Monday, April 26, 2010

Nelayan warga Thailand mati kena serang lanun

2010/04/27
GEORGETOWN: Seorang nelayan warga Thailand mati dalam perjalanan ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Batu Maung di sini, semalam, selepas terkena tiga das tembakan apabila botnya diserang sekumpulan lelaki, dipercayai lanun di perairan Gertak Sanggul, malam kelmarin.

Aung Sirichai, 24, yang kehilangan banyak darah selepas terkena dua tembakan di pinggang dan satu di kaki dalam kejadian jam 8.20 malam, meninggal dunia kira-kira jam 7.20 pagi. Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain, berkata kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat rakan senegara menaiki bot nelayan PFKA 9655, kira-kira tujuh batu nautika dari Gertak Sanggul. Difahamkan, mangsa dan rakannya yang sudah lapan hari keluar menangkap ikan, dalam perjalanan pulang ke Jeti Teluk Intan.

Secara tiba-tiba sebuah bot dinaiki tujuh lelaki muncul dengan seorang daripada mereka melepaskan empat das tembakan ke arah bot nelayan Thailand itu.

Tiga tembakan mengenai mangsa tetapi empat lagi rakannya yang berusia 20-an dan 30-an terselamat.

"Tiga daripada lelaki terbabit naik ke atas bot nelayan dipercayai untuk menyamun nelayan tetapi tidak meneruskannya setelah melihat mangsa berlumuran darah dan melarikan diri," katanya di sini, semalam.
Mohd Hatta berkata, Pasukan Polis Marin (PGM) Wilayah Satu berpangkalan di Batu Uban di sini, menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memaklumkan kejadian itu.

Berikutan itu, sepasukan PGM dikejarkan ke lokasi dan terserempak dengan bot nelayan berkenaan yang dalam perjalanan ke jeti LKIM. Setelah melakukan pemeriksaan anggota PGM mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

"Siasatan awal mendapati suspek cuba menyamun bot yang dinaiki mangsa dan usaha mengesan pemilik bot yang dinaiki nelayan itu sedang dilakukan," katanya sambil menambah siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Sementara itu, tekong bot, Ahchai Swana, 36, berkata pihaknya tidak menyedari bot yang dinaiki lelaki terbabit menghampiri bot mereka sehinggalah terdiri bunyi tembakan dan jeritan Aung.

Ketika itu, Aung berada di bahagian belakang bot manakala rakannya berada di dalam kabin.

"Selepas itu tiga lelaki naik ke atas bot kami tetapi melarikan diri selepas melihat Aung berlumuran darah," katanya

No comments:

Post a Comment