Friday, April 2, 2010

Jurukimpal sebabkan kematian dipenjara 16 tahun

Nai Boon Wah dihukum penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas kesalahan menyebabkan kematian dua lelaki.

--------------------------------------------------------------------------------



SHAH ALAM 2 April 2010 - Seorang jurukimpal bersama dua rakannya berkunjung ke sebuah bar dengan membawa sebilah pisau yang diselit pada bahagian kaki empat tahun lalu.

Apabila berlaku pertengkaran dengan dua lelaki yang duduk di sebuah meja lain selepas bar ditutup, Nai Boon Wah, 30, terus mengeluarkan pisau tersebut dan menikam salah seorang daripada mereka sebanyak 14 kali.

Melihat rakan mangsa cuba melarikan diri, dia bertindak mengejar sambil menikam dada, leher dan perut lelaki itu yang akhirnya rebah di pintu masuk bar tersebut.

Selepas berjaya ditangkap dua tahun kemudian, Boon Wah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini atas dua tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati.

Namun hari ini, dia terselamat daripada tali gantung apabila dihukum penjara 16 tahun selepas mengaku salah atas tuduhan pilihan menyebabkan kematian Lim Teik Tsung, 27, dan Ong Kian Meng, 34, dengan menikam mereka menggunakan sebilah pisau.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Yazid Mustafa memerintahkan anak bongsu daripada tiga beradik itu dihukum penjara 16 tahun bagi setiap kesalahan menyebabkan kematian Teik Tsung dan Kian Meng.

Dia bagaimanapun bernasib baik apabila kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak mulai tarikh tangkapan pada 6 Jun 2008.

Mohd. Yazid semasa membacakan keputusannya berkata, tertuduh mempunyai persediaan awal untuk melakukan jenayah itu apabila membawa pisau yang diselitkan pada bahagian kaki.

Kata beliau, 14 kesan tikaman pada badan mangsa menunjukkan tertuduh menggunakan daya yang kuat selain bertindak mengejar dan menikam seorang lagi apabila mangsa cuba melarikan diri.

''Pergi ke bar dalam keadaan bersenjata menunjukkan tertuduh sudah ada persediaan awal. Pisau itu yang menyebabkan kematian kedua-dua mangsa ekoran pertengkaran biasa.

''Ia satu perbuatan yang tidak boleh dipandang ringan. Lebih-lebih lagi mangsa kedua tidak melawan dan dia terus ditikam sehingga membawa kepada kematian,'' katanya,

Mengikut pertuduhan pilihan, Boon Wah didakwa menyebabkan kematian Teik Tsung dan Kian Meng di V Bar Bistro Lounge, Jalan Nilai 5, Bandar Bukit Tinggi, Klang dekat sini pada pukul 2 pagi 27 November 2006.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nordin Ismail mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

No comments:

Post a Comment