Sunday, April 25, 2010

Polis lumpuhkan sindiket pengedaran DVD cetak rompak, lucah

Sum Chang Keong menunjukkan mesin mencetak DVD cetak rompak dan lucah yang berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Klebang Kecil pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang, Melaka, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------

MELAKA 25 April 2010 - Satu sindiket menggunakan warganegara asing sebagai jurujual cakera padat digital (DVD) cetak rompak dan lucah di bandar ini berjaya dibongkar dengan penahanan empat orang dalam empat serbuan berasingan di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri, Supritendan Sum Chang Keong berkata, dua daripada mereka yang ditahan ialah seorang lelaki berusia 54 tahun dan seorang wanita berusia 46 tahun dipercayai dalang sindiket pengedaran DVD berkenaan sejak setahun lalu.

Menurutnya, dua wanita lain yang ditahan ialah jurujual warganegara China berusia 34 tahun dan seorang wanita warganegara Indonesia berusia 25 tahun.

Beliau berkata, hasil serbuan yang dilakukan, polis berjaya merampas pelbagai peralatan seperti mesin pencetak, komputer riba, lima unit mesin penyalin dan enam botol dakwat.

Katanya, selain itu, turut dirampas 363 keping DVD lucah dan 20,716 keping DVD cetak rompak dengan keseluruhannya bernilai RM120,000.

"Dengan penahanan empat orang tersebut, polis percaya telah melumpuhkan sindiket mencetak dan mengedar DVD cetak rompak serta lucah yang bergiat aktif di sekitar bandar ini sejak setahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang di sini semalam.

Chang Keong berkata, dalam serbuan pertama yang diketuai oleh Asisten Supritendan Dzulkahiri Mukhtar pada pukul 10.50 pagi itu, polis berjaya menahan sebuah kereta yang dipandu seorang wanita warga tempatan di Taman Perindustrian Merdeka, Batu Berendam.

"Hasil pemeriksaan di tempat letak barang di belakang kereta, polis menjumpai sebanyak 13 keping DVD lucah dan 624 keping DVD cetak rompak.

"Kira-kira 10 minit selepas serbuan pertama, polis berjaya menahan seorang warganegara China berhampiran tempat kejadian dan menemui 84 keping DVD cetak rompak dan 20 keping DVD lucah," katanya.

Katanya, hasil siasatan ke atas dua orang itu, polis menyerbu sebuah kondominium di Klebang Kecil yang digunakan sebagai tempat menghasilkan DVD berkenaan untuk diedarkan di sekitar bandar ini.

Menurutnya, hasil serbuan itu polis menemui 19,830 DVD cetak rompak dan 320 keping DVD lucah termasuk pelbagai peralatan lain.

"Polis juga turut menemui 178 keping DVD cetak rompak dan 10 keping DVD lucah yang disimpan lelaki terbabit di tempat letak keretanya di kondominium tersebut," katanya.

Sehubungan itu katanya, kesemua mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 18 (5) Akta Penapisan Filem 2002.

No comments:

Post a Comment