Monday, April 19, 2010

6 warga Iran ditahan dipercayai ahli sindiket syabu

2010/04/20
KUALA LUMPUR: Polis menahan enam warga Iran termasuk sepasang kekasih dipercayai anggota sindiket dadah antarabangsa dalam dua serbuan di dua lokasi bersaingan di sini, minggu lalu.

Dalam serbuan itu, polis turut dirampas tujuh kilogram syabu bernilai RM2 juta dipercayai untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, selain pelbagai mata wang asing bernilai RM400 dan tiga telefon bimbit pelbagai jenama. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata kejayaan itu hasil risikan sejak beberapa bulan lalu yang dilakukan sekumpulan pegawai dan anggota Cawangan Narkotik, Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Kuala Lumpur. “Serbuan pertama dilakukan jam 8.30 malam di sebuah hotel mewah, dekat Ampang, Rabu lalu di mana seorang lelaki warga Iran ditahan ketika membawa bekalan dadah keluar daripada bilik hotel, diikuti penahanan pasangan kekasih di sebuah pusat beli-belah.

“Hasil penahanan ketiga-tiga suspek berusia 23 hingga 35 tahun itu, polis menemui 6.5 kilogram syabu bernilai RM1.5 juta yang dibawa masuk pasangan kekasih itu dari Dubai dan dipercayai untuk diedar di pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Pasangan itu dipercayai tiba di negara ini, Rabu lalu dan menginap di sebuah hotel sebelum keluar ke pusat beli-belah. Sejurus kemudian, seorang lelaki dipercayai rakan mereka masuk ke bilik itu dan membawa keluar beg komputer riba diisi tiga kilogram dadah jenis syabu, manakala 3.5 kilogram lagi dadah ditemui di kediamannya di Jalan Putra,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Dalam serbuan berasingan jam 4.30 petang, di sebuah hotel mewah di sini, Khamis lalu, polis menahan tiga lagi lelaki berusia 23 hingga 35 tahun dan merampas dua bungkusan plastik lutsinar mengandungi 224 kapsul disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran nilai RM500,000.
Katanya, ujian X-ray terhadap semua suspek mendapati ada tanda ketulan kecil berbentuk kapsul di dalam perut mereka.

“Kita berjaya mengeluarkan 11 kapsul daripada ketiga-tiga mereka melalui pembuangan air besar,” katanya

No comments:

Post a Comment