KUANTAN 26 April 2010 - Sepasang suami isteri melalui detik-detik menakutkan apabila rumah mereka dipecah masuk lima lelaki warga asing bertopeng dan bersenjata parang di Indera Mahkota 5, awal pagi ini, mengakibatkan mereka kerugian RM50,000.
Mangsa yang enggan dikenali dan berusia 60-an, bersama isterinya, 50-an, dipercayai turut dipukul dan tangan serta kaki mereka diikat dengan dawai langsir dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi itu.
Suspek kemudiannya mengarahkan dia menyerahkan semua wang tunai dan barangan berharga miliknya, kata mangsa ketika ditemui di sini hari ini.
"Tidak cukup dengan itu, salah seorang suspek mengetuk kepala saya dengan objek keras sambil menyuruh kami duduk diam serta menurut segala arahan," katanya.
"Pada masa sama tangan dan kaki kami diikat. Saya percaya semua suspek berusia 30-an itu warga Indonesia berdasarkan pertuturan mereka," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, T. Narenasagaran berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang nyenyak tidur.
Katanya, ketika kejadian hanya pasangan itu berada di dalam rumah, manakala semua anak mereka berada di Kuala Lumpur.
Menurut beliau, suspek memasuki rumah mangsa melalui pintu dapur yang diumpil dan dipecahkan.
"Suspek kemudian memecahkan pintu bilik tidur mangsa menggunakan tong gas lalu mengacukan parang kepada mangsa dan isterinya.
"Setelah itu, kedua-dua mangsa diikat kaki dan tangan dengan dawai langsir lalu diarah duduk diam dan menurut segala arahan," katanya.
Ekoran kejadian itu, tambahnya, mangsa kehilangan barang kemas, beberapa jam tangan berjenama, telefon bimbit dan wang tunai hampir RM4,000.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan di atas kesalahan samun berkawan bersenjata.
"Pihak polis kini giat memburu semua suspek," ujarnya.
Monday, April 26, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment