Monday, April 19, 2010

Dua remaja kena tahan selepas ragut wanita

2010/04/20
JOHOR BAHRU: Dua remaja masing-masing berusia 15 dan 16 tahun ditahan selepas meragut seorang suri rumah di tepi Jalan Dato Daud, Tampoi di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa seorang wanita berusia 40 tahun sedang berjalan berseorangan sambil membawa beg tangan berisi wang berjumlah RM27. Ketika sampai di tempat kejadian, mangsa dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua remaja terbabit yang kemudian bertindak menarik beg tangan miliknya. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata mangsa yang terkejut dengan insiden berkenaan, menjerit meminta tolong sehingga menarik perhatian orang ramai di jalan berkenaan.

“Orang awam yang menyedari kejadian membantu mengejar mangsa sebelum kedua-dua remaja terbabit berjaya ditangkap beberapa meter dari lokasi kejadian,” katanya.

Ruslan berkata, pihaknya turut menghantar unit peronda MPV ke tempat kejadian selepas menerima panggilan berhubung penangkapan dua suspek itu.

“Berdasarkan siasatan, suspek adalah dua remaja tidak bersekolah berusia 15 dan 16 tahun manakala motosikal digunakan adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang di Batu Gajah, Perak.

“Suspek kini dikenakan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, Ruslan berkata, pihaknya menahan seorang lelaki kerana dipercayai terbabit dalam kes samun terhadap seorang wanita di Hotel Fern Lodge, Jalan Besi, Taman Sri Putri, Skudai, di sini, kelmarin.

Katanya, lelaki yang menaiki motosikal sambil bersenjatakan sebilah parang menyamun mangsa mengakibatkan kerugian sebanyak RM33 dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari.

No comments:

Post a Comment