Oleh UMAVATHI RAMAYAH
uma.ramayah@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 2 April 2010 - Kegiatan enam sekeluarga yang menjadikan aktiviti pengedaran dadah sebagai bisnes keluarga sejak tahun lalu terbongkar selepas polis menyerbu rumah mereka di sebuah kondominium mewah di Jinjang Segambut di sini pada Selasa lalu.
Ketika ditahan kira-kira pukul 11 malam, kesemua suspek terdiri daripada dua pasangan suami isteri, anak lelaki salah satu pasangan tersebut dan anak saudara mereka sedang leka membungkus dadah di ruang tamu rumah itu.
Dalam serbuan itu, antara barangan yang dirampas adalah 20.3 kilogram dadah jenis ketamin; 140 biji pil Eramin 5 dibungkus dalam 14 peket kecil; wang tunai RM2,105; sebuah kereta Toyota Alphard dan Honda Accord yang kesemuanya bernilai RM600,000.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kesemua mereka yang berusia 22 hingga 54 tahun itu kini direman sehingga Selasa depan untuk membantu siasatan.
Menurut beliau, pemeriksaan air kencing juga mendapati, dua daripada lelaki yang berusia 40 dan 54 tahun itu positif mengambil dadah jenis 'methamphetamin'.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua suspek yang mengusahakan restoran di Gerik, Perak dikatakan berulang-alik ke ibu negara setiap hari demi mengejar kemewahan luar biasa melalui hasil haram itu.
Dua wanita yang berkahwin dengan pengusaha restoran itu pula, katanya, adalah warganegara India dan mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
"Berdasarkan siasatan awal, kita dapati bekalan dadah itu diseludup masuk dari India sebelum dibungkus dan diedar untuk pasaran tempatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini.
Zakaria berkata, anak lelaki suspek dan anak saudaranya pula bertindak sebagai orang tengah yang bertanggungjawab mengatur pertemuan dengan pembeli. Kes itu, katanya, disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Friday, April 2, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment