Tuesday, April 20, 2010

Polis kenal pasti warga asing samun kapal tangki

2010/04/21
KUALA TERENGGANU: Kumpulan warga asing yang bersenjatakan parang dan senjata api yang menyamun sebuah kapal tangki membawa bitumen dari Thailand ke Kemaman awal pagi kelmarin dipercayai warga Indonesia berasal dari kawasan Jawa Barat.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) negeri, Superintendan Mohd Zani Che Din, berkata identiti kumpulan penyamun itu dikenal pasti berdasarkan loghat percakapan ketika mereka menawan dan mengikat 14 krew kapal dagang itu. “Kapal dagang itu berdaftar di Tanjung Pinang, Indonesia dan kapten serta anak kapal berkenaan juga berasal dari Indonesia. “Bagaimanapun, mereka tidak dapat memahami bahasa pertuturan kumpulan penyamun itu, tetapi mengagak mereka menggunakan dialek Jawa Barat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau mengulas kejadian kira-kira jam 2 pagi apabila kapal Cosmic 5 seberat 500 tan dalam yang perjalanan dari Thailand menuju ke Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) dipintas dan dihalang sebuah bot laju dinaiki 12 lelaki.

Suspek kemudiannya mengugut serta mengarahkan kapten supaya menghentikan kapal sebelum mengikat kru kapal itu dan melarikan beberapa dokumen penting, wang tunai, jam tangan dan komputer riba bernilai lebih RM10,000.

Mohd Zani berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 16 batu nautika di tenggara Pulau Kapas dan ketika kejadian kapal itu dipandu dengan kelajuan sembilan batu nautika sejam dan semua anak kapal sedang tidur.

Mengulas lanjut, Mohd Zani berkata, gerakan memburu semua suspek yang masih bebas sedang dipergiatkan dan polis turut memanggil semua mangsa untuk dirakam keterangan mereka bagi membantu siasatan.

“Kita juga sudah pergi ke kapal berkenaan dan mengambil sampel cap jari suspek terbabit,” katanya.

Mohd Zaini berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan

No comments:

Post a Comment