi tiga tahun lalu.
Apabila mangsa tidak lagi bernyawa, Mohd. Naki Mohd. Yusuf, 44, menyumbat mayat rakan senegaranya yang hanya dikenali sebagai Nowshad 27, ke dalam tangki air di belakang kilang tempat dia bekerja dan tinggal bersama keluarganya.
Dia kemudiannya bertindak melarikan diri ke Johor dengan alasan untuk berkerja selain menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menyuruh isterinya mencari mayat mangsa yang telah dibunuh dan dicampak di lebuh raya.
Hanya kira-kira sebulan selepas kejadian, mayat Nowshad yang telah reput ditemui dan Mohd. Naki kemudiannya ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh mangsa.
Selepas 23 saksi pendakwa dan pembela termasuk tertuduh, dua anak dan isterinya memberi keterangan, dia disabitkan dan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan demikian selepas menolak pembelaan tertuduh yang disifatkan sebagai penafian semata-mata.
Beliau dalam penghakimannya berkata, keterangan anak tertuduh yang berusia 16 tahun menunjukkan mangsa dijemput datang ke rumah mereka untuk membaiki motosikal.
Jelas beliau, walaupun saksi enggan memberi keterangan lanjut kerana takut bapanya dihukum gantung, namun dia mengakui melihat tertuduh memukul mangsa selepas berlaku pergaduhan antara kedua- duanya.
‘‘Keterangan membuktikan perkahwinan tertuduh dan isterinya kucar-kacir dan isterinya rapat dengan mangsa.
‘‘Tahap cemburu dan cara menanganinya berbeza-beza. Saya tolak pembelaan tertuduh dan sabitkan dengan pertuduhan yang mempunyai satu hukuman sahaja iaitu gantung sampai mati,’’ katanya.
Mohd. Naki disabitkan dengan tuduhan membunuh Nowshad yang juga pengawal keselamatan di kilang Sin Guat Huat, Jalan Perusahaan 3, Beranang, Kajang pada pukul 9.30 malam, 14 April 2007.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Sementara tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamad.
Friday, April 9, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment