Sunday, April 18, 2010

Mayat ditemui dalam kotak

Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my
2010/04/19
Pencari barang lusuh dipercayai mati dipukul

SHAH ALAM: Pekerjaannya adalah mencari dan membeli kotak serta barang lusuh dan akhir kehidupannya juga di dalam kotak apabila mayatnya ditemui dalam sebuah kotak televisyen yang diletakkan di atas motosikalnya di hujung deretan kilang di sebuah taman perindustrian perusahaan kecil dan sederhana di Batu 9, Jalan Telok Batu 36/1, Seksyen 36, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.25 pagi itu, lelaki warga Myanmar, Myint Shwe Sava, 40, yang memegang dokumen pelarian UNHCR, ditemui mati dengan kecederaan di kiri kepalanya yang dipercayai dipukul dengan objek tumpul. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata polis mengesyaki mangsa dibunuh lebih enam jam sebelum mayatnya ditemui berdasarkan topi keledar mangsa yang ditemui di tempat kejadian dipenuhi air hujan. Katanya, mangsa juga disyaki dibunuh dan dirompak penyerangnya berdasarkan kepada beg duit dan wang tunai serta telefon bimbit miliknya yang tidak ditemui.

"Isteri mangsa memberitahu polis, ketika keluar, beliau membawa wang tunai RM1,500 untuk digunakan membeli kotak terpakai dan besi buruk," katanya di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment