Friday, April 2, 2010

Dua lelaki bunuh rakan digantung

PETALING JAYA 2 April 2010 - Perjalanan dua lelaki warga Myanmar ke negara ini untuk mencari rezeki berakhir di tali gantung apabila mereka didapati bersalah membunuh rakan senegara mereka, tujuh tahun lalu.

Hukuman tersebut diperintahkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Su Geoh Yiam ke atas Aung Tun, 45, dan Kyow Thura, 32, yang merupakan bekas pekerja bengkel kereta.

Keputusan itu dibuat setelah beliau mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

''Mahkamah mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan tertuduh kedua iaitu Kyow mencapai niat bersama dengan tertuduh pertama, Aung untuk membunuh mangsa dengan menikamnya menggunakan sebilah pisau.

''Kematian mangsa disebabkan dia ditikam sebanyak tiga kali dan salah satu tikaman itu menembusi bahagian jantungnya,'' kata Hakim Geoh Yiam.

Aung dan Kyow, didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas membunuh Kyaw Soe Lin di bengkel teksi Uptowance No.9, Jalan Cempaka, Ampang Hulu Langat dekat sini pada pukul 6.30 petang, 15 Oktober 2003.

Kejadian tersebut didakwa berlaku akibat perselisihan faham antara tertuduh-tertuduh dan mangsa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Mustaffa P. Kunyalam mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sepanjang perbicaraan seramai 12 saksi dipanggil memberikan keterangan.

Aung diwakili peguam bela, R. Chandran manakala Kyow pula diwakili peguam bela, Lee Tung Hooi.

No comments:

Post a Comment